Lahir tanpa tangan tidak halang Norfarrah temui jodoh - Utusan Malaysia

Lahir tanpa tangan tidak halang Norfarrah temui jodoh

NORFARRAH Syahirah Shaari ketika ditemui di tempat kerjanya di Kolej Komuniti Teluk Intan di Teluk Intan semalam.– UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Gadis istimewa yang dilahirkan tanpa kedua-dua tangan, Norfarrah Syahirah Shaari bakal melangsungkan perkahwinan dengan jejaka pilihannya Julai ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Norfarrah Syahirah, 34, yang pernah mendapat perhatian apabila videonya menjahit pakaian perlindungan diri (PPE) menggunakan kaki dikongsi media antarabangsa ketika wabak Covid-19 berkata, lelaki yang menjadi pilihannya itu menetap di Kuala Lumpur.

Pembantu Tadbir di Kolej Komuniti Teluk Intan (KKTI) itu berkata, mereka berkenalan setahun dan bertunang pada November lalu.

“InsyaAllah kalau tiada halangan, Julai ini kami bakal melangsungkan perkahwinan. Dia tinggal di Kuala Lumpur, seorang lelaki yang sempurna fizikalnya.

“Sepanjang kira-kira setahun berkenalan, kami mempunyai keserasian. Dia telah datang berjumpa keluarga saya dan Alhamdulillah, kedua-dua pihak saya dan keluarganya merestui hubungan dan hasrat kami. Kami telah mengikat tali pertunangan November lalu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Norfarrah Syahirah juga mengharapkan semua pihak mendoakan jodoh dan kebahagian dia bersama tunangnya.

“Saya mengharapkan doa semua agar jodoh dan kebahagiaan saya hingga ke akhir hayat.
“Terima kasih kepada semua sebab beri sokongan dan doakan yang terbaik untuk saya selama ini.
“Terima kasih kepada ibu bapa saya, adik beradik kerana merestui perhubungan kami dan sudi menerima bakal suami saya. Kepada keluarga tunang saya, terima kasih kerana sudi mene­rima saya menjadi sebahagian daripada ahli keluarga mereka,” katanya.

Katanya, kekurangan dialaminya tidak menghalangnya menjalani kehidupan seperti biasa apabila berupaya menulis, memotong kain, menjahit pakaian bahkan memandu kereta menggunakan anggota kaki.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×