Pengundi 18 tahun bijak - Shahidan

Pengundi 18 tahun bijak – Shahidan

SHAHIDAN KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Ketua Wanita UMNO Bahagian Jerai, Datuk Norma Awang disaran menarik balik kenyataan kononnya golongan berusia 18 tahun (Undi18) tidak matang dalam mengundi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, hanya disebabkan Undi18 tidak memihak kepada UMNO tidak bermaksud bahawa golongan tersebut tidak matang sebaliknya lebih bijak membuat keputusan.

Katanya, keputusan membenarkan pengundi golongan 18 tahun ke atas mengundi dalam pilihan raya telah diputuskan di dalam Parlimen selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen termasuk daripada UMNO sendiri.

“Parlimen dah putuskan (Undi18). Jangan fikir anak kita sahaja sebaliknya fikir anak orang lain yang melalui proses kematangan yang cukup cepat. Saya cadangkan (Ketua Wanita UMNO Jerai) ini tarik baliklah kenyataan itu yang hanya memalukan parti sendiri sahaja,” katanya.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, Persatuan Undi Muda (Undi18) dalam satu kenyataan memaklumkan dakwaan kononnya golongan berusia 18 tahun tidak matang dalam mengundi adalah tidak benar.

Ia sebagai reaksi kenyataan dikeluarkan Norma berkaitan perkara berkenaan ketika berbahas dalam Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Undi18, kenyataan Norma tersebut adalah berunsur diskriminasi terhadap golongan pengundi berumur 18 hingga 20 tahun terutamanya bagi yang pertama kali mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lepas dengan melabelkan golongan itu sebagai tidak matang dalam membuat keputusan sebelum mengundi.

“Untuk rekod sekitar 5.8 juta pengundi baharu layak mengundi untuk PRU15 apabila pendaftaran secara automatik dan had umur minimum diturunkan kepada usia 18 tahun.

“Namun begitu, pengundi berumur 18 hingga 20 tahun pada PRU15 lepas hanya meliputi 3.2 peratus daripada keseluruhan 21.1 juta pemilih berdaftar atau hanya sekitar 676,070 dan selebihnya adalah golongan individu yang sudah berusia 21 tahun ke atas,” jelas kenyataan Undi18.

Sehubungan itu, kenyataan Norma tersebut adalah tidak berasas malah dianggap sebagai berat sebelah hanya kerana keputusan PRU15 yang lepas tidak memihak kepada mereka secara keseluruhan.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata, beliau percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri tidak bersetuju dengan perkara tersebut.

“Yang cadang Undi18 ini pihak Pakatan Harapan (PH) dan diputuskan dengan sokongan majoroti dua pertiga ahli Parlimen,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×