PETALING JAYA: Kerajaan boleh menjimatkan kos setengah bilion ringgit setahun jika menggunakan getah asli tempatan sebagai bahan penurap dalam penyelenggaraan jalan raya di negara ini.
Penggunaan getah beku tempatan (cup lump) mempunyai jangka hayat dua kali ganda lebih tinggi dari menggunakan teknologi lama sisa serbuk tayar terpakai (crum rubber) yang diimport dari luar negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber industri yang rapat dalam merencanakan dasar berkata, penggunaan sumber tempatan itu juga dapat merangsang industri pengeluaran getah yang mengalami penyusutan harga dengan permintaan 90,000 tan metrik setiap tahun.
Katanya, ia sekali gus dapat meningkatkan pendapatan pekebun kecil yang berdepan dengan isu harga getah sejak sekian lama.
Bagaimanapun, sumber berkenaan mendakwa, usaha untuk mengetengahkan sumber getah asli ke dalam pasaran berdepan kesukaran disebabkan campur tangan ‘permainan’ orang tengah dan pelobi asing dari China dan India yang dikatakan memonopoli industri berkenaan.
“Tindakan mereka yang berterusan cuba menggagalkan usaha kerajaan menggunakan sumber getah beku tempatan sebagai campuran bagi menurap jalan raya, turut mengakibatkan permintaan getah beku dalam negara gagal dipertingkatkan sehingga mengakibatkan pekebun kecil getah terpaksa hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang akibat harga komoditi itu yang sangat rendah pada kadar RM2.50 sekilogram,” katanya.
Utusan Malaysia difahamkan, kumpulan pelobi terbabit tidak mahu getah beku tempatan digunakan secara meluas dalam penyelenggaraan jalan raya kerana ia akan menjejaskan perniagaan menghasilkan dan mengeksport sisa serbuk tayar masing-masing.
Kata sumber itu lagi, jika kerajaan serius mengoptimumkan penggunaan getah beku yang dicampur bitumen, dikenali sebagai Bitumen Terubahsuai Getah Bekuan (CMB), ia bukan saja akan membantu meningkat permintaan terhadap getah beku tempatan, malah menaik taraf sistem jalan raya di negara ini kerana teknologi itu dapat menggandakan jangka hayatnya.
Malah, katanya, teknologi CMB itu, jika dioptimumkan dapat meningkatkan kualiti jalan raya serta keselamatan pengguna jalan raya juga kerana mempunyai daya cengkaman lebih baik ke atas tayar kenderaan.
“CMB merupakan teknologi termoden dibangunkan saintis tempatan di sebuah agensi, melibatkan proses mencampurkan getah bekuan asli dengan bitumen iaitu produk petroleum cecair melekit, hitam dan amat likat atau separa pepejal yang dikelaskan sebagai tar.
“Campuran getah dan bitumen membentuk pengikat yang dipanggil Bitumen Terubahsuai Getah Bekuan yang memberi banyak manfaat kepada sektor pembinaan jalan raya terutama sifatnya yang tahan lasak.
“Bila kita buat kajian, memang kita lihat bahawa berbanding menggunakan sisa tayar, terdapat banyak kelebihan menggunakan CMB. Dari segi saintifik, sisa tayar ini datang dalam bentuk serbuk. Ia tidak larut dalam bitumen. Apa yang berlaku, ia bersifat sebagai filler yang akan mengeraskan benda itu.
“Jika menggunakan CMB, ia sangat berbeza kena getah itu cair dan bersebati dengan bitumen. Dalam soal bitumen pula, ia ibarat pengikat atau gam. Jadi, bila kita menggunakan getah dalam bitumen, daya gam itu lagi kuat berbanding dengan sisa tayar,” katanya.
Dalam pada itu, sumber berkata, bagi setiap satu kilometer jalan raya dengan keluasan 7,000 meter persegi, getah beku yang digunakan adalah 4.2 sehingga 4.5 tan maka untuk turapan 20,000 kilometer (km) setiap tahun, cup lump yang digunakan lebih kurang 84,000-90,000 tan setahun.
Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam maklum balas kepada akhbar ini berkata, kos kerja turapan permukaan jalan setiap tahun bergantung kepada peruntukan yang diterima.
“Bagi tahun 2022, kos adalah RM472,999,878.00, manakala bagi 2021, kosnya berjumlah RM849,789,912.51. Sementara itu, bagi tahun 2020, kosnya berjumlah RM496,662,531.60,” katanya.
Pada masa sama, JKR menjelaskan, campuran sisa habuk tayar terpakai adalah digunakan oleh bagi kerja-kerja berkala sejak 2019.
Malah, katanya campuran getah beku bagi menurap jalan raya dalam Cuplump Modified Asphalt (CMA) telah digunakan pada sejak tahun 2019.
“Setiap tahun JKR merancang penggunaan normal mix dan specialty mix dalam kerja-kerja berkala pavement bagi penurapan jalan. Penentuan bagi penggunaan specialty mix adalah bergantung kepada kesuaian lokasi dan jenis kerosakan jalan di tapak,” katanya. – UTUSAN










