Perlu tingkat iltizam politik dalam perangi rasuah

Perlu tingkat iltizam politik dalam perangi rasuah

Mesyuarat Parlimen kali ini dijangka membahaskan laporan PAC mengenai projek pembinaan kapal LCS yang gagal diisiap mengikut jadual.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA berada di kedudukan ke-61 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2022 yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI) daripada keseluruhan 180 negara yang dinilai berbanding tangga ke-62 pada 2021.

Dalam kalangan negara-negara ASEAN pula, CPI 2022 menyaksikan Malaysia berada di tempat kedua terbaik selepas Singapura yang merekodkan tangga kelima daripada 180 negara (iaitu peralihan satu tangga dan dua skor berbanding pencapaian 2021).

Bagaimanapun, kedudukan skor Malaysia dalam CPI 2022 ini berganjak satu mata daripada 48 mata (2021) kepada 47 mata (2022).

Skor Malaysia mencatatkan peralihan sebanyak enam mata secara akumulatif sejak tiga tahun lalu bemula 2020 hingga kini. Dalam tempoh tujuh tahun lalu, Malaysia mencatatkan skor tertinggi pada 2019 (53 mata) yang menempatkan pada kedudukan terbaiknya setakat ini di tangga ke-51.

Berdasarkan kepada kenyataan Presiden TI-Malaysia, Dr. Muhammad Mohan dalam majlis pengumuman keputusan CPI 2022 di ibu negara, baru-baru ini, terdapat dua faktor utama menyumbang kepada skor yang lemah ini.

Pertama, kurangnya kesungguhan dalam iltizam politik bagi memerangi rasuah berdasarkan pelaksanaan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang perlahan; kegagalan tata kelola berulang kali biarpun pendedahan berterusan dibuat oleh Ketua Audit Negara; kurangnya tindakan ke atas penjawat awam yang menyalah guna jawatan; pelancaran pakej rangsangan Covid-19 tanpa melalui proses perbahasan dan penelitian di Parlimen; isu lebihan kos dalam perolehan berskala mega serta isu pelantikan ketua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang kurang berkelayakan.

Faktor utama kedua pula melibatkan kelewatan reformasi institusi sebagaimana terlihat dalam aspek pembangunan Rang Undang-Undang (RUU) Pembiayaan Politik, RUU Perolehan Kerajaan, pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) serta kurangnya kemahuan politik untuk memperkasakan SPRM sebagai institusi antirasuah yang bebas dan berkesan.

TI-Malaysia juga menyentuh tentang kekurangan ketelusan maklumat dalam hal kepentingan awam seperti projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) berjumlah RM9 bilion oleh Kementerian Pertahanan, serta persepsi seolah-olah tiada tindakan undang-undang terhadap penjawat awam yang menyalahgunakan kuasa.

SPRM menerima pandangan-pandangan tersebut dengan minda terbuka yang menyentuh aspek pentadbiran awam, pemerkasaan undang-undang tata kelola dan pemerkasaan serta kebebasan SPRM (kewangan, keanggotaan, mandat). Akan tetapi, SPRM ingin menekankan bahawa sepanjang 2022, tindakan telah diambil terhadap kes-kes besar berkepentingan awam seperti projek LCS.

Disebabkan siasatan masih dijalankan melibatkan negara asing, maklumat siasatan tidak boleh didedahkan kerana ia akan menjejaskan siasatan. Kekurangan ketelusan maklumat ini mungkin menimbulkan persepsi negatif terhadap siasatan SPRM dan komitmen kerajaan, seolah-olah tiada tindakan dijalankan.

BITCOIN

Ulasan TI-Malaysia juga tidak mengambil kira kes-kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam yang berjaya disiasat dan diambil tindakan undang-undang, termasuk membabitkan penjawat awam. Antaranya, kejayaan kes SRC yang membawa kepada hukuman penjara bekas Perdana Menteri pada 2022.

Pada tahun sama, Op Power, iaitu operasi yang melumpuhkan sindiket mencuri elektrik untuk pelombongan bitcoin, Op Mitra 2.0 membabitkan penyelewengan berjuta-juta dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) serta Op Hire berkaitan penyelewengan dana Penjana Kerjaya berjaya memberkas suspek-suspek terlibat.

SPRM berpandangan, NACP perlu diberi ruang untuk dinilai semula supaya dapat memberi penekanan kepada inisiatif berimpak tinggi yang boleh membawa perubahan ketara dan pantas dalam memerangi rasuah serta salah guna kuasa. Secara tidak langsung, ini menyokong komitmen kerajaan dalam mendepani isu-isu rakyat khususnya usaha memulih, menstabil dan memperkasakan ekonomi negara.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kerajaan turut menerima CPI sebagai asas pengukuran tatakelola baik sesebuah negara dan telah menetapkan sasaran penambahbaikan kedudukan Malaysia dalam CPI 2025. Jika sasaran ini dijadikan petunjuk prestasi utama (KPI) di semua peringkat kementerian, jabatan dan agensi secara tanggungjawab bersama (shared responsibility), saya percaya Malaysia boleh mencapai kedudukan CPI yang jauh lebih baik.

Untuk tujuan ini, kerajaan turut berusaha membangunkan indeks tatakelola nasional seperti Indeks Tadbir Urus Malaysia (MGI) yang bersifat asas bukti dan hasil (evidence and outcome-based) bagi mengukur tatakelola negara.

Selain itu, SPRM juga sedang mengusahakan suatu kajian komprehensif nasional antirasuah (MaCoS) berdasarkan kajian Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) yang menekankan pengukuran pengalaman rasuah berbanding persepsi dengan memanfaatkan data primer dan data pentadbiran.

Kajian berdasarkan pengalaman dan bukti mampu melengkapi CPI yang berasaskan persepsi agar memberikan gambaran lebih jelas, jitu dan menyeluruh tentang tahap dan faktor rasuah di negara ini. – UTUSAN

DATUK Mohd. Hafaz Nazar ialah Pengarah Dasar, Perancangan & Penyelidikan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×