KEHADIRAN penjual sate yang menunggang basikal atau motosikal di kawasan kampung dan taman perumahan menjadi pemandangan biasa sekitar tahun 1980-an dan 1990-an.
Namun, kaedah tersebut tidak lagi menjadi pilihan disebabkan beberapa kekangan seperti faktor cuaca, lokasi yang tidak menentu dan berpindah-randah.
Bagi peniaga, Salleh Mahmood, 60, walaupun berniaga sate dengan motosikal dianggap tidak relevan lagi oleh banyak pihak, dia tetap optimis dengan perniagaan yang diusahakan sejak 35 tahun lalu.
Pada peringkat awal, bapa kepada enam cahaya mata itu mempelajari kaedah penyediaan sate daripada seorang rakan yang mempelawanya membantu menjual hidangan tersebut pada 1988.
Katanya, ketika itu, dia hanya mengambil upah secara komisen untuk membekalkan sate kepada rakannya itu.
“Oleh kerana tiada pengalaman, saya mengambil masa selama dua minggu untuk belajar membuat sate. Selepas itu, saya cuba menjual sendiri sate yang dihasilkan dengan menggunakan motosikal Honda C70 di sekitar Ayer Molek, Telok Mas dan Kandang, Melaka.
“Mula-mula agak susah kerana membawa peralatan membakar sate, selain malu untuk menjual dari rumah ke rumah. Lama-kelamaan, perasaan malu itu bertukar puas dan seronok apabila bertemu pelanggan.
“Alhamdulillah, jualan kali pertama sangat memberangsangkan walaupun tidak banyak. Perniagaan semakin maju dan sate saya mula mendapat tempat di hati pelanggan tanpa mengira kaum,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, malang tidak berbau apabila dia pernah dua kali terjatuh daripada motosikal ketika sedang berniaga.
Menjadikan pengalaman pahit sebagai asam garam dalam berniaga, Salleh tetap optimis dan sentiasa mencari peluang untuk mengembangkan lagi perniagaan satenya.
Setelah sekian lama menjual sate dengan menunggang motosikal, dia mengambil keputusan untuk membuka kedai sendiri di Bukit Beruang pada 2001.
Sekalipun telah membuka kedai, dia tetap meneruskan rutin hariannya menjual sate dengan motosikal sementara pengurusan kedai tersebut diserahkan kepada orang lain.
“Saya membuka kedai untuk memudahkan pelanggan yang ingin menikmati sate boleh mendapatkannya di premis tetap. Sebelum ini, mereka perlu mendapatkannya di lokasi saya berniaga setiap hari.
“Pengurusan kedai diuruskan oleh orang lain dan saya hanya menghantar bekalan sate. Saya cepat bosan jika duduk di kedai tanpa berbuat apa-apa. Lagipun, jiwa saya tetap pada motosikal dan lebih suka keluar bertemu pelanggan,” katanya.
Salleh mengambil keputusan untuk menamatkan operasi kedai tersebut pada akhir tahun lalu setelah 21 tahun beroperasi, susulan kesukaran mendapat pembantu yang mampu memberikan komitmen untuk jangka masa panjang.
Bagaimanapun, perniagaan sate bergeraknya tidak terjejas dan masih mampu menjual sehingga 800 cucuk sehari.
“Saya berniaga tujuh hari seminggu. Empat hari di Jalan Utama, Taman Ayer Keroh Height iaitu pada Rabu, Jumaat, Sabtu dan Ahad; Bukit Katil (Isnin); Taman Sutera Wangi (Selasa) dan Taman Padang Jambu (Khamis).
“Sate daging berharga RM1 secucuk, sate ayam 90 sen dan nasi himpit bersaiz kecil 70 sen sebungkus. Biasanya sate yang saya bawa akan habis dijual setiap hari. Sate yang sedap bergantung kepada kuah kacang, perapan dan bahan mentah yang digunakan.
“Di mana sate itu dibakar tidak penting kerana hasilnya tetap sama. Disebabkan itu, gerai sate bergerak masih relevan kerana resipi atau teknik penyediaan yang membezakan rasanya,” jelasnya.
Mencari penyambung legasi sate bergerak
LEGASI sate bergerak Salleh bakal berakhir sekiranya tiada sesiapa yang berminat untuk mempelajari dan mewarisi perniagaan yang diusahakan sejak 35 tahun lalu.
Baginya, dia tidak akan memaksa sesiapa untuk meneruskan perniagaan satenya, waima anak-anaknya sekalipun kerana pekerjaan itu menuntut komitmen yang tinggi, kesungguhan dan kerajinan.
Menurutnya, meskipun dibantu anak bongsu yang berusia 19 tahun, dia sukar untuk menentukan kemahuan sebenar anaknya itu.
“Saya tidak tahu sama ada anak-anak boleh ambil alih atau tidak. Mereka ada membantu saya berniaga, tetapi sekadar niat untuk menolong ayah mereka sahaja.
“Masing-masing sudah besar dan mereka lebih fokus kepada kerjaya. Peluang untuk belajar ada, saya sedia mengajar tetapi mereka tidak minat.
“Sebagai ayah, saya menyokong apa sahaja yang hendak dilakukan anak-anak dan tiada paksaan untuk mereka mengikut jejak langkah saya,” katanya.
Menjengah usia lebih separuh abad, anak-anak Salleh pernah meluahkan hasrat mahu bapa mereka berhenti berniaga dan berehat di rumah.
Katanya, buat masa ini dia tidak bercadang untuk menutup perniagaan itu dan akan diteruskan selagi termampu.











