PETALING JAYA: Pekerja sepenuh masa merupakan penagih dadah tertinggi melibatkan 11,586 orang daripada 18,205 jumlah penagih setakat 25 November lalu.
Menurut laman open.dosm Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sebanyak 4,328 penagih pula terdiri daripada pekerja separuh masa, 2,188 penagih (penganggur) dan 103 penagih (pelajar).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Majlis Penggunaan Bahan Terlarang (MASAC), Raja Azizan Suhaini Raja Abd. Latiff berkata, tekanan kerja, perasaan dan hidup akibat pandemik Covid-19 dilihat menjadi antara punca mereka yang ketagihan itu terdiri daripada golongan pekerja sepenuh masa.
Malah, katanya, pihaknya juga tidak menolak kewujudan dadah sintetik jenis baharu terutamanya methamphetamine (meth) menggalakkan lagi penagihan itu.
Katanya, ini kerana pengedar atau sindiket dadah masa kini sudah berjaya kepercayaan itu bahawa dadah jenis itu tidak menyebabkan ketagihan seperti heroin.
“Sebab itulah kita lihat jumlah orang yang perlu dirawat di pusat rawatan dadah terutamanya persendirian sudah berkurangan sebab individu yang hisap methamphetamine (meth) atau ais tak mengaku dia itu penagih sebab pada mereka kalau tertekan saja hisap, tetapi tak ada istilah ketagihan itu pada mereka.
“Walhal mereka tak sedar, apabila mereka tak hisap selepas dua atau tiga hari, mereka akan murung dan kadang-kadang boleh sampai jadi agresif, itulah tanda-tanda ketagihan.
“Jadi orang bekerja sepenuh masa ini begitulah, dalam tekanan…duit tak cukup, banyak hutang dan rumah tangga kucar kacir, jadi jumpa kawan-kawan ambil (ais), bukannya gian pun tetapi sudahnya sangkut (ketagih),” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurut open.dosm, sebanyak 15,928 penagih direkodkan dalam kalangan Bumiputera, 1,099 (India); 1,029 (Cina) dan 149 (lain-lain); yang terdiri daripada 17,268 penagih lelaki dan 937 (perempuan).
Daripada jumlah yang dilaporkan itu, sebanyak 11,171 penagih jenis methamphetamine (meth) direkodkan, 4,166 penagih pula mengambil perangsang jenis amphetamine (ATS) dan 2,756 penagih (heroin dan morphin).
Selain itu, penagih methamphetamine (pil) berjumlah 1,078, kanabis atau ganja (540), lain-lain (95) dan pil psikotropik (15).
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak berkata, stok dadah yang sentiasa ada dan tidak pernah putus dilihat memudahkan penagih untuk terus melepaskan ketagihan mereka.
Justeru, katanya, selagi ada bekalan dengan kartel dadah terus bermaharajalela, maka bahan terlarang itu akan terus merosakkan generasi hari ini dan akan datang serta menimbulkan lebih banyak masalah sosial.
“Sebenarnya apabila ada bekalan, maka sudah tentu ada permintaan. Jadi kerajaan terutamanya polis kena serius mencantas penyeludupan dadah di negara ini melalui semua pintu masuk.
“Sekarang ini kita cuma tahu penagih yang ditangkap atau dikesan sahaja, tetapi yang tidak ditahan mungkin ramai tambah lagi dalam kalangan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT).
“Apatah lagi di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) memang perlu pemantauan pihak polis atau komuniti masyarakat untuk halang pengedaran dadah dalam kalangan penduduk di situ,” katanya. – UTUSAN










