ISNIN ini kita akan menyambut ketibaan bulan Rejab, insya-Allah. Rejab adalah salah satu bulan yang mulia. Ia termasuk dalam bulan-bulan haram sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati…(at-Taubah: 36)
Imam Ibnu Rajab al-Hanbali menjelaskan, maksud Rejab ialah agung (Lata’if al-ma’arif, hlm. 117). Oleh sebab itu, Rejab adalah bulan yang agung dan mulia. Antara keistimewaan Rejab ialah berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj yang menurut majoriti ulama berlaku pada 27 Rejab.
Kedatangan Rejab juga memberi isyarat bulan yang mulia iaitu Ramadan makin menghampiri kita. Sebab itu, kita digalakkan berdoa sepanjang bulan ini. Anas bin Malik melaporkan, “Apabila masuk bulan Rejab,
Nabi akan berdoa, ‘Allahumma barik lana fi Rajab wa Sya’ban, wa ballighna Ramadan (Ya Allah. Berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban. Sampaikan kami bertemu dengan Ramadan). Hadis daif diriwayatkan oleh Imam al-Suyuti (al-Suyuti, al-Jami’ al-Saghir)
Antara amalan baginda SAW dalam Rejab ialah banyak puasa sunat. Ia juga sebagai latihan awal untuk kita menghadapi Ramadan iaitu melaksana puasa sebulan yang diwajibkan.
Uthman bin Hakim al-Ansari melaporkan: Saya bertanya kepada Sa’id bin Jubayr berkaitan puasa sunat bulan Rejab, ketika itu kami berada dalam bulan Rejab. Sa’id bin Jubayr menjawab, ‘Saya pernah mendengar Ibnu Abbas berkata, Rasulullah SAW berpuasa sunat pada bulan Rejab, sehingga kami berkata, Baginda berpuasa setiap hari, tanpa meninggalkannya.
Terkadang baginda tidak berpuasa, sehingga kami berkata: Baginda tidak berpuasa sepanjang bulan Rejab. (Sahih Muslim, jil. 2, hlm. 811, hadis no. 1157)
Mahu puasa sunat dalam keadaan orang lain bebas makan-minum bukanlah suatu yang mudah. Namun, bukan pula mustahil untuk kita berpuasa selain bulan Ramadan. Malah, puasa sunat Rejab dan Syaaban ini sudah masyhur dan menjadi amalan dalam masyarakat negara kita.
Dari segi beramal, Nabi SAW menyebut amalan yang terbaik adalah amalan walau sedikit tetapi dilakukan dengan istiqamah (berterusan).
Jadi bagi mereka yang baru mahu berjinak-jinak dengan puasa sunat, amalkan puasa Isnin dan Khamis atau tiga hari dalam sebulan iaitu puasa hari putih.
Bagi yang memang istiqamah puasa sunat, bolehlah mengamalkan puasa selang sehari sebagaimana amalan Nabi Daud a.s.
Bagaimanapun, kita perlu berhati-hati dengan kemuliaan Rejab sebagai salah satu bulan haram yang dicemari dengan pengagungan yang bersumberkan kepada hadis palsu yang direka-reka yang diistilahkan hadis maudhu’.
Perkataan maudhu’ diambil daripada kata wada iaitu letak sesuatu dan tinggal atau melahirkan anak. Menurut istilah ulama hadis, maudhu‘ bermaksud hadis yang dibuat, direka secara dusta terhadap Rasulullah SAW.
Hubungan antara dua makna bahasa dan istilah ini erat kerana maudhu‘ pada bahasa bermakna jatuh dan hilang sesuatu daripada perkiraan, sedangkan makna istilahnya pula mengada-adakan sesuatu yang tidak ada sebelumnya.(Hadis maudhu’: Sejarah dan Cara-cara Mengenalinya, Prof. Madya Dr. Abdul Hayei Abdul Sukor)
Antara kelebihan Rejab dan amalan khusus padanya yang bersumberkan hadis maudhu’ ialah:
i. Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab nescaya Allah muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari kiamat. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu al-Barakat Hibatullah ibn al-Mubarak al-Saqati.
ii. Bulan Rejab bulan Allah, bulan Syaaban bulanku dan bulan Ramadan bulan umatku. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu Bakar Muhammad bin Hasan al-Naqqash. Dalam rantaian pelapor hadis ini juga terdapat individu yang tidak dikenali seperti al-Kassa’i.
iii. Kelebihan bulan Rejab daripada segala bulan seperti kelebihan al-Quran atas segala zikir. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu al-Barakat Hibatullah ibn al-Mubarak al-Saqati.
iv. Sesiapa berpuasa tiga hari pada bulan Rejab, Allah menuliskan untuknya pahala berpuasa sebulan. Sesiapa yang puasa tujuh hari ditutup baginya tujuh pintu neraka.
Sesiapa berpuasa lapan hari, Allah membuka baginya lapan pintu syurga. Sesiapa berpuasa setengah bulan Rejab, Allah menuliskan baginya memperoleh keredaan-Nya, sesiapa yang ditulis baginya keredaan-Nya, orang itu tidak akan diazab.
Sesiapa yang berpuasa sebulan Rejab, orang itu akan dihisab dengan mudah di padang Mahsyar. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Aban bin Abi ‘Iyash.
Laporan-laporan lain yang menjelaskan kelebihan berpuasa mengikut bilangan hari di bulan Rejab juga laporan palsu. Antaranya direka oleh Uthman bin Matar, Harun bin ‘Antarah, dan Farrat bin al-Sa’ib.
v. Sesiapa sembahyang maghrib pada hari pertama Rejab, selepas itu dia solat sunat 20 rakaat dengan 10 kali salam, setiap rakaat dibaca surah al-Fatihah dan selepas itu membaca surah al-Ikhlas sekali, adakah kamu tahu pahalanya?
Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu al-Husayn bin Ibrahim.
Terdapat laporan palsu lain yang direka menjelaskan kelebihan tertentu jika solat sunat dengan bilangan rakaat tertentu dengan bacaan tertentu pada Rejab.
Antara individu lain yang bertanggungjawab membuat laporan palsu tersebut ialah Ali bin Abdullah bin Jahdam, Aban bin Abi ‘Iyash.
Sembahyang tersebut juga diistilahkan sebagai sembahyang sunat Ragha’ib.
vii. Bersedekah pada bulan Rejab dijauhkan Allah daripada api neraka.
Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pereka hadis iaitu Aban bin Abi ‘Iyash. (Bulan Rejab: Kemuliaan dicemari kepalsuan oleh Dr. Arieff Salleh Rosman dalam Facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)
Satu lagi hadis palsu yang popular apabila tiba Rejab ialah: “Barang siapa yang memberitahu akan kemasukan bulan (1 Rejab) yang mulia ini kepada orang lain, maka haram baginya api neraka.” – UTUSAN
PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.










