Belanjawan 2023 harus fokus modal insan

Belanjawan 2023 harus fokus modal insan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPERTI kita sedia maklum, Belanjawan 2023 akan dibentang semula oleh Perdana Menteri, Jumaat ini. Beliau telah memberikan bayangan akan ada pengurangan dalam peruntukan berbanding belanjawan asal yang dibentangkan sebelum ini. Namun begitu, beliau memberi jaminan pengurangan ini tidak akan menjejaskan usaha-usaha pembangunan yang telah dirancang untuk kepentingan rakyat.

Menurutnya, pengurangan peruntukan ini terpaksa dilakukan untuk mengurangkan defisit belanjawan yang boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara pada masa hadapan. Belanjawan yang bakal dibentangkan ini diharap akan terus memberi fokus untuk membangunkan modal insan yang menjadi tunjang kepada pemulihan dan pembangunan ekonomi negara dalam pascapandemik.

Pertama, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu terus dimantapkan untuk melahirkan pekerja mahir secukupnya bagi memacu pemulihan sektor ekonomi berintensifkan pengetahuan dan teknologi. Ini termasuk menggalakkan penyertaan lebih banyak syarikat yang menawarkan program latihan kemahiran yang sepadan dengan keperluan industri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kedua, aspek kesihatan mental di tempat kerja harus diberi perhatian. Satu kajian baru-baru ini melaporkan 58 peratus pekerja di negara ini mengalami burnout (kelelahan fizikal, mental dan emosi) manakala 51 peratus berkata, keseimbangan kerja-kehidupan mereka berada pada tahap sederhana atau lemah. Keadaan sedemikian boleh memberi kesan negatif terhadap kesejahteraan mereka seterusnya menjejaskan produktiviti di tempat kerja.

NEGARA TUA

Ketiga, isu penghijrahan bakat tempatan diharap mendapat perhatian sewajarnya. Trend migrasi yang semakin meningkat dalam kalangan bakat tempatan kita terutama golongan muda agak membimbangkan dan merugikan negara dalam jangka masa panjang.

Tawaran pakej gaji menarik dikaitkan dengan kemahiran dimiliki serta setanding negara-negara pengimport bakat lain penting untuk mengekalkan mereka di negara ini.

Keempat, selaras dengan status negara tua menjelang 2030, lebih ramai golongan pesara dijangka memasuki pasaran buruh demi kelangsungan hidup pada zaman penuh cabaran ini.

Pesara yang memiliki pengalaman, kemahiran dan pengetahuan perlu diberi peluang memasuki semula pasaran buruh untuk menyandang jawatan-jawatan tidak diisi. Langkah serampang dua mata ini mampu mengatasi kekurangan pekerja dan pada masa sama menyediakan alternatif jaringan keselamatan sosial untuk mereka.

Kelima, isu underemployment (guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran) dalam kalangan graduan juga perlu diberi perhatian dalam konteks kebolehpasaran siswazah.

Program-program bridging (persiapan) yang diterajui industri perlu diperkenalkan dan program sedia ada seperti Penjana KPT-CAP boleh ditambahbaik untuk melengkapkan graduan dengan kemahiran khusus sebagai persediaan memasuki pasaran kerja yang kompetitif. Usaha ini boleh membantu mereka mendapatkan pekerjaan yang sepadan dengan bidang pengajian seterusnya dibayar gaji mengikut standard pasaran.

WANITA

Keenam, penyertaan wanita dalam pasaran kerja harus digalakkan untuk membolehkan mereka turut serta membantu membangunkan ekonomi negara. Penyertaan mereka dalam pasaran kerja kekal rendah berbanding negara-negara ASEAN lain seperti Singapura dan Thailand.

Kemahiran tertentu seperti multitasking dan attention to detail yang sinonim dengan wanita amat diperlukan dalam sektor kritikal tertentu seperti teknologi maklumat

Selain itu, majikan harus digalakkan mewujudkan tempat kerja yang mesra wanita atau mesra keluarga dari segi kemudahan dan polisi untuk membolehkan mereka menyertai tenaga kerja dan pada masa sama dapat melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga.

Ketujuh, pekerjaan berbahaya, kotor dan sukar (3D) harus dimodenkan dan dijenterakan termasuk penjenamaan semula jawatan bagi menarik minat rakyat tempatan menyertai sektor ini.

Elaun khusus sepadan dengan tahap 3D sesuatu pekerjaan perlu diperkenalkan. Langkah ini akan membantu mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing yang dilihat mendominasi sektor perladangan, pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan pembersihan.

Kelapan, belanjawan ini diharap memberi perhatian terhadap pengwujudan pekerjaan berkualiti, iaitu yang memerlukan kemahiran dan mampu membayar kadar upah tinggi kepada rakyat. Kerajaan harus terus menambah baik ekosistem perniagaan yang mesra perniagaan atau pelaburan dan menghapuskan kerenah birokrasi untuk menarik pelaburan langsung asing yang berkualiti dalam industri berteknologi tinggi.

Kesembilan, walaupun kadar pengangguran di negara ini menunjukkan tanda-tanda pengurangan, kita harus terus berusaha untuk mengurangkan jurang yang masih ada. Untuk rekod, sehingga Disember 2022, kadar pengangguran dilaporkan kekal 3.6 peratus dengan bilangan penganggur menurun kepada 599,600 orang berbanding 600,900 pada bulan sebelumnya.

Peruntukan sewajarnya perlu dibuat untuk membolehkan program seperti Karnival Kerjaya MYFutureJobs dapat dianjurkan dengan lebih kerap di seluruh negara untuk meningkatkan peluang pencari kerja mendapatkan pekerjaan termasuk golongan orang kurang upaya (OKU). Program Penjana Kerjaya adalah satu inisiatif kerajaan yang perlu diteruskan dengan peruntukan sewajarnya.

Kesepuluh, kerajaan harus memberi perhatian terhadap penyertaan belia dalam ekonomi gig yang dijangka terus meningkat pada hadapan. Ekonomi gig dijangka kekal relevan pada masa hadapan mengambil kira revolusi dalam sistem pekerjaan seperti aturan kerja fleksibel dan hibrid.

Bagaimanapun, belia yang merupakan masa depan negara harus digalakkan untuk keluar secara beransur-ansur daripada ekonomi gig dan mencari pekerjaan tetap dalam sektor dan industri kritikal. Mereka tidak seharusnya menjadikan pekerjaan berkemahiran rendah tertentu dalam ekonomi gig sebagai pekerjaan tetap sepanjang hayat dan tidak berusaha mempelajari sebarang kemahiran. Mereka harus dilatih semula sebagai persediaan untuk mendapatkan pekerjaan mahir dalam ekonomi digital termasuk dalam ekonomi gig itu sendiri. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. S.R. Subramaniam ialah pensyarah di Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Universiti Utara Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×