Sri Ram ‘juara’ penghakiman on the spot

Sri Ram ‘juara’ penghakiman on the spot

GOPAL SRI RAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOPAL Sri Ram bukanlah nama asing dalam dunia kehakiman dan perundangan. Bagi yang tidak mengenalinya, mungkin menganggap lelaki berusia itu adalah seorang yang serius dan tanggapan itu benar terutamanya apabila beliau menjalankan tugas.

Namun di sebalik tabir, Sri Ram sebenarnya seorang yang mesra, senang tersenyum dan kadangkala sempat berjenaka pada waktu yang serius.

Tanyalah apa sahaja, akan dijawabnya dengan bersahaja dan diterangkan sehingga si penyoal faham walaupun terpaksa mengulangi jawapan sama.

Sepanjang membuat liputan kes-kes yang dikendalikan Sri Ram sama ada sebagai peguam mahupun Timbalan Pendakwa Raya, lelaki yang gemar berkaca mata hitam itu tidak pernah lupa bertanya khabar kepada semua ahli pasukannya. Lelaki itu juga akan menegur semua kakitangan mahkamah termasuk pasukan lawannya tidak kira tua atau muda.

Sri Ram juga sangat menghargai ahli pasukannya. Jika ada sidang akhbar, akan dipastikan anak-anak buahnya ada bersamanya sebelum memulakan bicara.

Ketika mengendalikan prosiding, sesi menyoal saksi-saksi oleh Sri Ram tidak pernah meleret atau berjam-jam lamanya. Kebiasaanya Sri Ram hanya perlu bertanya secara purata tiga soalan yang mana soalan terakhir merupakan killer question. Hujahnya ringkas dan padat. Bidasnya berisi dan tepat pada sasaran.

30 MINIT

Jika beliau memaklumkan mahkamah hanya memerlukan 30 minit untuk berhujah, maka itulah masa yang akan digunakan sebaiknya, tidak kurang dan tidak melangkaui masa yang dinyatakan. Kepantasan itu juga dilihat ketika Sri Ram menduduki jawatan sebagai Hakim di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan di antara 1994 dan 2000.

Menurut rakan media yang lama di mahkamah, Sri Ram dikenali sebagai hakim yang boleh memberikan penghakiman on the spot kerana baginya keadilan yang dilengahkan adalah keadilan yang dinafikan.

Menurut rakan media itu, sepanjang beliau mengetuai panel, Sri Ram akan memastikan aliran keadilan akan mengalir dengan lancar dan suci.

Beliau juga telah menulis kira-kira 800 penghakiman sepanjang menjawat jawatan tersebut. Pernah suatu ketika, seorang peguam memetik salah satu penghakimannya tetapi memberikan penerangan yang ‘lari maksud.’

Sri Ram kemudian bangkit, membetulkan maksudnya, memberikan penjelasan yang lebih mendalam tanpa merujuk sebarang dokumen namun hujah Sri Ram telah dibantah oleh peguam terbabit.

Keadaan itu menyebabkan Sri Ram tiba-tiba berkata, “I know the judgement, I wrote it!”

Dilahirkan pada 16 Ogos 1943, Sri Ram hari ini menghembuskan nafasnya yang terakhir di sebuah hospital swasta. Bekas guru itu dimasukkan ke hospital sejak awal minggu lalu bagi mendapatkan rawatan ekoran jangkitan di paru-parunya.

Beliau memulakan kariernya dalam bidang undang-undang di antara 1970 dan 1994 sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan sebaik sahaja jawatan itu diwujudkan di negara ini.
Sri Ram meninggalkan seorang balu dan dua orang anak. – UTUSAN

PENULIS ialah Wartawan Kanan Eksekutif Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×