Cegah budaya taasub dalam masyarakat - Utusan Malaysia

Cegah budaya taasub dalam masyarakat

AMALKAN bukan sahaja dasar bertoleransi terhadap agama lain malah budaya hidup bersama rakyat pelbagai kaum dan agama. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERBUATAN mencerca, mencaci dan menyindir agama Islam didapati kian berlaku di Eropah secara amnya dan di Perancis, Sweden dan Denmark secara khususnya. Perbuatan jahat yang dilakukan oleh sesuatu pihak dari semasa ke semasa menyinggung dan mengguris hati umat Islam di seluruh dunia.

Beberapa tahun lepas, insiden seorang warga Sweden melukis karikatur Nabi Muhammad didapati bukan sahaja mencetuskan kemarahan umat Islam malah warga bukan Islam yang mengamal budaya serta hidup secara kewujudan bersama, hormat-menghormati agama lain seperti di Malaysia.

Kebanyakan kita pasti masih ingat pada 2006, Charlie Hebdo, sebuah majalah terbitan di Paris yang menyiarkan kartun, karikatur, polemik dan lawak jenaka sebagai platform untuk menghibur dan menyindir sesuatu pihak.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mereka telah menyiar gambar Nabi Muhammad dalam bentuk kartun yang mencetuskan kemarahan bukan sahaja dalam kalangan umat Islam malah kritikan dan protes dari seluruh dunia.

Malah, kartun mengaitkan Islam dan Nabi Muhammad saban hari disiar dalam media sosial yang turut menimbulkan kemarahan dalam kalangan netizen beragama Islam dan bukan Islam. Malaysia selaku sebuah negara majmuk menyertai negara-negara lain turut mengutuk perbuatan kurang adab dan jahat tersebut.

Susulan siaran-siaran tersebut, majalah Charlie Hebdo diserang beberapa kali atas siaran yang kurang adab malah menghina Islam dan Nabi Muhammad. Namun, perbuatan menghina dan mencerca agama Islam dilihat tidak terhenti malah semakin menular dalam kalangan masyarakat di sebelah Barat.

Selain itu, insiden mencerca dan mencaci agama Islam dan Nabi Muhammad juga dilaporkan berlaku di India. Pada 2022, pemimpin dari sebuah parti politik di India menyentuh sensitiviti agama Islam dalam satu siaran televisyen yang menimbulkan kontroversi dan kemarahan umat Islam bukan sahaja di dalam malah di luar India termasuk Malaysia.

Namun, apabila umat Islam di India mengadakan perarakan raksasa di beberapa bandar utama untuk mengutuk pemimpin dan parti politik yang disandarnya, pemimpin tersebut menarik balik kenyataan dilihat kurang biadab yang menyinggung perasaan umat Islam.

Dia juga dibuang dari parti politiknya. Negara-negara Arab dan beberapa organisasi Islam dari Malaysia juga mengutuk parti dan pemimpin yang terlibat.

Baru-baru ini, media antarabangsa melaporkan seorang ahli politik Sweden, Rasmus Paludan membakar senaskhah al-Quran sebagai tanda bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, Sweden. Perbuatan yang dianggap biadap dan jahat ini heboh dibincang dalam media malah dikutuk oleh masyarakat antarabangsa.

OIC

Malaysia selaku sebuah negara yang terdiri daripada penduduk majoriti beragama Islam mengutuk sebarang perbuatan yang mencaci dan menghina agama lain.

Negara ini selaku anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) malah pernah menerajuinya amat prihatin terhadap membina dan memelihara imej serta kesucian Islam termasuk kitab al-Quran bukan sahaja di persada dunia malah dalam kalangan rakyat berbilang agama.

Sehubungan ini, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk bangkit memprotes terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam perbuatan berkaitan mencaci dan mencerca kesucian agama Islam sama ada di dalam atau di luar negara.

Pada masa sama, kerajaan juga bertanggungjawab untuk memastikan budaya bigotry (ketaasuban) agama tidak bertunas dan menyebar luas dalam kalangan rakyat.

Malaysia mengamalkan bukan sahaja dasar bertoleransi terhadap agama lain malah budaya hidup bersama rakyat pelbagai kaum dan agama sepertimana disebut dalam al-Quran, surah al-Hujurat, ayat 13.

Dalam agama Hindu berteraskan Bhagavad Gita, ayat IV.11 juga menekankan budaya dan amalan toleransi agama malah hormat- menghormati agama-agama lain dan cara menunaikan sembahyang mengikut agama masing masing.

Justeru, rakyat yang kaya dengan warisan dan budaya tertinggi turun-temurun perlu bersatu padu bukan sahaja untuk mengutuk sebarang perbuatan yang dianggap jahat dan biadab terhadap agama lain seperti berlaku di Perancis, malah pastikan budaya ketaasuban tidak menular dalam kalangan rakyat, terutama anak-anak muda yang dianggap sebagai tiang seri negara.

Lebih-lebih lagi kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi konsep Malaysia Madani meliputi enam teras iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan perlu memastikan nilai-nilai tersebut bukan hanya menjadi retorik politik semata-mata malah perlu diterapkan dan terserlah dalam setiap dimensi pentadbiran kerajaan serta kehidupan rakyat.

Rakyat menolak sekeras-kerasnya Islamofobia dan xenofobia (benci terhadap orang asing). Sebaliknya mengalu-alukan konsep Malaysia Madani sebagai pendekatan untuk bergerak ke hadapan dalam mencapai ketamadunan tertinggi. – UTUSAN

DATUK M. Periasamy ialah penganalisis sosial dan politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×