Kos naik RM450 juta jika PRN berasingan

Kos naik RM450 juta jika PRN berasingan

WAN AHMAD WAN OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kos meng­adakan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri diang­gar­kan bertambah RM50 juta lagi sekiranya dibuat berasingan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, jika parti-parti enggan mengetepikan kepentingan politik, SPR terpaksa berbelanja lebih untuk PRN itu.

“Saya kira berdasarkan pengalaman saya, PRN untuk enam negeri ini akan makan kos sehingga RM400 juta kera­na ia melibatkan beberapa negeri yang agak besar.

“Sekiranya Pas dan PH enggan membubarkan DUN mereka serentak maka kita akan lihat peningkatan kos itu. Saya anggarkan sebanyak RM450 juta perlu dibelanjakan.

“Penambahan RM50 juta itu adalah kerana setiap kali pilihan raya diadakan, petugas-petugas SPR perlu menjalani latihan. Itu semua makan kos dan SPR perlu laksana semua itu dua kali. Sudah tentu perbelanjaannya bukan sikit,” katanya ketika dihubu­ngi semalam.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), enam negeri di bawah kerajaan Pas dan PH iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak membubarkan DUN kerana mahu menghabiskan penggal.

Dalam pada itu, Wan Ahmad menjelaskan, SPR boleh bertindak sebagai pembuat keputusan akhir mengenai tarikh pilihan raya negeri.

“Jika mereka (kerajaan negeri) tidak mendapat kesepakatan untuk membubarkan serentak, maka SPR perlu memainkan peranan menentukan tarikh itu.

“Masih ada peluang untuk mengadakan serentak kerana pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari. Kalau ada yang bubar awal, mungkin SPR boleh lanjutkan tarikh PRN itu supaya sama dengan tiga negeri lain yang bubar berasingan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×