GEORGE TOWN: UMNO yang hanya memperoleh 26 kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu dijangka terus ditolak rakyat dalam pilihan raya negeri (PRN) yang bakal berlangsung di enam negeri.
Veteran politik, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, ini kerana tindakan pemecatan dan penggantungan beberapa pemimpin parti itu seperti bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin telah menjauhkan rakyat terutama pengundi muda daripada UMNO.
”Tidak mustahil apa yang berlaku kepada UMNO pada PRU15 akan berterusan pada PRN kerana rakyat tidak melihat UMNO sebagai sebuah parti demokrasi ekoran tindakan pemimpin tertinggi parti yang memecat beberapa pemimpin,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
UMNO bulan lalu mengumumkan langkah drastik dengan memecat Khairy dan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar atas dakwaan melanggar disiplin parti semasa pilihan raya umum lalu.
Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan penyandang Timbalan Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan pula digantung selama enam tahun.
Menurut Mohd. Yussof, UMNO mungkin akan mendapat kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi meletakkan calon mereka bertanding pada PRN di enam negeri termasuk di Pulau Pinang, namun tiada jaminan untuk calon UMNO menang,” ujarnya.
”Ahli-ahli akar umbi termasuk veteran sukar menerima apa yang dilakukan pimpinan atasan parti itu pada masa sekarang,” katanya.
Dalam pada itu jelas beliau, kepemimpinan tertinggi UMNO diingatkan jangan menghalalkan tindakan memecat beberapa pemimpin parti itu dengan memberi alasan untuk mengelakkan perpecahan dalam parti.
”Kita tahu tindakan pemecatan dan penggantungan ini dilakukan untuk mengelakkan berlakunya pertandingan semasa pemilihan nanti serta untuk menyelamatkan Presiden UMNO.
”Jadi nasihat saya kepada pemimpin atasan UMNO, jangan halalkan perkara-perkara yang jelas bertentangan dengan prinsip sebenar parti demi menyelamatkan pemimpin tertentu,” katanya. – UTUSAN










