Kelulusan tayangan Pulau tidak perlu dikaji semula - PFM

Kelulusan tayangan Pulau tidak perlu dikaji semula – PFM

FILEM Pulau yang mengundang pelbagai tanggapan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) berpendapat, tidak wajar untuk mengkaji semula kelulusan tayangan filem kontroversi, Pulau kerana ia tidak mempunyai babak panas dan keterlaluan seperti diperkatakan ramai.

Presidennya, Pansha berkata, PFM juga yakin dan percaya dengan tahap profesionalisme Lembaga Penapisan Filem (LPF), selain filem itu turut mendapat kelulusan untuk tayangan daripada Jawatankuasa Skim Wajib Tayang, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Justeru, menurutnya, kelulusan tayangan filem tersebut tidak wajar dikaji semula kerana tiada sebarang adegan melampau yang mampu meruntuhkan moral dan pegangan masyarakat di negara ini.

“Kami berasakan tidak ada adegan panas dan lucah serta membelakangkan budaya kesopanan dan kesusilaan yang diamalkan rakyat Malaysia secara amnya.

“Sekiranya hendak dibandingkan, kandungan lebih lucah atau panas lebih mudah dicapai melalui platform Over The Top (OTT), media sosial atau internet secara terbuka tanpa sekatan yang ditonton tanpa mengira umur.

“Jawatankuasa Skim Wajib Tayang Finas juga sudah meluluskan tarikh tayangan umum di pawagam pada 9 Mac depan. Tidak wajar kelulusan itu dikaji semula,” katanya.

Pulau sebelum ini menerima kecaman pelbagai pihak apabila dikatakan mengandungi babak lucah dan panas yang tidak sesuai untuk tontonan masyarakat Malaysia.

Malah, pelbagai pihak juga menggesa Lembaga Penapis Filem (LPF) mengkaji semula kelulusan produksi terbitan WebTVAsia dengan kerjasama My Way Pictures dan Filmforce Studio itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Prof. Dr. Md. Nasir Ibrahim berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai isu video treler filem tersebut yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Katanya, treler yang tular itu memaparkan beberapa adegan keterlaluan dan jelas bertentangan dengan norma masyarakat timur yang diamalkan di negara ini.

“Finas ingin menekankan bahawa penguatkuasaan garis panduan semua kandungan penerbitan terletak di bawah bidang kuasa LPF di Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Filem Pulau telah menerima kelulusan LPF pada September 2022 yang mana tugasan penapisan melibatkan tiga panel Ahli Lembaga Penapis.

“Sesuatu pertimbangan yang dibuat adalah berdasarkan peraturan dan kriteria yang ditetapkan oleh tiga dokumen asas iaitu Akta Penapisan Filem, Garis Panduan Penapisan Filem dan Panduan Khusus Penapisan Filem,” ujarnya.

Sementara itu, penerbit Pulau, Fred Chong pula berkata, babak panas yang mencetuskan kontroversi itu sudah dipotong sebelum tayangan untuk memastikan tiada adegan yang melanggar sensitiviti masyarakat.

“Kami tidak berniat untuk menyinggung mana-mana pihak. Malah, segala bahan promosi seperti treler, poster dan filem Pulau sendiri telah melalui proses pemerhatian LPF dan Jawatankuasa Skim Wajib Tayang Finas.

“Semua babak yang tidak sepatutnya ditayangkan kepada umum telah dipotong. Kami yakin dengan ketelusan dan profesionalisme pihak LPF, malah kami hormati keputusan lembaga berkenaan.

“Apa yang dipertontonkan melalui treler tersebut hanyalah satu peratus daripada keseluruhan filem. Saya berharap masyarakat tidak membuat andaian sebelum menonton filem penuh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×