TOKOH awal gerakan Islam seperti Abul Ala al Maududi dan Sayyid Qutb pernah melontarkan wacana pemikiran Islam berkaitan usaha menghidupkan atau mengembalikan semula khalifah Islam dengan memperkenalkan konsep negara Islam.
Namun, konsep negara Islam yang diperjuangkan oleh tokoh-tokoh tersebut lebih mirip kepada teokrasi (sistem kerajaan yang menggunakan hukum Islam sebagai dasar pemerintahan negara) yang agak sukar ditegakkan berdasarkan perubahan yang berlaku dalam pemikiran dan kehidupan manusia moden.
Pun begitu, idea negara Islam tokoh-tokoh terbabit sangat kuat dan berdekad-dekad lamanya mempengaruhi banyak gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia. Ia menjadi wacana besar dalam abad ke-20 berkaitan konsep negara Islam.
Apabila berlaku Revolusi Iran (1979), wacana negara Islam tertumpu kepada konsep atau model negara Islam Iran yang berpegang kepada sistem politik Imamiyyah mengikut pemikiran Syiah Imamiyyah.
Kejayaan Iran menegakkan negara Islam di bawah pimpinan Ayatollah Khomeini berasaskan model pemikirannya itu telah menarik perhatian dan menjadi pemangkin baharu kepada banyak gerakan Islam termasuk di Malaysia dan Indonesia.
Mulanya, ada yang tertarik untuk meniru model negara Islam Iran itu tetapi menyedarinya bercanggah dengan konsep negara Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), maka mereka hanya mengambil semangat kejayaannya. Konsep sistem politik negara Islam Iran itu mendapat reaksi pelbagai daripada intelektual dan pemikir kontemporari Islam.
Kebanyakan pemikir dalam kalangan beraliran ASWJ tidak begitu bersetuju dengan negara Islam ala Iran itu. Akhirnya, konsep negara Islam Iran menjadi pudar dan para pemikir Islam kontemporari terus menilai kerelevanan dan realiti konsep yang paling praktikal dan realistik dalam usaha menjustifikasikan kewajipan menegakkan negara Islam.
Pengalaman negatif beberapa gerakan Islam yang memperjuangkan negara Islam seperti di Mesir, Tunisia dan beberapa negara di Asia Barat termasuk Sudan dan Pakistan menjadi hujah dan landasan untuk terus mencari idea negara Islam yang lebih relevan dan sesuai dengan semangat kontemporari.
Demokrasi ‘pasca’ revolusi seperti Revolusi Jasmin (Tunisia), Revolusi Tahrir (Mesir), revolusi menentang rejim Gaddafi di Libya dan beberapa perkembangan politik di Asia Barat gagal memberikan harapan kebebasan dan hak asasi sewajarnya kepada rakyat.
Demokrasi dicabuli oleh tentera dan berlaku tindakan-tindakan tidak berperikemanusiaan – memenjara dan membunuh rakyat sewenang-wenangnya atas nama demokrasi yang palsu.
INTELEKTUAL
Keadaan ini meningkatkan lagi arus gerakan kebangkitan Islam kontemporari dengan hasrat untuk mengembalikan kegemilangan tamadun Islam melalui konsep pemerintahan negara Islam yang lebih relevan dan praktikal.
Dalam konteks inilah, ramai yang melihat kepada idea pemikiran konsep negara Islam madani (sivil) berlandaskan nilai-nilai Islam yang lebih segar dan praktikal. Dalam bahasa Inggeris, civil state with Islamic reference yang dikaitkan dengan intelektual Muslim kontemporari dari Tunisia iaitu Rached Ghannouchi (lahir 22 Jun 1941).
Walaupun konsep madani ini bukanlah idea asal Ghannouchi yang juga antara pengasas Pergerakan Al-Nadha, kerana telah diwacana lebih awal lagi oleh beberapa intelektual dan pemikir Islam, namun beliau adalah antara intelektual yang telah membincangkannya secara holistik dalam bentuk idea yang segar, praktikal dan realistik serta bersifat kontemporari.
Ghannouchi dianggap telah menyumbang sesuatu yang berharga kepada gerakan Islam. Konsep negara Islam madani yang dikemukakan beliau disesuaikan dengan pendekatan dakwah dan politik.
Beliau yang pernah dipenjarakan sebanyak dua kali di bawah rejim autokratik, Habib Bourgiba dan hidup dalam buangan di London selama 22 tahun dianggap sebagai tokoh yang memperjuangkan aspirasi demokrat Islam seluruh dunia.
Baik di Tunisia mahupun di dunia Islam lain, idea politiknya memberi impak signifikan dalam menggembleng aspirasi kebebasan dan cita-cita demokratik Islam. Justeru, majalah Times (2012) pernah mengiktiraf beliau sebagai 100 individu paling berpengaruh di dunia.
Beliau juga pernah menerima anugerah berprestij Chatham House 2012 daripada Putera Andrew dari Britain bersama dengan Presiden Tunisia ketika itu, Moncef Marzouki kerana mereka telah berjaya mencapai kompromi ketika transisi demokratik Tunisia setelah kejatuhan rejim Zine El Abidine Ben Ali pada 14 Januari 2011.
Dalam buku 100 Great Muslim Leaders of the 20th Century oleh Mohd. Mansoor Alam (2005 ), beliau disenaraikan sebagai salah seorang antara 100 pemimpin Islam terkemuka di abad ke-20.
Dasar-dasar politiknya menjurus kepada memperjuang dan mempertahankan kebebasan, keadilan serta hak-hak manusiawi. Selain itu, beliau turut menekankan prinsip syura dalam struktur pemerintahan.
Dalam pentadbiran negara Islam madani, aspek-aspek yang sangat ditekannya ialah prisip tata kelola yang baik, faham kebebasan, pembahagian kuasa dan sistem multiparti.
Beliau menyebut bahawa kita adalah demokrat yang tidak lagi mendakwa mewakili Islam politik. Beliau tidak cenderung kepada Islam politik, sebaliknya mahukan Islam demokratik diperjuang dan diamalkan.
Hakikatnya, konsep negara Islam madani yang diperjuangkannya tidak akan berkiblat kepada fundamentalis agama mahupun sekular tetapi lebih menjurus kepada Islam demokrat di mana semua orang mempunyai tempat dan terbela di dalam negara Islam madani.
Saya kira konsep madani inilah yang cuba diterapkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pentadbirannya yang disesuaikan dengan tuntutan semasa dan kemajmukan pendudukdi negara ini.
Anwar sendiri sebelum ini dalam kebanyakan idea perjuangannya banyak merujuk kepada idea dan pemikiran Ghannouchi mengenai konsep negara madani. – UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.











