Tiada tilam mewah pun mampu tidur lena - Utusan Malaysia

Tiada tilam mewah pun mampu tidur lena

ELAK daripada mengamalkan konsep biar papa asal bergaya dan buang tabiat sanggup berhabis semata-mata untuk menjaga imej. – GAMBAR HIASAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERBELANJALAH dengan bijak. Itulah pesanan yang sering diberikan oleh ibu. Ukur baju di badan sendiri dan jangan berbelanja di luar kemampuan.

Tiada apa yang perlu dimalukan jika kita tidak mampu memiliki barang-barang mewah dan berjenama ataupun peranti canggih yang terkini. Jika ada rezeki lebih, berjimatlah. Jangan dihabiskan semua yang ada sekadar untuk memenuhi nafsu.

Pendapatan yang besar belum tentu dapat menjanjikan kesenangan hidup. Besar periuk besar kerak. Walaupun bergaji besar, ada yang bukan sekadar tiada duit simpanan, malah terpaksa menanggung hutang demi memenuhi gaya hidup mewah.

Apatah lagi bagi golongan yang terikut-ikut dengan budaya menunjuk-nunjuk khususnya di media sosial. Tak sah jika tidak bercuti di luar negara serta berbelanja mewah di gedung terkenal seperti Harrods. Mereka saling bersaing supaya dipandang lebih hebat dan bergaya walaupun terpaksa berhutang keliling pinggang.

Ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut mata leta (hina). Berbelanja mengikut nafsu memang buruk padahnya, walaupun tujuannya hanyalah untuk memuaskan diri sendiri dan bukannya untuk menunjuk-nunjuk. Dengan kemudahan kad kredit, ramai yang tidak sedar bahawa mereka telah terlebih belanja.

Apabila keadaan bertambah parah, ada yang cuma setakat membayar bayaran minimum sahaja. Sekiranya terdapat masalah, boleh sahaja beralih kepada kad-kad kredit yang lain.

Namun, adakah memiliki barangan berjenama mewah begitu penting kepada setiap daripada kita? Bagi yang kurang mampu, mereka tidak memerlukan tilam mewah untuk tidur lena. Mereka sudah bersyukur jika dapat memiliki rumah yang sederhana dan dapat menyediakan makanan mengenyangkan untuk seisi keluarga.

Mereka tidak terfikir pun untuk membeli barang-barang daripada jenama mewah, misalnya Gucci dan Louis Vuitton seperti yang diidam-idamkan oleh ramai peminatnya.

Apa yang dianggap mewah oleh mereka yang kurang mampu berbeza daripada mereka yang berada. Bagi golongan yang mampu, ayam goreng Kentucky Fried Chicken (KFC) adalah sebahagian daripada hidangan harian, namun bagi sesetengah yang lain, KFC dianggap makanan yang sangat mewah dan istimewa.

Perkara dirasakan mewah adalah relatif dan bergantung kepada kuasa beli dan kemampuan seseorang. Ada yang menganggap kemampuan memiliki barangan mewah begitu penting agar dihormati oleh orang sekeliling. Justeru, mereka mengamalkan konsep biar papa asal bergaya. Ada juga yang sanggup berhabis semata-mata untuk menjaga imej mereka.

Memang sukar jika kita terlalu mementingkan kemewahan material sehingga terpaksa berbelanja berhabis-habisan melebihi apa yang kita mampu. Akibatnya ada yang terjebak dengan rasuah, salah guna wang dan kegiatan haram lainnya untuk menjana wang secara mudah dan cepat.

Merancang perbelanjaan adalah amat penting agar hidup kita lebih teratur dan tidak menghadapi masalah kewangan di kemudian hari. Hidup berhemat memerlukan disiplin diri yang tinggi, apatah lagi jika kita hidup dalam masyarakat bersifat materialistik.

Kita tidak perlu berasa rendah diri jika tidak mampu berbelanja seperti rakan-rakan yang lain. Jangan sampai kita menyusahkan diri kerana mahu berlagak hebat.

ARWAH AYAH

Sebenarnya rezeki bukan dapat dinilai hanya daripada jumlah wang ringgit yang kita terima. Malah rezeki yang banyak tidak bermakna bagi kita jika ia tidak berkat. Ia bukan sahaja tidak membawa kebaikan tetapi boleh merosakkan hidup kita.

Hakikatnya, wang ringgit yang tidak halal tidak berkat dan boleh hilang dalam sekelip mata sahaja. Rezeki yang halal pula walaupun sedikit itu berkat. Pengalaman hidup sepanjang hampir lima tahun setelah arwah ayah meninggal dunia menyedarkan saya tentang konsep rezeki.

Kami mencuba pelbagai cara untuk mencari rezeki, namun realitinya bukanlah mudah. Tanpa pendapatan tetap, kami terpaksa berjimat cermat dalam segala hal.

Kami juga mempunyai tanggungan yang terpaksa diselesaikan. Keadaan bertambah sulit kerana kami empat beradik masih belajar di universiti. Walaupun berada di universiti awam, namun perbelanjaannya tidak sedikit ditambah pula dengan masalah kos sara hidup yang semakin tinggi.

Tidak pernah saya bayangkan kehidupan kami akan jadi begini dalam sekelip mata, tetapi inilah aturan Allah untuk kami. Namun, alhamdulillah, walaupun kami terpaksa menukar cara hidup dan menempuh berbagai kesukaran, pertolongan dan rahmat Allah tidak pernah putus.

Kami masih dapat hidup dan belajar dengan baik. Setiap kali menempuh ranjau dan rintangan, hanya kepada Allah tempat kami berserah. Saat-saat yang paling menyedihkan bagi saya adalah apabila melihat ibu menangis. Itulah yang membakar semangat saya untuk berusaha dengan lebih gigih agar dapat mengangkat martabat keluarga.

Segala yang berlaku menyedarkan saya tentang kekuasaan Allah. Jumlah wang ringgit kita miliki tidak menggambarkan kekayaan dalam erti yang sebenarnya kerana nilainya sebenarnya adalah pada keberkatan rezeki yang kita ada. Allah datangkan rezeki dan pertolongan kepada hamba-Nya dalam pelbagai cara.

Mereka yang kaya raya dan memiliki segala-galanya tidak dapat hidup tenang jika tidak bersyukur serta hidup mengikut nafsu. Malah, golongan yang dilihat miskin kadangkala lebih bahagia hidupnya dan lebih tenang hatinya jika sentiasa bersyukur atas nikmat Allah.

Kekayaan sebenar diukur daripada keikhlasan hati kita, rasa syukur dan bagaimana kita menguruskan rezeki, sama ada banyak mahupun sedikit nilainya. Apabila mendapat rezeki yang banyak, berpada-padalah, dan ingatlah juga kepada mereka yang susah dan memerlukan.

Jika rezeki tidak banyak, jangan berputus asa, bersabarlah, terus berdoa dan ingatkan diri kita bahawa ada ramai lagi yang lebih susah daripada kita. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×