KUALA LUMPUR: Peruntukan kepada sekolah-sekolah daif adalah antara fokus dalam pembentangan Bajet pada 24 Februari ini.
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menjelaskan, beliau akan memberi kesamarataan tidak kira sekolah jenis kebangsaan apa, namun memberi tumpuan kepada kemudahan sekolah yang benar-benar ‘parah’.
“Semua sekolah tanpa kecuali di bawah kategori daif, tandas pecah, bumbung bocor, saya tidak kira sekolah mana, Melayu, Tamil, Cina. Kita akan sediakan peruntukan agak besar. pendekatan saya, masih ada tuntutan, memang kebanyakan sekolah kebangsaan dan sekolah Tamil, banyak yang agak parah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Perjumpaan Khas bersama Ahli Dewan Negara di Parlimen, semalam. Turut hadir, Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim.
Selain itu, antara perkara yang turut menjadi tumpuan adalah kemiskinan tegar yang melibatkan 156,000 orang.
“Tidak bolehkah kita cari jalan selesaikan dalam masa lima tahun, kalau kita masuk keluarga itu bagaimana?
“Saya mencari jalan untuk menyelesaikan perkara ini, kemiskinan tidak mampu mana-mana negara di dunia selesaikan, tetapi kemiskinan tegar, nak beli susu anak tidak cukup, pampers tidak cukup, ini tidak boleh dibiarkan,” ujarnya.
Sementara itu, Anwar turut menjelaskan yang beliau pergi ke Turkiye adalah bagi memberi semangat kepada Presidennya, Recep Tayyip Erdogan berikutan kejadian gempa bumi yang menimpa negara itu sehingga meragut puluhan ribu nyawa.
Jelasnya lagi, beliau tidak akan pergi dengan tempoh masa yang lama susulan persidangan Dewan Rakyat sedang berjalan selain beberapa temujanji yang sukar untuk dipinda.
“Saya mulanya enggan pergi sebab SMART team dah hantar, hospital dah pergi tetapi saya, lihat kesan kepada presiden dan pimpinan, sahabat harus bersama. Itu sebab saya akan pergi bersama dengan Menteri Luar dan menteri yang menjaga NADMA.
“Esok petang saya balik. Sebab Parlimen masih bersidang ada ada beberapa temujanji yang dibuat yang sukar untuk saya pinda. Sebelum pagi Khamis saya sampai (Malaysia).” jelas beliau. – UTUSAN










