Masalah trafik sesak bila nak selesai?

Masalah trafik sesak bila nak selesai?

KESESAKAN trafik di lebuh raya pada hujung minggu dan cuti perayaan menjadi mimpi ngeri buat kebanyakan pemandu. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAHULU, pengguna Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) hanya akan mengalami kesesakan trafik sehari dua sebelum dan selepas cuti panjang. Namun, dewasa ini PLUS telah disindir bagaikan tempat meletak kenderaan terbesar di dunia menjelang musim cuti yang kebetulan jatuh bersambung hujung minggu.

Kesesakan trafik di lebuh raya pada hujung minggu dan cuti perayaan telah menjadi mimpi ngeri buat kebanyakan pemandu. Untuk perjalanan yang sama dari utara ke selatan, masa dihabiskan adalah dua kali ganda berbanding hari biasa.

Pada masa lalu menjelang hujung minggu, kalau kita memandu ke arah selatan dari Kuala Lumpur, pemandu hanya akan mengalami sedikit kesesakan trafik apabila mendekati Seremban. Ini disebabkan lebuh raya tersebut tiba-tiba disempitkan daripada empat kepada tiga lorong selepas Plaza Tol Seremban. Tambahan lagi, kenderaan-kenderaan yang ingin keluar dari plaza tol memerlukan sedikit masa untuk melancarkan trafik.

​Bagi lebuh raya menuju utara pula, bilangan kenderaan bertambah secara mendadak di antara Melaka ke Seremban. Para pemandu terpaksa memperlahankan kelajuan kenderaan masing-masing dalam perjalanan bermula dari Melaka sehingga ke persimpangan masuk ke Seremban. Selepas Seremban, lebuh raya bertukar menjadi empat lorong, aliran trafik menjadi lancar sedikit.

Walaupun kita dapat mengelakkan kesesakan lebuh raya dengan mengambil cadangan kerajaan tentang waktu perjalanan yang sesuai, namun kini keadaan aliran trafik di PLUS sangat susah untuk dijangkakan.

Satu kemalangan kecil di lebuh raya mungkin akan mengakibatkan barisan kenderaan beratur panjang. Apatah lagi kini negara kita mempunyai 33 juta kenderaan berdaftar mengikut angka statistik kerajaan. Ini bererti setiap warganegara memiliki sebuah kereta.

​Di Lembah Klang pula, masalah kesesakan trafik memuncak sebelum dan selepas waktu kerja setiap hari. Perjalanan antara Klang dan Kuala Lumpur yang jaraknya kurang daripada 40 kilometer didapati perlu mengambil masa dua jam untuk tiba ke destinasi. Inilah realiti hidup yang sebenarnya dihadapi oleh warga kota. Keadaan menjadi lebih teruk pada hari hujan. Bencana banjir mungkin akan melanda kota secara mengejut selepas hujan lebat dan memburukkan lagi keadaan.

​Bagi mengatasi masalah pengangkutan awam negara yang semakin meruncing, kerajaan memerlukan satu pertimbangan dan perancangan yang menyeluruh dan strategik.

​Langkah pertama, kerajaan perlu meningkatkan taraf perkhidmatan kemudahan pengangkutan awam dan menggalakkan rakyat menggunakan pelbagai pengangkutan awam sepenuhnya. Kerajaan tidak harus membiarkan atau menggalakkan warganegara membeli kereta sewenang-wenangnya. Hal ini kerana kemudahan lebuh raya dan jalan raya sedia ada mungkin tidak sanggup menampung keperluan meningkat ekoran jumlah kenderaan yang bertambah saban hari sehingga ke satu jumlah yang menggemparkan.

SUBSIDI

Penambahan pemilikan kereta dalam kalangan rakyat mungkin mendatangkan manfaat kepada sektor perindustrian kereta dan membawa kepada pertumbuhan ekonomi negara. Namun, situasi ini bermaksud lebih banyak perbelanjaan dan beban subsidi bahan api yang perlu ditanggung oleh rakyat dan negara.

Sesungguhnya kerajaan perlu menyediakan payung sebelum hujan dengan merancang penyelesaian lebih berkesan bagi mengurangkan krisis kesesakan trafik, baik di bandar mahupun dalam negara.

Sehubungan ini, projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang ditangguhkan oleh kerajaan terdahulu perlu dipertimbangkan semula oleh kerajaan perpaduan demi kebaikan dan kepentingan jangka panjang. Kos yang akan dilaburkan itu mungkin sangat mahal, namun manfaat sosial dan ekonominya adalah berpanjangan.

HSR dilihat sebagai solusi pengangkutan awam yang amat berkesan bagi bandar raya utama seperti Tokyo, Beijing, Shanghai dan Seoul. Jika negara kita juga memiliki kemudahan sama, warganegara yang menetap di tempat jauh dapat berulang-alik ke tempat kerja di kota dengan mudah.

​Kementerian Pengangkutan juga disaran menurunkan kadar tol bagi waktu bukan puncak, misalnya selepas pukul 12 tengah malam sehingga 5 pagi. Ini bertujuan menggalakkan penggunaan lebuh raya yang lebih seimbang dan sepenuhnya.

Selain itu, kerajaan boleh mencuba memberikan insentif kepada warga yang rela berkongsi kereta di kawasan bandar. Salah satu contoh baik ialah memberikan diskaun tol kepada mereka yang memandu dengan membawa bilangan penumpang yang ramai menjelang waktu sebelum dan selepas bekerja.

Orang ramai juga digalakkan untuk mengendalikan pelbagai urusan kewangan seperti pembayaran cukai, bil utiliti dan sebagainya secara dalam talian. Cara ini dapat mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian di jalan raya pada hari kerja.

​Seterusnya untuk menggalakkan rakyat menaiki pengangkutan awam, kerajaan perlu menawarkan perkhidmatan bas percuma yang lebih mantap dan menghubungkan kawasan perumahan dengan stesen-stesen transit aliran massa (MRT), KTM (komuter), transit aliran ringan (LRT) dan monorel.

​Bukan itu sahaja, kerajaan juga hendaklah menyokong dasar bekerja dari rumah (WFH) untuk mengurangkan bilangan kenderaan di jalan raya.

Di samping itu, cadangan waktu masuk bekerja yang fleksibel juga boleh dipraktikkan di zon-zon berlainan di bandar raya seperti Kuala Lumpur. Misalnya, ada zon yang masuk kerja 30 minit lebih awal atau 30 minit kemudian dari zon-zon yang lain di kawasan sama secara bergilir-gilir. Tindakan ini dapat mengelakkan kenderaan-kenderaan daripada keluar pada masa yang sama.

​Kesimpulannya, penyelesaian masalah pengangkutan awam negara secara berkesan dan menyeluruh memerlukan keazaman politik yang kuat daripada kerajaan memerintah. Kerjasama dan sokongan penuh daripada rakyat jelata juga tidak kurang penting dalam mencapai matlamatnya. – UTUSAN

Dr. Tee Beng Lee ialah lulusan ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang sejarah dari Universiti Xiamen (XMU), China.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×