Banyak lagi ruang kuatkan UMNO

Banyak lagi ruang untuk kuatkan UMNO

MUHAMAD AKMAL SALEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin Pemuda UMNO melihat ‘pembersihan’ secara besar-besaran bukan langkah terbaik untuk menguatkan kembali parti itu kerana masih terdapat banyak ruang untuk berbuat demikian dalam sesebuah organisasi politik.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, perbezaan pendapat seharusnya diraikan dalam UMNO bagi tujuan mengukuhkan parti mendepani cabaran akan datang.

“Saya sejujurnya tidak bersetuju (pembersihan besar-besaran) kerana banyak lagi ruang perbincangan boleh dibuka untuk menguatkan UMNO ini.

“Jangan kerana kita rasa orang ini tidak sefahaman dengan kita, maka mereka adalah musuh. Kadangkala bila tidak bersefahaman kita perlu meraikan perbezaan pendapat dan itulah yang sebaiknya diminta oleh Islam,” katanya semalam.

CABARAN

Muhamad Akmal  berkata, UMNO kini mempunyai cabaran lebih besar untuk menghasilkan pemimpin Pemuda yang lebih berkualiti daripada Khairy dan Shahril Sufian.

“Pemimpin datang dan pergi, tetapi UMNO berhadapan dengan cabaran yang besar untuk menghasilkan pemimpin Pemuda yang jauh lebih bagus daripada KJ dan Shahril. Jadi UMNO perlu mencari dan mengasah bakat pemuda yang ada di dalam UMNO ini untuk digilap menjadi ikon dan mampu menarik minat orang muda.

“Bukan tugas yang mudah, tetapi Insya-Allah boleh dilakukan kerana ini bukan soal individu, tetapi kerja berpasukan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi berkata, keputusan yang dibuat UMNO ‘menakutkan’ orang muda untuk menyokong UMNO kerana dilihat tiada tempat menyuarakan idea mahupun pendapat untuk parti itu.

“Untuk menarik anak muda menyokong UMNO ketika dalam pertempuran yang dahsyat, masing-masing keliru dengan naratif yang dibawa.

“UMNO belum dilihat ‘menyelerakan’ dan dilihat tidak demokratik. Anak muda yang ada idealisme  tinggi pasti sukar memilih UMNO,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Mahasiswa dan Pendidikan Pemuda UMNO, Syed Mohd. Syed Nasir berkata, pembersihan yang dibuat menunjukkan UMNO menafikan hak demokrasi dan bersikap mementingkan diri.

“UMNO dilihat tidak demokrasi, kuku besi dan tidak mempunyai keseimbangan politik dalaman. Adakah orang muda akan menjadikan UMNO sebagai pilihan pertama selepas pembersihan dibuat? Tidak, kerana kecenderungan orang muda yang mahukan transparensi urus tadbir parti dan melihat kemampuan pemimpin mentadbir negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×