Konsert Garis Masa pentas eksperimentasi Raihan - Utusan Malaysia

Konsert Garis Masa pentas eksperimentasi Raihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAM esok adalah detik penting dan istimewa buat peminat Raihan kerana selepas 22 tahun, kumpulan nasyid legenda itu bakal menggegarkan Stadium Malawati, Shah Alam menerusi konsert Garis Masa Raihan.

Persediaan konsert itu, yang sebelum ini ditunda atas faktor cuaca dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) juga hampir lengkap.

Pastinya, Raihan dan seluruh warga produksi pada saat ini sibuk dengan persiapan akhir menjelang momen bersejarah yang dijangka bermula sekitar pukul 9 malam itu.

Berkongsi rasa teruja, anggota Raihan, Che Amran Idris, mengajak peminat beramai-ramai hadir menyaksikan persembahan yang lebih segar, istimewa dan berbeza.

Menurutnya, Konsert Garis Masa Raihan bakal mengembalikan nostalgia buat penggemar yang membesar dengan lagu-lagu mereka.

“Kami bersyukur dan terharu kerana selepas 22 tahun, kami berpeluang sekali lagi berkongsi ekspresi muzik dengan peminat menerusi sebuah konsert berskala besar.

“Insya-Allah, penonton akan menyaksikan persembahan seperti yang sering kami persembahkan di luar negara. Set pentas, muzik, konsep, instrumen dan vokal yang akan dipertontonkan juga lebih matang dan berbeza.

“Ia akan menjadi momen penting kerana buat kali pertama, peminat dapat melihat persembahan kami seperti ini. Diharapkan konsert ini dapat mengubat rindu mereka terhadap Raihan,” katanya.

Konsert Garis Masa Raihan juga bakal menjadi pentas eksperimentasi lagu-lagu malar segar mereka yang akan dipersembahkan dalam genre muzik berbeza.

Sambung Che Amran yang mesra disapa Che Am, persembahan itu diyakini dapat memecahkan persepsi yang sinonim dengan kumpulan tersebut.

“Kami mahu kikis persepsi stereotaip terhadap kumpulan nasyid dengan menyuntik pelbagai elemen muzik seperti rock, pop, acapella dan tradisional menerusi lagu yang akan dipersembahkan nanti.

“Kami ingin raikan kepelbagaian genre kerana tidak mahu Raihan terus ‘terperangkap’ dalam persepsi sama,” ujarnya.

Gimik istimewa

Kira-kira 21 lagu bakal dipersembahkan dalam konsert berkenaan. Beberapa lagu juga akan disampaikan secara medley untuk memenuhi permintaan peminat yang ingin sentuhan kegemaran mereka disampaikan.

Kongsi Che Am lagi, Raihan juga akan menampilkan gimik sebagai pengisian istimewa dalam konsert berdurasi dua jam itu.

“Kami tidak dapat kongsikan lagi apa gimiknya. Biarlah penonton melihatnya nanti.

“Bagi peminat yang ingin tahu, datanglah menyaksikan konsert kami,” katanya.

Disoal tentang penjualan tiket, jelas Che Am, proses tersebut berjalan lancar dan jumlah (jualan) yang diraih cukup menggalakkan.

“Alhamdulillah, tiket sudah terjual lebih 90 peratus. Kepada yang berminat, masih boleh mendapatkannya di www.ticket2u.com.my.

“Saya difahamkan peminat dari Singapura dan Indonesia juga akan hadir ke konsert ini. Saya dan anggota Raihan lain sudah tidak sabar untuk bertemu mereka.

“Kami berharap konsert ini dapat menjadi trademark Raihan dalam meneruskan misi dakwah bukan sahaja di Malaysia, malah di luar negara,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×