PADA penghujung 2020, ramai yang agak skeptikal dengan pengumuman kerajaan Kedah bahawa negeri itu akan meneroka unsur nadir bumi (REE) yang merupakan sumber mineral baharu bernilai berbilion ringgit. Ramai yang menyambut perancangan itu dengan komen sinis, troll (hasut maya) dan seumpamanya sehingga tidak kurang melabel Kedah Darul Aman akan menjadi negeri ‘Wakanda’ suatu hari nanti ekoran kekayaan yang bakal diperoleh daripada hasil mineral itu.
Sungguhpun begitu, pengumuman oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor pada masa itu menarik perhatian ramai memandangkan REE agak asing dalam kalangan rakyat. Namun, China sudah lama mendominasi industri itu dengan pengeluarannya dianggarkan sekitar 120,000 tan metrik hingga 168,000 tan metrik setahun sehingga menjadi pengeksport utama mineral berkenaan.
Lebih menarik, negara-negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat pula merupakan pengimport utama REE dari China yang banyak digunakan bagi pembuatan komponen peranti seperti telefon pintar, komputer riba dan barangan digital lain serta kereta elektrik, bateri, magnet berintensiti tinggi dan pembuatan kaca.
Sebagai sebuah negeri yang banyak ‘berkorban’ dengan tidak membangunkan kawasan tanah luas bagi menyumbang kepada keterjaminan makanan negara dan sumber air negeri jiran, Kedah sememangnya memerlukan sumber kekayaan baharu untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negeri-negeri kaya lain.
Untuk rekod, Kedah terpaksa menyimpan seluas 107,495 hektar tanah untuk keterjaminan air bagi Pulau Pinang dan Perlis serta 107,472 hektar lagi digunakan untuk tanaman padi yang menyaksikan Kedah menyumbang sebanyak 40 peratus kepada keperluan beras negara.
Sekiranya tanah-tanah tersebut dibangunkan menjadi kawasan komersial bernilai tinggi, sudah tentu Kedah juga tidak akan ketinggalan dengan beberapa negeri lain kerana bakal memperoleh kutipan cukai tinggi ekoran premiumnya yang lebih baik.
Maka, sumber berasaskan nadir bumi dirasakan amat bermanfaat untuk ekonomi Kedah apatah lagi REE adalah unsur penting kepada industri digital abad ini yang menjadi teras kepada ledakan Revolusi Industri 4.0.
Dikhabarkan, unsur mineral tersebut sudah lama diketahui berada di Kedah khususnya di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik. Namun, proses menerokanya memakan masa sebelum ini disebabkan faktor tertentu selain pentadbiran kerajaan negeri yang silih berganti.
SOP
Mengikut kajian terkini, REE di China didapati semakin berkurangan dan dunia mula mencari sumber alternatif di negara lain. Justeru, Malaysia antara yang menjadi sasaran memandangkan negara ini mempunyai rizab nadir bumi yang banyak dan mampu menampung permintaan industri untuk satu tempoh panjang.
Difahamkan, rizab REE di seluruh negara dianggarkan bernilai RM742.7 bilion dan sejumlah RM62 bilion nilai mineral itu terletak di Kedah. Bagaimanapun, disebabkan menunggu prosedur operasi standard (SOP) mengekstrak REE yang masih belum diumumkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sehingga kini, berita mengenai nadir bumi sepi seketika.
Namun, pada Oktober tahun lalu, iaitu kira-kira dua tahun selepas pengumuman pertama kali oleh Muhammad Sanusi, isu mengenai REE kembali hangat dan menghiasi dada-dada akhbar serta kaca televisyen ekoran kes kecurian mineral itu yang didedahkan Utusan Malaysia.
Tiada siapa menyangka lokasi yang terletak di Sik itu telah dibangunkan seperti kubu perang apabila kegiatan melombong nadir bumi dilakukan secara haram oleh pekerja warga asing yang dibawa naik ke puncak Bukit Enggang.
Akses utama dari kawasan awam ke lokasi haram itu melalui rumah-rumah penduduk, ladang solar dan kebun durian tetapi tidak siapa dapat mengesahkan barangan yang dibawa turun itu mengandungi REE walaupun rasa sangsi dan syak wasangka telah ada dari awal.
Hanya disebabkan kemalangan kecil yang berlaku antara lori yang membawa REE dengan kereta seorang penduduk berhampiran, barulah diketahui selama ini lori tersebut sedang memunggah ‘hasil kekayaan’ Kedah dan negara khususnya.
SENYAP
Walaupun disita dan laluan naik ke puncak bukit itu dikawal ketat agensi terlibat, kes kecurian masih terus berlaku apabila Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) bersama agensi-agensi lain termasuk Jabatan Imigresen menyerbu lagi lokasi itu. Tidak dapat dipastikan bagaimana pisang boleh berbuah dua kali kerana kecurian kali kedua yang dilaporkan awal bulan ini, seakan-akan memperlihat pihak terlibat memandang remeh penguatkuasaan yang dilakukan atau sebenarnya ada udang di sebalik batu.
Bukan mahu menuding jari kepada mana-mana pihak tetapi sekiranya kecurian REE dibiarkan terus berlaku sama ada secara senyap atau terang-terang, sememangnya Kedah akan terus menjadi negeri miskin yang hanya mengharapkan orang kaya datang berbakti kepada rakyatnya.
Isu REE tidak boleh diambil mudah bak kata Muhammad Sanusi, kelewatan mengeluarkan SOP untuk mengekstrak mineral itu hanya mendorong kecurian terus berlaku kerana nilainya agak tinggi di pasaran.
Maka, dengan kecurian yang berlaku itu sudah tentu daripada 17 elemen nadir bumi yang terdapat di muka bumi ini, salah satunya yang terdapat di Kedah ini bernilai tinggi dan berada di tangga teratas sehingga menyebabkan ia terus menjadi buruan pihak yang mahir mengekstraknya.
Bagi mengelak kecurian terus berlaku, sewajarnya semua pihak berkepentingan di negara ini memberi perhatian utama dan duduk semeja untuk ‘menghalalkan’ pengesktrakan nadir bumi kerana bahan tanpa radioaktif itu dikatakan tidak menjejaskan manusia atau sumber semula jadi lain.
Pelbagai kaedah moden yang lebih selamat berbanding cara konvensional sudah dipraktikkan beberapa pihak dan diharapkan ia mampu digunakan di Kedah dan beberapa negeri lain yang turut memiliki sumber itu agar sama-sama memanfaatkan rakyat mereka. – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Kedah.










