MKT UMNO tentukan nasib Khairy, beberapa individu lain esok

MKT UMNO tentukan nasib Khairy, beberapa individu lain esok

AHMAD Zahid bercakap dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Penyelarasan antara Menteri KKDW dan Exco Exco Luar Bandar di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selain Khairy Jamaluddin, ada beberapa lagi ahli UMNO lain yang bakal berdepan tindakan oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO malam esok.

Perkara itu disahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang akhbar hari ini.

Ditanya lanjut siapa individu lain itu, Ahmad Zahid bagaimanapun enggan mendedahkan perkara itu, sebaliknya meminta media supaya menunggu sehingga esok bagi mendapatkan jawapan sebenar.

“Tidak boleh beritahu awal, malam esok baru ada keputusan. Sila datang beramai-ramai kalau nak mengetahui senarai-senarai mereka yang terlibat itu.

“Tunggulah apabila MKT membuat mesyuarat esok. Tentunya, mesyuarat esok bukan hanya untuk (bincang) dia (Khairy) secara individu sahaja. Saya pernah maklumkan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lalu bahawa kita akan melakukan pembersihan secara besar-besaran.

“Ia termasuk mereka yang mensabotaj parti dan calon parti dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu dan mungkin termasuk orang yang menembak kaki sendiri ketika pilihan raya umum diadakan,” katanya.

Jelasnya lagi, apabila pembersihan besar-besaran bermakna akan  ada ahli UMNO dikenakan tindakan.

“Mana-mana yang terasa dan belum terasa, Insya-Allah esok malam akan terasa,” katanya.

Tindakan yang bakal dihadapi oleh bekas Menteri Kesihatan itu dipercayai ada kaitan dengan kenyataan terbuka Khairy yang menyatakan matlamatnya untuk membersihkan UMNO sekiranya berjaya memenangi kerusi Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU15).

Malah, Khairy juga menegaskan bahawa semua pihak mesti mengakui bahawa UMNO perlu berubah untuk sekali lagi menjadi parti yang boleh dibanggakan.

Selain itu, pada PAU lalu, Khairy juga mendakwa wujud konspirasi segelintir perwakilan menghapuskan usul tidak bertanding bagi dua jawatan teratas dalam pemilihan parti akan datang agar ia diluluskan pada perhimpunan agung UMNO baru-baru ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×