BERMULA sekadar hobi dan berkeinginan untuk menjadi makanan seisi keluarga, hari ini, seorang pengusaha tapak semaian di Simpang Empat, Alor Setar di Kedah, berjaya menanam kira-kira 50 jenis anggur.
Kebun anggur diusahakan sejak 10 bulan lepas itu kini tumbuh merimbun di tapak semaian yang merupakan perkarangan kediaman Mohd. Hisham Md. Isa, 49.
“Teringin makan anggur petik sahaja,” katanya berseloroh ketika Utusan Malaysia mengunjungi kediamannya di Simpang Empat, baru-baru ini.
Mengapa tidak kerana anggur berkenaan sudah mula berbuah dan paling menyeronokkan, ia sangat enak dan juicy, setanding anggur import yang boleh dibeli di pasar raya.
Menurut Mohd. Hisham, ada kira-kira 50 spesis anggur ditanamnya.
Antaranya adalah daripada baka terbaik dan popular seperti Jupiter, Casanova, Natalie, Red Globe, Sunny Dolce, Red Romance, Angelica, Nina Queen dan Carnival.
Kebanyakkan baka anggur berkenaan, didapati dari Indonesia yang dikatakan semakin rancak mengkomersialkan tanaman tersebut.
Ada juga baka anggur yang dibeli dari Amerika Syarikat (AS), Jepun dan India.
Kebanyakan baka-baka dimiliki akan ‘dikahwinkan’, bagi membolehkan ia menyesuaikan diri dengan cuaca tempatan.
TIDAK RUMIT, SESUAI CUACA TEMPATAN
Penanaman anggur tidaklah serumit yang disangka kebanyakan orang kerana pada asasnya, penjagaannya sama sahaja seperti pokoh buah-buahan yang lain.
Mohd. Hisham berkata, ramai yang rasa malas nak tanam anggur kerana pada sangkaan mereka, ia tidak sesuai dengan cuaca negara ini.
Realitinya, tumbuhan menjalar itu sangat sesuai ditanam di negara Asia, termasuk Malaysia yang cuacanya panas dan lembab, berbanding Barat yang memiliki cuaca empat musim.
“Anggur perlukan cuaca panas sepanjang masa. Ia juga tidak suka kepada hujan kerana boleh mengakibatkan daunnya berkarat, manakala buahnya tawar. Ramai juga yang takut tanam anggur sebab faktor hujan.
“Namun, tidak salah mencuba. Bagi yang mahu cuba tanam, saya sarankan buat rumah hijau berukuran tiga meter persegi sahaja. Kecil pun tak mengapa, janji boleh tanam dua tiga pokok sebagai percubaan,” katanya.
Ujarnya aspek penjagaan juga tidak rumit, di mana ia memerlukan baja dan racun sama seperti tanaman lain.
“Begitupun, saya syorkan racun organik sahaja untuk hapuskan serangga termasuk hama merah yang suka makan bunga dan daun. Menyiram pula tidak perlu terlalu kerap sebab pokok anggur tidak boleh menakung air. Itu kita syorkan tanah yang dicampur bersama sekam padi,” jelasnya.
‘Sedia ajar, jual anak pokok’
Pokok anggur mula berbuah seawal usia lima bulan dan boleh dipetik beberapa bulan selepas itu.
Lebih menarik kata pengusaha ini, anggur boleh dituai sepanjang tahun kerana untuk ‘membuahkannya’, ia hanya perlu dipangkas batangnya bagi membolehkan tunas baharu tumbuh dan berbunga.
“Setelah dipangkas, tumbuh tunas dengan bunga, yang mana ia akan berbuah kembali. Anggur akan terus berbuah sehingga pokoknya mati,” kata Mohd. Hisham
Beliau mengakui, tanaman anggurnya itu sering menjadi perhatian orang ramai yang mengunjungi premis tapak semaian, malah ada yang datang untuk membeli.
“Ramai pelanggan yang datang ke sini, seronok tengok pelbagai jenis dan bentuk pokok anggur. Ada juga yang tidak dijual di kedai atau pasar raya. Ada yang nak minta beli, tapi saya tak jual. Kalau mahu makan, saya sedekah sahaja.
“Tetapi bagi mereka yang nak berjinak-jinak dengan penanaman anggur, saya ada menjual anak pokok dan sedia mengajar mereka kaedah penanaman anggur,” katanya.
Walaupun usaha Mohd. Hisham itu sekadar suka-suka, beliau amat berharap tanaman anggur di negara ini dapat dikomersialkan seperti yang dilakukan negara jiran.











