Belanjawan perlu tumpu ringankan beban rakyat

Belanjawan perlu tumpu ringankan beban rakyat

Gapema menggesa kerajaan membuat formula yang boleh menurunkan harga barang yang kini didakwa naik ‘gila-gila’. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini perlu menumpukan kepada inisiatif yang boleh mengurangkan beban kewangan yang ditanggung rakyat ketika ini.

Rakyat berdepan dengan pelbagai bebanan kewangan ketika ini antaranya kos memiliki rumah termasuk bil air, elektrik dan membaiki kerosakan, kos perjalanan dan memiliki kenderaan termasuk minyak petrol, bayaran tol dan servis serta kos membeli makanan dan minuman.

Ini juga termasuk kos langganan internet, kos pendidikan untuk anak-anak dari peringkat tadika hingga universiti selain kos yang perlu ditanggung untuk penjagaan kesihatan dan langganan insurans.

BERJIMAT

Sekadar berjimat cermat sahaja tidak mencukupi kerana ada yang mungkin berada dalam keadaan terpaksa sehingga berhutang sampai bankrap kerana tidak dapat melangsaikan hutang pinjaman peribadi, sewa beli kenderaan, pinjaman perniagaan, pinjaman perumahan dan hutang kad kredit seperti dilaporkan Jabatan Insolvensi.

Sebab itu, Menu Rahmah mendapat sambutan mengga­lakkan daripada pelbagai pihak kerana menawarkan harga yang berpatutan seperti yang dikehendaki rakyat, memberi signal bahawa inisiatif seumpamanya wajar diketengahkan.

Ini juga bagi memastikan tidak ada lagi mana-mana pihak yang meminta kerajaan supaya membenarkan pengeluaran wang daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff menyifatkan belanjawan 2023 perlu menumpukan kepada beban kewangan yang ditanggung oleh kumpulan B40 dan M40 ketika ini.

Katanya, dengan harga minyak dunia yang kekal tinggi, pertumbuhan eksport dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang memberangsangkan, ia harus diterjemahkan dalam pembentangan Belanjawan.

“Sektor utama seperti pendidikan dan kesihatan harus diberikan perhatian utama. Isu menangani kos sara hidup yang tinggi harus juga diberi perhatian yang lebih serius dalam Belanjawan kali ini melalui intervensi dan inisiatif yang berimpak tinggi.

“Pembangunan infrastruktur seperti jalinan internet, memperkasa pengangkutan awam, tidak harus dilupakan asalkan ia benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi.

Tahun lalu, kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memperuntukkan sejumlah RM372.3 bilion bagi 2023, berbanding RM332 bilion pada 2022 dan RM322 bilion pada 2021.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian memperuntukkan belanjawan mini berjumlah RM107.72 bilion termasuk RM2 bilion untuk Bantuan Tunai Rakyat yang dibayar bulan lalu sebagai salah satu langkah menangani kos sara hidup, sebelum membentangkan Belanjawan 2023 pada Jumaat ini.

INSENTIF

Dalam pada itu, pensyarah ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Dr. Barjoyai Bardai memberi pandangan bahawa insentif dan subsidi tertentu perlu diperkenalkan supaya golongan memerlukan dapat menikmatinya dalam jangka masa yang terdekat.

Namun, katanya, sebarang insentif dan subsidi perlu disalurkan secara bersasar supaya peruntukan yang diberikan tidak disia-siakan begitu sahaja.

“Kerajaan perlu beri perhatian khusus kepada kumpulan sasar B40 dan M40 yang amat memerlukan bantuan, namun subsidi perlu selektif kerana kita masih tidak dapat mengenal pasti siapa yang benar-benar memerlukan bantuan.

“Sebab itu, insentif dan subsidi sebelum ini begitu banyak isi rumah yang mendapat manfaat sehingga 8 juta orang. Jadi, kerajaan perlu berhati-hati supaya subsidi dapat diberikan dengan efektif dan berkesan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×