Kita gagal fahami isu sebenar Palestin

Kita gagal fahami isu sebenar Palestin

RAKYAT Palestin setiap hari diingatkan tentang makna hidup akibat penindasan dan kekejaman Zionis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENYELESAIAN masalah bermula dengan satu perkara asas, iaitu mengenali masalah itu sendiri. Barangkali itulah kelemahan umat pada hari ini, terlalu responsif terhadap segala yang dilemparkan kepada kita.

Malah kita juga sering bertindak tanpa benar-benar mengetahui bagaimana dan kenapa perjalanan penuh ranjau perlu diharungi? Kita turut gagal menyediakan apa yang perlu dibawa dan tidak menemui penghujung destinasinya. Pada akhirnya ia menyebabkan kita meracau di dalam gelap, bagai layang-layang terputus talinya kerana gagal mengenali masalah yang ada di hadapan mata.

Ia tidak sama dengan hakikat dihadapi penduduk Palestin sendiri yang setiap hari mereka diingatkan tentang makna hidup. Selama 10 tahun menetap di Gaza, saya tidak pernah melihat media tempatan membuat liputan berita sensasi tentang artis, isu remeh-temeh pergaduhan rumah tangga atau menyiarkan rancangan sitkom serta rancangan realiti lawak jenaka yang menghiburkan sehingga ke tahap melalaikan. Yang dipaparkan adalah berita serangan ke atas Masjid Al-Aqsa atau perancangan mutakhir penjajah me’Yahudi’kan perkampungan asal dengan menghalau penduduknya atau berita syuhada yang terkorban akibat operasi pencerobohan musuh.

Penduduk di Palestin juga setiap hari diingatkan tentang perjuangan kerana setiap rumah pasti akan ada syuhada dalam kalangan ahli keluarga. Dengan gambar-gambar syuhada ini menghiasi ruang tamu, pasti akan ada bunyi putaran tayar kerusi roda pemuda yang cacat ditembak penjajah atau paling tidak, ada dalam kalangan adik-beradik mereka menjadi tahanan di dalam penjara Zionis.

Baru sahaja hendak mengelamun, akan kedengaran bunyi letupan roket daripada jet pejuang F16. Baru sahaja hendak bersuka-ria, bunyi dengungan dron-dron Zionis mengingatkan bahawa mereka sedang diperhatikan. Baru sahaja mahu membuka helaian kerja sekolah atau nota kuliah universiti, tiba-tiba lampu terpadam menandakan jadual elektrik untuk kawasan mereka telah habis dan sampai sudah giliran mereka bergelap, segelap masa depan yang cuba dibangunkan.

Ia hakikat muram dan suram tetapi peringatan yang datang secara berterusan, sama ada secara langsung atau tidak bahawa penduduk ini masih berada di bawah penjajahan menjadikan mereka kental dan tabah.

Mereka dilahirkan dengan mempunyai matlamat hidup, iaitu kemerdekaan negara, dibesarkan dengan memahami malah menghayati erti pengorbanan di tahap tertinggi, iaitu pengorbanan nyawa dan darah.

Sebab itu kami mengambil inisiatif berkongsi melalui ruangan ini untuk menjentik rasa yang hampir lali. Ia ruang untuk menghidupkan hati yang sudah mati. Ia berhasrat memberi makna kepada hidup kita agar tidak alpa bahawa ada di luar sana yang memanggil dan memerlukan kita untuk menghulurkan bantuan.

NAKBAH

Tetapi yang lebih penting daripada itu semua, coretan kecil kami ini berhajat untuk mengisi fikiran kalian, para pembaca dan pencinta Palestin serta hal ehwal kemanusiaan dengan ilmu dan kefahaman. Kerana melalui penerapan ilmu dan kefahaman terhadap apa yang sedang melanda umat, barulah akan dapat kita melahirkan pejuang yang bertindak tanpa lesu dan tanpa musim.

Ramai orang mengaku mencintai Palestin apabila ditanya tentang bilakah bermulanya isu yang panjang ini. Akan menjawab bahawa ia bermula dengan peristiwa Nakbah pada 1948, bencana yang menyebabkan sekitar 800,000 orang penduduk asal Palestin diusir dari kampung halaman mereka. Perkongsian kami akan membetulkan pemahaman kalian dan membawa para pencinta pembebasan menelusuri sejarah kewujudan ideologi Zionis sejak 1880-an. Dalam masa sama, kita akan mendalami setiap tindakan yang dilakukan sehingga kewujudan negara bangsa khusus untuk Yahudi – takrif Zionisme menjadi realiti.

Ramai yang dimomokkan oleh pihak tidak bertanggungjawab bahawa Yahudi Zionis mengambil-alih kawasan dan rumah-rumah ‘kosong’ yang ditinggalkan penduduk Palestin pada 1948. Kemudian ia diisi dengan pendatang Yahudi untuk dibangunkan dan dimodenkan setanding negara-negara Barat lantas menjadikan Israel ‘negara demokrasi’ tunggal di Timur Tengah. Penulisan kami membawa kalian memahami bagaimana sebenarnya undang-undang law of absence ini digunakan untuk merampas kawasan perumahan dan perusahaan penduduk Palestin yang asal secara halus dan tersusun sehingga ia dinormalisasikan sebagai ‘khidmat’ kepada negara yang kononnya mundur dan tidak berjaya dibangunkan.

Ramai juga yang mencintai Palestin tetapi masih tertanya-tanya malah menyalahkan para pejuang yang dilihat gah dan berkuasa di Gaza kerana tidak mengangkat senjata malah tidak berdepan dengan tentera penjajah apabila Masjid Al-Aqsa diceroboh dan dinodai. Nukilan ringkas kami yang harapnya terus istiqamah akan membawa kalian mengenali demografi dan sistem politik yang ada di Palestin agar mengerti kenapa tangan-tangan mujahidin tidak dapat sampai secara terus ke Al-Aqsa. Malah kalian akan memahami kenapa roket-roket yang diterbangkan memadai untuk membuatkan musuh menggeletar walaupun senjata api IWI Tavor TAR-21 buatan mereka tersemat di tangan, malah mereka berlindung pula di balik kereta kebal Merkava 4 buatan tempatan.

Kemudian kalau umur kami dan umur kalian panjang, kami akan membawa kalian mengenali musuh pula – penduduk Israel, kekuatan dan kelemahan mereka, lobi-lobi serta ‘Abang Long’ yang paling kuat menyokong mereka malah betapa peliknya agama Yahudi yang mereka anuti. Bukankah pepatah Melayu menyebutkan, tidak kenal maka tak ‘cinta’? Kalau tidak ‘cinta’, nak lawan macam mana. Keep your friends close and your enemies closer.

Secara bergilir saya dan pasukan advokasi kami di Cinta Gaza Malaysia akan menyelongkar makrifat tentang isu yang telah berabad ini agar kita sama-sama dapat mengenali hakikat. Setelah itu barulah perjuangan kita akan berada di landasan betul, barulah ia akan menatijahkan tindakan yang tepat. Dengan bismillah, kami memulakan penulisan ini, doakan agar ia dicurahi berkat. – UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM) dan menetap di Palestin sejak 2013.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×