PERHIMPUNAN Agung UMNO (PAU) 2022 sudah pun melabuhkan tirainya dengan menyaksikan para perwakilan membuat keputusan bahawa tiada pertandingan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden dalam pemilihan parti akan datang. Ini bermakna Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan akan kekal sehinggalah pemilihan baharu bagi jawatan tertinggi itu diadakan.
Meskipun tiada pertandingan bagi kedua-dua jawatan tertinggi itu, majoriti perwakilan iaitu hampir 90 peratus dilaporkan menyokong usul tambahan tersebut demi kepentingan parti. Menyedari hakikat UMNO hanya berjaya memenangi 26 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, maka solidariti dan perpaduan dalam parti amat penting dan genting bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) yang dijangka diadakan tahun ini.
Dengan itu, ketiadaan pertandingan bagi kedua-dua jawatan tertinggi tersebut akan membantu parti mengelak perpecahan dalam kalangan ahli terutama di peringkat akar umbi termasuk bahagian-bahagian khususnya dalam menghadapi Perikatan Nasional (PN), iaitu parti pencabar utama UMNO. PN didapati bukan sahaja terbukti memperoleh sokongan hebat pengundi Melayu, iaitu hampir 54 peratus dalam PRU15, malah dilihat meluaskan pengaruhnya dalam kalangan pengundi Melayu di kawasan-kawasan dikuasai UMNO.
Rakyat terutama orang Melayu masih ingat, Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Ahmad Zahid bersetuju bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menubuhkan kerajaan perpaduan apabila keputusan PRU15 didapati tidak menyebelahi mana-mana parti kerana ketiadaan jumlah kerusi mencukupi (sekurang-kurangnya 112 daripada 222 kerusi) untuk menubuhkan kerajaan.
Meskipun keputusan UMNO/BN bekerjasama dengan PH untuk menubuhkan kerajaan perpaduan merupakan satu tindakan bijak dan strategik, ada kumpulan yang masih menyoal langkah tersebut umpama peribahasa, rumah sudah siap, pahat masih berbunyi. Walaupun kerjasama tersebut menguntungkan UMNO, ada pihak tertentu mendakwa langkah bekerjasama dengan PH itu adalah demi kepentingan pihak tertentu.
LANGKAH SHERATON
Pada masa sama, penyokong kuat PH juga melahirkan perasaan tidak puas hati dengan kepimpinan mereka kerana sanggup bekerjasama dengan UMNO yang dikecam sebagai sebuah parti kleptokrat dalam kempen PH menjelang dan sepanjang PRU15. PH sering melabelkan UMNO sebagai parti yang dipimpin oleh mereka yang didakwa di mahkamah atas salah laku kuasa ataupun diselubungi amalan rasuah.
Dalam hal ini, ada penyokong PH yang mengakui pakatan itu tidak ada pilihan lain selain mencari sokongan UMNO kerana impian Anwar yang dikejar sekian lama untuk dilantik sebagai perdana menteri tidak akan tercapai.
Perlu ingat juga bahawa sebelum ini, Anwar pernah terlepas peluang dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad melepaskan jawatan perdana menteri kerajaan PH. ‘Langkah Sheraton’ yang menyusuli peristiwa Dr. Mahathir meletak jawatan bukan sahaja membantutkan hasrat Anwar dilantik sebagai perdana menteri malah melahirkan PN, iaitu sebuah gagasan kerjasama politik baharu dalam negara.
Dengan persekitaran dan perkembangan dinamika politik dalam negara, PH dan UMNO/BN tidak ada pilihan selain menjalinkan pakatan politik untuk menubuhkan kerajaan perpaduan. Dengan penubuhan kerajaan baharu ini, segala dakwaan serta tohmahan yang dilemparkan terhadap BN dan PH diketepikan dan masing-masing bertekad untuk memastikan kerajaan baharu lebih mengutamakan kepentingan rakyat dan kestabilan politik serta keselamatan negara. Perasaan dengki dan kemarahan terhadap UMNO dan PH dikuburkan demi mencapai matlamat parti masing-masing dilantik sebagai kerajaan yang menawarkan kuasa memerintah.
SAF
Dalam pada itu, kedengaran juga ada pihak yang cuba mencabar keputusan PAU yang menidakkan pemilihan bagi kedua-dua jawatan tertinggi dalam UMNO. Kumpulan ini mendesak pemilihan parti perlu diadakan untuk semua jawatan bagi semua peringkat dalam usaha menyinarkan dan melestarikan nilai demokrasi dalam UMNO.
Persoalannya, apakah langkah mencabar keputusan PAU tersebut akan menguntungkan UMNO? Apakah membangkitkan semula isu kelulusan usul tiada pemilihan bagi jawatan tertinggi akan menjejaskan kekuatan UMNO dalam menghadapi PRN yang akan diadakan tidak lama lagi?
Apakah terus mengungkit isu usul tersebut akan menyulitkan kepimpinan UMNO untuk mengadakan perbincangan dengan PH dalam proses pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam konteks kerjasama PH-BN?
Apapun, PN yang meraih sokongan hebat orang Melayu dalam PRU15 akan mencabar calon UMNO/BN dan PH pada PRN dengan gah. Dengan itu, UMNO/BN haruslah berhati-hati supaya tidak terpalit dalam sebarang masalah yang boleh menjejaskan kekuatan parti. Sebaliknya, semua yang berhasrat untuk melihat UMNO selaku sebuah parti keramat orang Melayu terus relevan dalam membela kepentingan orang Melayu perlu merapatkan saf antara barisan utama kepimpinan bukan sahaja menguatkan UMNO untuk memastikan kemenangan dalam PRN, malah memulihkan imej mereka pada rakyat. – UTUSAN
DATUK M. Periasamy ialah penganalisis sosial & politik.










