Eksport, import tenaga elektrik ke Singapura

Eksport, import tenaga elektrik ke Singapura

MAJLIS pertukaran dokumen pembelian tenaga elektrik rentas sempadan antara TNB dan YTL PowerSeraya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: YTL PowerSeraya Pte. Limited (YTL PowerSeraya), dan TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco), mengumumkan perjanjian untuk mengeksport dan mengimport 100 megawatt (MW) elektrik dari Malaysia ke Singapura melalui penyambung yang baru dinaik taraf.

Kerjasama di antara anak syarikat milik penuh YTL Power International Berhad (YTL Power International) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu menandakan kali pertama elektrik dari Malaysia akan dibekalkan ke Singapura secara komersial, mematuhi Panduan Penjualan Elektrik Rentas Sempadan Suruhanjaya Tenaga Malaysia (Panduan CBES).

Panduan CBES yang dikeluarkan pada Disember 2020 dan disemak pada Oktober 2021 dibangunkan untuk memudahkan tenaga elektrik rentas sempadan antara Malaysia dan negara jiran ke arah visi grid kuasa ASEAN.

Memuatkan artikel berkaitan…

YTL PowerSeraya telah dianugerahkan lesen pengimport elektrik untuk Malaysia bagi percubaan selama dua tahun oleh Penguasa Pasaran Tenaga Singapura (EMA) selepas proses Permintaan Untuk Cadangan (RFP) yang kompetitif pada Oktober 2021, serta akan membeli elektrik daripada TNB Pasir Gudang Energy Sdn. Bhd., sebuah syarikat khas milik penuh oleh TNB Genco.

Kedua-dua pihak akan bekerjasama rapat dengan EMA dan Suruhanjaya Tenaga untuk memperhalusi semua tetapan teknikal dan pengaturan kawal selia di bawah Rangka Kerja Import Elektrik dan perjanjian itu akan berkuat kuasa selepas memenuhi syarat.

Ketua Pegawai Eksekutif YTL PowerSeraya, John Ng berkata, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan TNB Genco untuk menyumbang dalam mempelbagaikan sumber tenaga Singapura dan meningkatkan lagi keselamatan tenaga negara.

“Kami percaya ini adalah langkah pertama dalam visi kami bagi grid kuasa Asean yang kukuh, di mana import elektrik akhirnya mungkin menjadi bahagian penting dalam campuran tenaga Singapura,” katanya.

Kerjasama tersebut telah dirasmikan pada majlis pertukaran dokumen untuk Perjanjian Pembelian Elektrik Rentas Sempadan dan disaksikan oleh Menteri Tenaga Manusia Singapura dan Menteri Kedua Perdagangan dan Industri, Dr. Tan See Leng serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Sementara itu, Pengarah Urusan TNB Genco, Datuk Nor Azman Mufti berkata, ini adalah langkah positif bagi pengukuhan bekalan tenaga rentas sempadan ke arah merealisasikan Grid Kuasa Asean yang saling berkaitan sepenuhnya.

“Kerjasama ini akan menandakan kemasukan sulung TNB Genco ke pasaran Singapura melalui Jualan Elektrik Rentas Sempadan dan kami berharap ini akan menjadi pemangkin untuk mendapatkan projek masa depan dalam pasaran ini,” ujarnya.

YTL PowerSeraya adalah satu-satunya pihak di Singapura yang mempunyai pengalaman terdahulu dalam perdagangan kuasa rentas sempadan dan penyelesaian kewangan yang telah berdagang merentas penyambung untuk membekalkan elektrik kepada TNB di Malaysia pada 2011 dan 2013. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini