Universiti kejar ranking umpama kilang makalah

Universiti kejar ranking umpama kilang makalah

universiti
UTHM mengumumkan enam kursus pengajiannya ditamatkan tempoh pengajian kepada tiga tahun. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGIMBAU amanat tahun 2011 oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selaku Menteri Pengajian Tinggi pada ketika itu, beliau mengutarakan satu kerangka bagi menilai kecemerlangan universiti, iaitu 3R – relevant (relevan), referred (dirujuk) dan respected (dihormati).

Mengapa 3R? Universiti berfungsi melengkapkan ekosistem pembangunan sebuah negara. Tanggungjawab universiti boleh diperjelaskan dengan model Quadra-Helix merangkumi empat pemegang taruh yang utama – kerajaan-industri-masyarakat-akademia. Kerajaan-industri-masyarakat merangkumi tuntutan dari luar kampus dan akademia adalah matlamat masyarakat kampus sendiri.

Kerajaan, industri dan masyarakat semuanya mengharapkan universiti berjaya menghasilkan graduan berkualiti tinggi yang menepati kehendak ekonomi semasa dan akan datang. Industri berharap universiti mampu menghasilkan graduan industry-ready dan future-proof. Pastinya bukan semua mampu dilaksana sepenuhnya oleh universiti secara sendirian.

Ia amat bergantung kepada kesediaan semua pihak berkolaborasi dan keupayaan ekonomi menyediakan peluang pekerjaan menyerap graduan dihasilkan. Universiti, awam atau swasta tidak boleh dinilai secara mutlak sebagai sebuah entiti komersial bermatlamatkan keuntungan. Matlamat dan strategi universiti tidak boleh diikat kepada faktor keuntungan komersial semata-mata.

Universiti mempunyai tanggungjawab sosial besar yang adakalanya memerlukan perbelanjaan yang tidak mendatangkan pulangan secara komersial. Namun, ini tidak sama sekali bererti universiti tidak perlu memikirkan ehwal kemampanan kewangan.

Universiti yang cemerlang seharusnya juga berjaya membina kejayaannya sendiri, menjana dari pelbagai sumber dan pemegang taruh di dalam dan luar negara berpaksikan kecemerlangan yang dicapai.

Di mana 3R hari ini dalam menilai kecemerlangan universiti? Adakah universiti hari ini relevan-dirujuk-dihormati? Apakah impak dan manfaat kecemerlangan universiti dirasai oleh semua?

Penarafan atau lazim dirujuk masyarakat sebagai ranking kini mendominasi ukuran kecemerlangan universiti. Saban tahun, pengumuman ranking seolah menjadi kata putus mutlak sama ada universiti meningkat cemerlang atau tidak.

Jarang sekali kedudukan ranking diperjelaskan dengan keberhasilan, impak dan manfaat dihasilkan oleh universiti. Metodologi ranking menjadikan universiti seperti murid di sekolah. Berlumba untuk mendapat markah tertinggi, berada di kedudukan atas dalam kelas. Ini merosakkan matlamat pendidikan.

Penyakit mengejar markah kini berjangkit teruk ke sektor pendidikan tinggi. Hampir semua universiti memaparkan kedudukan mereka dalam ranking antarabangsa. Pemimpin dan masyarakat juga hakikatnya turut terpengaruh dengan ranking ini. Semua mahu melihat ranking semakin baik.

PEKERJA

Ranking universiti, sekiranya digunakan dengan betul, mampu menjadi satu daripada penanda aras yang bermanfaat dalam menilai tahap kemajuan universiti berbanding universiti lain di dunia. Ia seharusnya digunakan hanya sebagai antara penanda aras, bukan matlamat pengoperasian sebuah universiti.

Sebagai contoh, untuk tujuan ranking, pemberat paling utama ialah bilangan dan sitasi (pemetikan) makalah yang diterbitkan dalam jurnal-jurnal akademik berindeks yang ditafsirkan sebagai jurnal berimpak tinggi. Ketaksuban mengejar ranking akan mendorong sebuah universiti menjadikan penerbitan sedemikian sebagai ukuran prestasi seorang pensyarah.

Pensyarah yang menghasilkan banyak makalah dalam jurnal-jurnal akademik berimpak ini dianggap hebat, berprestasi tinggi, cemerlang, jauh lebih bernilai daripada pensyarah yang menyumbang tenaga untuk membina sahsiah dan kompetensi pelajar.

Pensyarah berlumba mendapatkan pelajar kedoktoran, menjadi mereka seolah pekerja, menjalankan penyelidikan yang mengilangkan makalah boleh diterbitkan. Penyelia lazimnya menjadi pengarang bersama, malah mungkin pengarang utama makalah dihasilkan.

Dana penyelidikan disalurkan berdasarkan rekod penerbitan yang dihasilkan. Program pascakedoktoran menarik penyelidik-penyelidik dari negara ketiga yang diikat dengan syarat menghasilkan penerbitan makalah dalam jurnal berimpak. Ketaksuban ini menjadi universiti sebagai kilang makalah.

Ketaksuban mengejar ranking tidak memberi nilai kepada penulisan dalam akhbar (seperti rencana ini), penampilan dalam media sebagai intelektual awam yang membentuk minda masyarakat, penerbitan buku bacaan umum, apatah lagi menulis makalah dan buku dalam bahasa Melayu.

Memartabatkan bahasa Melayu menjadi matlamat sempit, tidak memenuhi kamus kecemerlangan ranking. Apa permasalahan yang dirungkai? Apa penyelesaian yang dicadang? Apa impaknya kepada negara, industri dan masyarakat? Tiada siapa peduli. Yang penting adalah bilangan penerbitan yang banyak.

Ketaksuban mengejar ranking memerangkap universiti dan ahli akademik dalam dunia ilmuwan yang sempit, metrik penarafan mendominasi penilaian kecemerlangan. Malangnya, ketaksuban ini bukan sahaja memesongkan universiti dan akademia tetapi juga turut menakluki persepsi kerajaan, industri dan masyarakat.

Semuanya mendorong, menjadikan ranking universiti diletak tinggi sebagai petunjuk mutlak kecemerlangan universiti. Ketidakupayaan universiti untuk memenuhi harapan kerajaan, industri dan masyarakat disusuli dengan perbalahan salah-menyalah antara universiti dan pemegang taruh.

Semua rugi. Universiti terpisah daripada tujuan asal penubuhan mereka. Hidup dalam dunia sempit mereka sendiri, cemerlang dalam tafsiran sendiri, berlumba mengejar metrik ranking sesama mereka. Semakin hari, sekiranya tidak dibendung, ketaksuban ini mejadikan universiti tidak relevan-tidak dirujuk-tidak dihormati. Tidak 3R. – UTUSAN

PROFESOR Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali ialah Pengarah Institut Pembangunan & Kemajuan Inklusif, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM). Kini beliau Sarjana Fulbright di Universiti Harvard, Amerika Syarikat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×