PETALING JAYA: Seramai 30,000 belia berusia 19 hingga 39 tahun dibimbangi akan terbabit dengan ketagihan dadah pada tahun ini susulan peningkatan trend individu dalam kalangan usia itu yang ditahan dua tahun sebelum ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Majlis Penggunaan Bahan Terlarang (MASAC), Raja Azizan Suhaini Raja Abd. Latiff berkata, peningkatan tiga kali ganda daripada individu yang dikesan positif dadah tahun lalu itu berikutan trend penggunaan vape dalam kalangan belia terutamanya remaja.
Beliau berkata, ini kerana penyalahgunaan dadah juga semakin berkembang pesat apabila ia mudah dicampurkan melalui cecair vape sekali gus meningkatkan lagi ketagihan mereka.
Justeru, katanya, remaja dibimbangi berpotensi mencuba cecair vape yang mengandungi dadah jika mereka tidak dibendung dari awal.
“Melalui penyelidikan pencegahan, kita dapati ramai budak sekolah terutamanya sekolah menengah menggunakan vape. Mereka seronok hisap vape, jadi kalau dadah dengan vape itu sukar dikesan.
“Mula-mula mungkin sekadar mahu cuba, beli sebotol cecair tahan seminggu, lama-lama satu botol cecair itu untuk sehari, jadi itu adalah ketagihan.
“Oleh itu, tanpa kita sedar, kita sudah biarkan penagih remaja ini jadi penagih bahan,” katanya ketika dihubungi semalam.
TREND
Raja Azizan berkata demikian ketika diminta mengulas jangkaan peningkatan trend ketagihan dadah dalam kalangan belia berusia 19 hingga 39 tahun pada 2023.
Ia selepas media melaporkan, seramai 10,074 belia berusia 19 hingga 39 tahun yang ditahan tahun lalu positif pelbagai jenis dadah, meningkat berbanding 8,935 individu pada tahun sebelumnya.
Mengulas lanjut, Raja Azizan Suhaini berkata, penyalahgunaan dadah melalui cecair vape itu akan terus berleluasa kerana bahan terlarang itu belum digazetkan di bawah peruntukan tertentu.
Maka, katanya, ia menjadi antara faktor pengeluar boleh mengeluarkan cecair vape itu sesuka hati termasuk dengan campuran bahan terlarang.
“Ada 800 Substan Psikoaktif Baharu (NPS) yang belum dikawal atau digazet di bawah undang-undang sedia ada, jadi ia ibarat dadah yang dikenal pasti, tetapi tidak akan positif dadah jika melalui ujian air kencing sebab tidak digazetkan,” kata beliau. – UTUSAN










