KIRA-kira dua minggu lalu, berlangsungnya tayangan eksklusif filem Duan Nago Bogho arahan sutradara terkenal tanah air, Sabri Yunus bertempat di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Tanjong Chat, Kota Bharu, Kelantan.
Tayangan sebanyak dua kali pada 13 dan 14 Januari itu mengumpulkan hampir 1,600 penonton yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat di negeri ini. Tidak terkecuali, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan, Datuk Md. Anizam Ab. Rahman yang turut hadir menyaksikan tayangan tersebut.
Melihat jumlah kehadiran itu, tanpa disedari ia memberi isyarat kepada kerajaan negeri bahawasanya panggung wayang yang ditutup lebih 30 tahun lalu perlu kembali dibuka. Pembukaan semula itu bukan untuk menggalakkan bunga-bunga syubhah, sebaliknya sekadar memberi hiburan kepada penduduk di bumi Serambi Mekah untuk menonton filem bersama keluarga.
IKUT MODEL TERENGGANU
Melihat kepada isu ini, kerajaan negeri boleh menjadikan Terengganu sebagai model dalam melaksanakan garis panduan berkait dengan tatacara operasi panggung wayang. Walaupun Pas membentuk kerajaan negeri Terengganu, namun kepimpinan negeri itu tidak pernah membuat keputusan untuk menutup operasi panggung wayang.
Sebaliknya, panggung wayang tetap beroperasi seperti biasa mengikut garis panduan agama dengan melaksanakan zon pengasingan tempat duduk bagi lelaki, wanita dan keluarga bermula 3 Julai 2020.
Keputusan itu selari dengan pelaksanaan peraturan baharu yang dikuatkuasakan mengikut Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu.
BUKAN ‘LUBUK’ MAKSIAT
Stigma mengatakan panggung wayang adalah ‘lubuk’ maksiat yang boleh mengundang kepada masalah sosial perlu diperbetulkan. Perkara yang mengundang ke arah itu boleh dicegah menerusi pemeriksaan sebelum masuk ke dalam panggung wayang dengan memastikan semua penonton mengikut arahan tempat duduk sebagaimana telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Jika wujud keraguan, petugas panggung wayang boleh meminta penonton mengemukakan bukti sebagai pasangan suami isteri yang sah sebelum dibenarkan masuk untuk menonton sesebuah filem. Kebanyakan mereka ke panggung wayang bukan untuk tujuan bercinta, sebaliknya menonton dan menghayati filem yang sedang ditayangkan.
Harus diingat, maksiat boleh berlaku di mana-mana sahaja. Bila berdua, maka hadirlah orang ketiga, iaitu syaitan yang akan mencetuskan ‘bunga-bunga’ ke arah perlakuan tidak baik.
TERENGGANU, PAHANG JADI PILIHAN
Dua negeri berjiran, iaitu Terengganu dan Pahang menjadi pilihan rakyat negeri Cik Siti Wan Kembang untuk menonton filem kegemaran mereka.
Walaupun terpaksa memandu lebih dua jam dan berbelanja agak besar, namun kaki filem tetap sanggup berbuat demikian.
Bagi mereka, menonton filem hiburan adalah terbaik untuk meredakan tekanan selepas penat bekerja selain menikmati pemandangan indah di negeri jiran terutama kawasan pesisir pantai Terengganu. Situasi itu dapat dilihat semasa tayangan filem Mat Kilau apabila ada yang sanggup mengendalikan rombongan untuk menonton buah tangan Syamsul Yusoff itu.
Begitulah dengan filem Duan Nago Bogho apabila rakyat Kelantan dilihat berpusu-pusu ke Terengganu dan Pahang untuk menontonnya.
DUAN NAGO BOGHO ‘HILANG’ SERI
Ketiadaan kemudahan panggung wayang sebenarnya memberikan kesan kepada tayangan Duan Nago Bogho kerana Kelantan merupakan ‘tunjang’ kepada filem ini yang jelas mengangkat imej seni warisan makyung.
Situasi ini boleh disamakan dengan perasaan penyokong bola sepak Kelantan yang terpaksa berkelana ke Lembah Klang pada 2009 apabila Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu ‘digantung’ oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) susulan insiden rusuhan penonton.
Walaupun Lembah Klang dijadikan sebagai ‘gelanggang keramat’, namun ia belum kuat. Barangkali itulah yang dirasai oleh semua tenaga kerja yang terlibat dalam pembikinan filem Duan Nago Bogho.
Benarlah kata pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Kor guana? – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Kelantan.










