‘Siapa perintah, parti itu saya pilih’

‘Siapa perintah, parti itu saya pilih’

ZAHIDI ZAINUL ABIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Apabila bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, DATUK ZAHIDI ZAINUL ABIDIN yang dipecat daripada parti mengumumkan mahu menyertai PKR bersama-sama 100 penyokongnya, baru-baru ini, beliau menerima kritikan hebat.

Pelbagai kata-kata kecaman termasuk ‘katak’, ‘sampah’, ‘mahu meruntuhkan kerajaan perpaduan’ yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim dilemparkan pada bekas Ketua UMNO Bahagian Padang Besar itu.

Bagaimanapun, beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia ada sebab mengapa Pakatan Harapan (PH) menjadi pilihannya.

Ikuti penjelasan beliau kepada wartawan Utusan Malaysia, ZABRY MOHAMAD MADZLAN, kelmarin.

UTUSAN: Kenapa pilih nak masuk PKR? Bukan Pas, bukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)?
ZAHIDI: Kena ingat, saya sebagai ketua bahagian hampir 25 tahun, dalam UMNO 40 tahun. Jadi, kebanyakan orang UMNO sudah jadi sahabat saya. Bukan setakat sahabat, ada yang macam saudara sendiri.

Pertama sekali, kita nak masuk PH sebab Zahid (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) suka pecat orang. Jadi, kalau kita masuk parti lain selain daripada parti yang Zahid berpakat, sekarang Zahid berpakat dengan PH. Jadi, siapa yang jumpa saya, katakan orang Barisan Nasional (BN) jumpa saya, maka dia pecatlah orang itu. Kita ada presiden yang suka pecat orang. Jadi, dia nak pecat tidak boleh sebab dia berpakat dengan Anwar (tubuh kerajaan perpaduan).

Keduanya, kita perlu majukan Perlis. Perlis tiada sumber. Jadi, kalau Kerajaan Persekutuan tidak masuk duit ke Perlis, tidak tubuh unit Kerajaan Persekutuan di Perlis, nanti jadi macam mana UMNO buat di Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dahulu. Jadi, maknanya ada sikit (peruntukan). Sebab masuk PKR ini nak sokong Anwar, bagilah peruntukan sikit kat Perlis.

Kalau masuk satu lagi (Perikatan Nasional), sudahlah tidak dapat jumpa orang UMNO, negeri duit pun tidak masuk.

Datuk akan minta jawatan dalam PKR?
Saya nak bagi sumbangan sahaja, jawatan tidak mahu. Nak jadi ahli biasa sahaja.

Sekarang dalam PH antara PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah), mana yang terima kita? Kalau Amanah terima kita, kita masuk Amanah. Kalau PKR terima kita, kita masuk PKR.

Apa sumbangan yang boleh Datuk berikan pada PH?
Kita cubalah dapatkan kerusi di Perlis, cari penyokong. Pada masa akan datang kalau UMNO boleh pakat dengan PH, tentu kita boleh dapat dua, tiga kerusi. Jadi, ada maknanya untuk kita bertapak di Perlis.

Datuk dikecam apabila umum mahu masuk PKR. Komen?
Pertama sekali, saya dipecat. Panggil saya ‘katak’, lagu (macam) mana nak lompat? Sebab kita dipecat. Jadi, orang yang kata kita ‘katak’ dan sebagainya, orang ini tiada pengetahuan politik.

Dalam politik, dalam perjuangan, kita kena ada platform. Politik ini adalah game of numbers. Kena kerja secara berkumpulan, bukan game seorang-seorang. Jadi bila dipecat, saya terpaksa cari merata untuk perjuangan.

Sekarang ini wadah perjuangan adalah kerajaan yang dapat bantu Perlis, iaitu PH. PH adalah parti yang memerintah. Jadi, kita masuk parti itulah.

Sekiranya PH tidak terima Datuk, apa perancangan?
Bukan sahaja PH. Kalau di Perlis mungkin ada orang takut nak terima, takut saya nak jawatan. Tapi terus terang, kita bukan minta jawatan.

Sekarang ini pun ada tempat-tempat lain. PKR yang sanggup terima saya. Amanah pun ada yang sanggup nak terima saya. Saya pun tiada masalah, peringkat atasan Amanah pun ada yang sudah bagi green light.

Jadi, tiada masalahlah.

Jadi, sebenarnya Datuk nak sertai PKR atau Amanah?
Kalau kita dapat keputusan (lulus permohonan) antara mana-mana PKR atau Amanah, baru kita beritahu. Sekarang tidak dapat keputusan lagi. Saya bincang dengan semua penyokong dahulu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×