MUNGKIN tampak pelik atau lucu tetapi bayangkanlah, setakat ini mungkin belum ada seorang pun wartawan mana-mana media tahu bahawa Institut Geologi Malaysia terletak di Putrajaya.
Malah, saya yang bertugas membuat liputan berita sekitar Wilayah Persekutuan ketiga itu pun sama, sehinggalah ada seorang anak saudara dapat berkhidmat sebagai ahli geologi. Dia kebetulan baru tamat belajar dari sebuah universiti awam ternama di ibu negara, pada asalnya kena mendaftar diri sebagai ahli bertauliah institut itu sebelum bekerja secara sah.
Maka, saya cari alamat organisasi berprestij itu yang rupa-rupanya terletak di Menara PjH, Presint 2, sama satu bangunan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Malaysia. Di premis ini, rekod lebih 2,000 pakar geologi tempatan dari seluruh negara yang diyakini status kelayakan mereka disimpan rapi sejajar standard amalan geologis seantero dunia.
Salah seorang pakar bidang itu yang lazim dijadikan rujukan pemberita kita tentulah Profesor Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo untuk ulas pelbagai isu semasa berkaitan tanah.
Bagaimanapun, saya tertarik dengan teguran berlapik beliau yang meminta supaya pengamal media di negara ini cakna dengan perubahan istilah sains seismologi. Ini terutamanya bagi pengukuran standard gempa bumi yang tidak lagi dirujuk sebagai skala Richter, susulan kejadian gegaran paling buruk dalam era sejarah Turkiye, baru-baru ini.
“Skala Richter adalah pengukuran dahulu yang memang telah pun digunakan sekian lama tetapi sudah tiada lagi dan sekarang kita sebut skala Magnitud,” katanya.
Akhir tahun lalu, laman sosial popular dengan isu berkaitan geografi tempatan, MatGeo tular melalui hantarannya yang menegur penggunaan skala Richter oleh media Malaysia.
Bayangkan, sejak 2016 standard gegaran sudah digantikan kepada skala Magnitud atau simbol Mw kerana ukuran Richter digunakan dari 1935 didapati sebagai kurang tepat.
IASPEI
Formula yang diperkenalkan saintis, Charles Francis Richter hanya sesuai bagi kes gempa bumi di California, Amerika Syarikat tetapi tidak senario gegaran di tempat-tempat lain.
Susulan isu khilaf itu, Persatuan Seismologi dan Fizik Interior Bumi Antarabangsa (IASPEI) pada 2005 memansuhkan skala Richter bagi menyeragamkan prosedur laporan gempa.
Pentadbir MatGeo memaklumkan, skala lama itu tidak relevan kerana nilai terhenti pada kadar 8.9 walhal banyak gempa dahsyat sebenarnya berukuran lebih daripada itu.
Ini termasuk insiden di Tohoku, Jepun pada 11 Mac 2011 yang berkekuatan Magnitud 9.1, manakala gempa tsunami di Aceh, Indonesia pada 26 Disember 2004 pula ialah 9.2 Mw.
Sehubungan itu, IASPEI telah menilai semula semua kejadian gegaran di seluruh dunia yang terjadi sebelum ini dengan rujukan seragam skala Magnitud dan bukannya Richter lagi. Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, Magnitud turut ada impak kepada penduduk yang terjejas berasaskan faktor kekukuhan bangunan, jenis tanah dan jarak dari pusat gempa.
“Jika Mw dari satu hingga tiga, hanya alat pengukur dapat kesan tetapi empat hingga lima pula sederhana yang mungkin boleh rosak bangunan, manakala enam hingga tujuh ada impak ketara,” katanya.
Paling tinggi ialah lapan Mw dan ke atas dengan kesan kemusnahan sangat luas yang jika berlaku di kawasan lautan, susulan gegaran itu boleh mencetuskan kejadian tsunami pula. Beliau sependapat dengan MatGeo bahawa jika laporan gempa itu oleh pusat seismologi merujuk Magnitud, maka adalah salah bagi pihak media melaporkan pula sebagai Richter.
Dalam nada berjenaka beliau berkata, isu skala itu mungkin tidak diberikan fokus di Malaysia kerana negara ini kurang kejadian gempa berimpak besar, iaitu lebih lima Mw.
Justeru, kata Ibrahim, saintis geologi tempatan tidak perlu ‘buang masa’ cakap perihal isu gempa, namun mereka kena tumpu usaha kepada kes bencana tanah runtuh dan banjir. Dianggarkan ada lebih 20,000 gegaran direkodkan di seluruh dunia saban tahun dengan secara purata sekitar 55 kes gempa bumi berlaku setiap hari tetapi kebanyakannya kurang tiga Mw.
Malaysia secara geografi terletak di luar Lingkaran Api Pasifik dianggap bebas gempa bumi, tetapi Jabatan Meteorologi Malaysia mencatatkan lebih 100 gegaran di seluruh negara setiap tahun.
Sebahagian besarnya di Sabah kerana negeri itu bersebelahan zon selisih plat Indonesia dan Filipina dengan paling kuat pada 2015 berkekuatan 5.9 Mw serta meragut 17 nyawa. – UTUSAN











