Kekang inflasi perlu ambil kira masalah rakyat - Utusan Malaysia

Kekang inflasi perlu ambil kira masalah rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan wajar melihat implikasi kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) terhadap rakyat terlebih dahulu walaupun usaha tersebut bagi mengekang negara berdepan inflasi.

Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Dr. Lee Nan Sang mengakui kenaikan OPR menenangkan inflasi walaupun dengan kadar yang tidak jelas, iaitu akan menyekat pinjaman wang daripada bank dan mengurangkan aliran tunai di pasaran.

Namun, menurut beliau, ia juga akan menambah beban kepada pengguna yang kini sudah pun terbeban dengan lonjakan kos sara hidup tetapi jumlah pendapatan sama dan kerana itu mereka perlu dijamin bahawa kenaikan tersebut tidak memberi kesan buruk.

“Walaupun dapat sedikit banyak dapat mengekang inflasi, tetapi ia juga akan menambah beban pengguna, di mana ‘wang atau tunai’ yang ada di tangan akan berkurangan. Ia secara langsung akan mengurangkan perbelanjaan dan ekonomi di pasaran juga terjejas kerana daya membeli menurun.

“Malah, kesan kepada rakyat sebagai peminjam institusi kewangan akan turut dipengaruhi kerana bayaran pinjaman mereka dinaikkan akibat kenaikan OPR. Sehubungan itu, LPKPM menegaskan bahawa apa jua polisi dan langkah diambil, harus sentiasa prihatin kepada pengguna,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi kepada 3.0 peratus pada Mac ini bagi memastikan pelaburan di negara ini kekal kompetitif selain me­ngukuhkan mata wang ringgit.

FED

Kenaikan tersebut dikatakan harus dilakukan berikutan keputusan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) yang terus menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas kepada 4.75 peratus.

Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM), Azlin Othman berkata, kenaikan OPR perlukan sekurang-kurangnya sembilan bulan untuk menampakkan impak kepada ekonomi untuk menurunkan kadar inflasi.

“Kadar OPR yang rendah akan menyebabkan kadar faedah pinjaman menjadi lebih rendah dan menggalakkan pengguna untuk berbelanja, membuat pinjaman bank serta merangsang ekonomi negara.

“Manakala,kadar OPR lebih tinggi pula akan menyebabkan kadar faedah pinjaman menjadi lebih tinggi, sekali gus menyebabkan kadar pinjaman perumahan atau pinjaman perniagaan menjadi lebih mahal untuk mengalakkan pengguna untuk menyimpan dalam deposit tetap dan sebagainya lalu menggalakkan orang ramai untuk lebih menyimpan serta kurang berbelanja.

“Namun, kerajaan perlu untuk sentiasa mengambil kira implikasi kenaikan tersebut kepada rakyat, masalah kewangan rakyat kini belum stabil terutama selepas pandemik Covid-19,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×