PETALING JAYA: Hentian bas antara menjadi tempat berlindung atau ‘rumah’ bagi sesebuah keluarga untuk berlindung selepas kehilangan tempat tinggal dalam satu malam akibat kejadian gempa bumi kuat yang menimpa Turkiye dan Syria.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Pertubuhan Tumbuh Insan (Tumbuh), Imran Zaki berkata, keadaan di sana sangat menyayat hati apabila tragedi tersebut bukan sahaja menghancurkan harta benda penduduk tetapi juga meragut nyawa.
Katanya, kebanyakan rumah hancur dan retak mengakibatkan semua mangsa kehilangan tempat tinggal dalam satu malam, di mana memaksa mereka keluar daripada negeri atau bandar bagi mencari tempat selamat untuk berlindung.
“Di sini, seperti kawasan perang apabila banyak bangunan runtuh, seluruh bandar ditutupi debu dan masyarakat berduka menjadikan ia suram serta sunyi. Mangsa kehilangan keluarga dan tempat tinggal dalam satu malam, jadi sudah pasti mereka terkejut dan denial.
“Kami bergerak ke merata tempat bagi melihat bagaimana mangsa-mangsa tinggal di khemah, ada tinggal di kereta, depan kedai terbiar, kawasan taman, stesen bas atau ada juga sudah bergerak meninggalkan negeri ini menuju negeri terdekat yang lebih selamat.
“Selain itu, kami melihat orang-orang termenung sendirian, semua keluarganya meninggal. Ada juga mangsa masih menanti pasangan dan anak yang dalam runtuhan, berhari-hari tidak bergerak ke mana-mana, kesejukan tetapi masih menanti,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, ribuan penduduk maut dan cedera akibat tertimbus dalam runtuhan bangunan di Turkiye dan Syria apabila gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda dua negeri tersebut.
Imran berkata, Tumbuh sudah enam hari berada di sana dengan diwakili tiga sukarelawan memberi fokus kepada kawasan luar bandar iaitu di Hatay, Turkiye bagi memastikan semua mangsa mendapat bekalan secukupnya.
“Disebabkan bekalan terputus, kami beri fokus kepada luar bandar, kerana kawasan bandar menerima tumpuan bantuan yang sangat banyak daripada kerajaan dan NGO-NGO besar.
“Kami bekerjasama dengan NGO tempatan bernama IHH untuk menyampaikan bantuan daripada pelbagai sumber seperti hot meals, pakaian sejuk, selimut, diapers pada wanita, set hygiene, makanan tin dan biskut-biskut,” katanya.
Menurut Imran, mangsa-mangsa di sana juga cukup kuat dan lebih memikirkan keperluan orang lain berbanding diri sendiri bagi memastikan bantuan diberi bukan sekadar cukup tetapi meliputi semua tanpa ada mangsa tertinggal. – UTUSAN










