Wings bukan budak-budak muda, masing-masing tahu diri – Awie - Utusan Malaysia

Wings bukan budak-budak muda, masing-masing tahu diri – Awie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Buat kali ketujuh, kumpulan rock legenda, Wings membawakan kembali persembahan Semarakkan Malam Cinta Ramadan yang bakal berlangsung di Berjaya Times Square Hotel, Kuala Lumpur pada 8 April ini.

Bagaimanapun, konsep yang dizahirkan untuk penganjuran terbaharu ini sedikit berbeza, bersesuaian hasrat meraikan kemuliaan Ramadan dengan menyajikan sebuah persembahan bermanfaat.

Vokalis Wings, Datuk Awie, akur jika ada pihak yang mungkin mempersoalkan mengapa penganjuran persembahan seperti itu masih diteruskan, sedangkan Ramadan harus isi dengan pengisian aktiviti dan program bersifat Islamik.

Awie bagaimanapun, mempunyai pandangan tersendiri, malah berbesar hati apabila HS Event & Ent. Sdn. Bhd. tetap bersedia merealisasikan persembahan tersebut.

“Saya faham bila ada pihak berpendapat, terlalu banyak persembahan hiburan akan menjadi mudarat, apatah lagi ketika Ramadan. Bimbang kita leka hingga lalai melakukan perkara yang wajib.

“Tetapi, kami juga mempunyai tanggungjawab, terutama kepada anak dan isteri sebagai persiapan menyambut raya. Kalau tidak bekerja dan mencari duit, bagaimana dengan hak mereka? Situasi itu meletakkan kami dalam dilema, sama ada mahu meneruskan persembahan atau tidak.

“Kami bekerja bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi kena ingat, di belakang kami ada banyak mulut yang perlu disuap,” katanya.

Menurut Awie, dia dan anggota Wings lain iaitu Syam (gitar), Edrie (gitar), Eddie (bass) dan Black (dram) sudah sedia maklum, mereka yang akan datang pada persembahan itu kelak tentunya menantikan kelainan.

“Saya pun terfikir, apabila tradisi ini diteruskan saban tahun, apa lagi kelainan yang boleh dilakukan? Susah juga. Tetapi, kami ini penyanyi dan pemuzik. Kalau tidak menyanyi dan bermain muzik, ‘dapur’ tidak berasap.

“Betul, sampai bila mahu berhibur dan berseronok? Tetapi, jangan lekas mempertikai kerana untuk persembahan kali ini, kami sudah menyusun program sebaiknya.

“Sebelum berbuka, ada bacaan al-Quran, disusuli solat Maghrib, tazkirah, solat Isyak dan terawih bersama-sama. Hanya selepas itu, baru Wings akan buat persembahan. Mungkin orang akan ingat, acara ini sekadar persembahan hiburan.

“Jangan cepat menghukum. Datang dulu… Secara peribadi, saya sayangkan konsep persembahan ini. Cuma, pada masa akan datang dan jika ada rezeki, kami akan tampil dengan idea lebih kreatif dan lebih baik. Wings bukan budak-budak muda lagi, masing-masing tahu diri,” katanya.

Elemen kerohanian

Dari segi pilihan dan susunan lagu, kata Awie, biarpun berkonsep dakwah, Wings tetap menjanjikan persembahan bermutu, menghiburkan dan memberi manfaat kepada tetamu.

“Lagu yang dipilih bersesuaian dengan Ramadan. Memang tidak sama seperti persembahan Wings sebelum ini, tetapi kami tidak akan berkompromi tentang kualiti.

“Sudah tentu, ia berbaloi dengan wang ringgit yang dikeluarkan penonton. Mereka dapat berbuka puasa, beribadah dan seterusnya bersantai menikmati persembahan kami,” katanya.

Selain lagu berkonsepkan ketuhanan dan kerohanian, Wings turut membawakan lagu raya dan beberapa lagu hits sebagai bonus.

“Semarakkan Malam Cinta Ramadan adalah kemunculan pertama kami tahun ini setelah beberapa bulan berehat. Kami memang tidak sabar untuk bertemu peminat,” katanya.

Tiket untuk menyaksikan Showcase Semarakkan Malam Cinta Ramadan dibahagikan mengikut kategori iaitu VVIP: RM15,000 untuk satu meja memuatkan 10 orang, VIP (RM12,000), Platinum (RM8,000), Gold (RM6,000) dan Silver (RM4,000).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×