KONSEP Malaysia Madani yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bulan lalu adalah hasil garapan berdasarkan pengalaman hidup beliau. Ia termasuk fasa sebagai seorang aktivis gerakan mahasiswa di Universiti Malaya (UM) pada dekad 1970-an.
Demonstrasi Baling pada 1974 misalnya memperlihatkan mahasiswa membela nasib penoreh apabila kejatuhan harga getah menyebabkan pendapatan mereka merudum. Pada saat inilah nama Anwar mekar dan harum sebagai jaguh membela rakyat bersama aktivis mahasiswa lain.
Kebebasan berpolitik mahasiswa dikatakan terganggu dengan pengenalan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971. Sebelum ini, mahasiswa tidak lagi boleh aktif dalam kegiatan berpolitik, malah memberikan simpati kepada parti politik boleh dikenakan tindakan.
Namun, kebebasan berpolitik mahasiswa dikembalikan semula dengan beberapa pindaan dalam AUKU dan kini mahasiswa bebas berpolitik di luar dan dalam kampus. Lebih-lebih dengan pelaksanaan Undi18, kebebasan berpolitik mahasiswa semakin meluas apabila boleh menentukan kerajaan dalam proses demokrasi melalui pilihan raya.
Hakikatnya, pemerkasaan mahasiswa bukan hanya berlaku melalui gerakan mahasiswa dalam konteks kebebasan berpolitik. Lebih besar daripada itu, bagaimana mahasiswa boleh menimba sebanyak mungkin pengalaman kehidupan yang bermakna sepanjang keberadaan mereka di kampus. Pengalaman inilah yang akan menjadikan mahasiswa itu lebih bersedia ke dunia realiti di luar bersama nilai kehidupan diperlukan.
Hasrat ini sebenarnya terkandung dalam Perutusan Tahun Baharu 2023 oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini. Agenda pemerkasaan mahasiswa menjadi salah satu daripada 11 fokus utama beliau di kementerian pada tahun ini.
Melalui perutusan tersebut, Mohamed Khaled menegaskan, pemerkasaan mahasiswa akan memberi lebih banyak tanggungjawab dan ruang membuat keputusan. Saya sangat bersetuju apabila beliau menggunakan istilah tanggungjawab, bukannya hak. Tanggungjawab memberi ingatan kepada mahasiswa bahawa mereka mempunyai amanah dan tuntutan yang perlu digalas sebaik mungkin.
Tangungjawab mahasiswa bukan sekadar mencapai kecemerlangan akademik dan menamatkan pengajian tetapi membentuk keperibadian dan sahsiah mereka menjadi insan unggul. Berbanding menekankan soal hak, ia akan mendorong mahasiswa menuntut sesuatu yang belum tentu mereka mampu tunaikan.
Memberikan lebih banyak tanggungjawab kepada mahasiswa untuk beraktiviti dan menguruskan kegiatan bermakna banyak masa perlu diperuntukkan. Selain menghadiri kuliah, mereka perlu memperuntukkan masa untuk bersosial, berpersatuan, bersukan dan berbakti kepada masyarakat.
JATUH, BANGUN
Saranan Mohamed Khaled agar mahasiswa diberikan kepercayaan dan mandat untuk membuka perniagaan, mengurus kewangan persatuan dan merencana sendiri cara bekerja serta memperjuangkan agenda mahasiswa suatu perkara yang baik.
Kepercayaan dan mandat ini akan memberikan pengalaman pembelajaran ke arah persediaan kehidupan mencabar. Mahasiswa perlu melalui fasa jatuh dan bangun agar mereka memahami erti kehidupan sebenar yang pada akhirnya, menjadi mereka manusia tabah, bingkas dan berdaya tahan.
Kita percaya hanya melalui pengalaman ini, mahasiswa dapat belajar sesuatu tentang kehidupan kerana setiap perkara yang perlu dicapai perlulah diperjuangkan sebaik mungkin. Bukan lagi mahasiswa yang mudah ‘koyak’ dan rapuh hanya kerana isu kecil yang sebenarnya boleh diselesaikan.
Persoalannya, mampukah sistem sesi akademik sedia ada menyediakan suatu ekosistem kondusif kepada mahasiswa? Ada pihak berpandangan sistem pengajian semester yang dilaksanakan sekarang tidak memperuntukkan lebih banyak masa kepada mahasiswa untuk beraktiviti. Sistem semester yang padat dengan kuliah dan penilaian berterusan menjadikan mahasiswa terlalu fokus kepada tuntutan akademik.
Justeru, wujud cadangan agar sistem pengajian semester dilihat semula dengan cadangan pelaksanaan sistem penggal jika sesuai. Hal ini kerana sistem penggal memberi lebih banyak masa kepada mahasiswa untuk beraktiviti apabila tempoh pengajian lebih panjang.
Selain itu, penawaran kursus wajib baharu yang mengambil kira kepentingan semasa dikatakan menambah beban pembelajaran mahasiswa. Tambahan jam kredit ini juga boleh mengambil masa pelajar untuk melaksanakan kegiatan di luar dewan kuliah.
Kursus Integriti dan Anti Rasuah (KIAR) misalnya, yang mahu ditawarkan sebagai kursus wajib dalam Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU) bermula 2023 sewajarnya disemak semula. Hal ini kerana elemen integriti dan antirasuah boleh diajar dalam semua kursus secara teradun dengan menghubung kait dalam konteks isu-isu semasa. Tambahan pula, proses ilmu tidak hanya melalui pendidikan formal tetapi tidak formal.
Pada masa sama, pelaksanaan tahun senggang juga memerlukan mekanisme berkesan oleh pihak universiti untuk dilaksanakan. Peranggu minda mahasiswa juga perlu diubah agar mereka tidak mengambil sikap terburu-buru untuk menamatkan pengajian tetapi menimba sebanyak mungkin pengalaman pembelajaran ke arah persediaan kehidupan mendatang sebelum bergraduasi.
Secara tuntasnya, pemerkasaan mahasiswa adalah suatu langkah baik bagi melahirkan mahasiswa sebagai insan dan warganegara yang baik. Memanusiakan manusia. Merekalah yang akan mengisi makna visi dan kerangka dasar Malaysia Madani yang menjadikan bumi bertuah ini sebuah negara bertamadun tinggi. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain ialah Ketua Unit Literasi dan Advokasi Politik, Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia (UPM).











