Syukuri nikmat kewarganegaraan

Syukuri nikmat kewarganegaraan

SEBAGAI warganegara, berilah sumbangan untuk terus memacu kemajuan dan kecemerlangan negara mengikut kemampuan dan kapasiti masing-masing. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) dilaporkan menerima 54,000 permohonan bagi mendapatkan taraf kewarganegaraan untuk tempoh 2017 hingga 2022. Daripada jumlah itu, 7,000 permohonan sudah diluluskan manakala 36,000 lagi sedang diproses. Baki 11,000 terpaksa ditolak dan dibatalkan atas pelbagai sebab. Ini menunjukkan ramai yang mahu diterima sebagai warganegara dan ironinya bukan mudah untuk seseorang diberikan status kewarganegaraan.

Tetapi bagaimana pula dengan kita yang menjadi warganegara di bumi bertuah ini secara automatik sejak lahir? Adakah kita benar-benar bersyukur dan menghargai nikmat kewarganegaraan tersebut? Harus beringat, tatkala orang lain begitu sukar dianugerahkan nikmat ini, masih ramai dalam kalangan kita ambil mudah status tersebut lantas melakukan pelbagai onar dan tingkah laku yang boleh dikategorikan sebagai derhaka kepada negara.

Secara umumnya, tidak susah mana pun untuk kita menzahirkan penghargaan terhadap nikmat kewarganegaraan ini. Antaranya, jangan sesekali melakukan tindakan yang boleh dianggap sebagai derhaka dan sabotaj terhadap rakyat dan negara sendiri. Misalnya, menjaga kerahsiaan keselamatan negara dan jangan bocorkan sebarang maklumat sensitif kepada anasir asing. Dalam konteks semasa, tindakan segelintir warganegara kita seperti menaikkan harga barangan, menyorok bekalan, tidak menyokong hasrat kerajaan untuk membantu golongan rentan serta memulihkan aktiviti ekonomi juga wajar dilabel sebagai tindakan derhaka kepada rakyat sendiri.

Selain itu, sudah tentu sebagai warganegara yang bertanggungjawab, kita perlu sentiasa bersedia untuk menjaga dan mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara. Harus diingat, merdeka sekali tidak bermaksud kita akan terus kekal bebas berdaulat. Justeru, jangan leka sehingga membenarkan anasir luar menceroboh kedaulatan negara. Tanggungjawab ini tidak hanya terletak di bahu anggota keselamatan semata-mata, sebaliknya setiap seorang daripada kita perlu memikulnya sebagai tanda menghargai nikmat kewarganegaraan.

Hakikatnya, pada hari ini mungkin tiada keperluan untuk kita mengangkat senjata di medan peperangan tetapi perlu memahami ancaman luar yang datang dalam pelbagai bentuk termasuk melalui serangan di internet serta merosakkan pemikiran rakyat khususnya golongan muda dengan fahaman liberal dan kebebasan melampau yang bertentangan dengan amalan dan norma masyarakat. Jadi, sebagai warganegara yang prihatin dan peka, kita juga perlu membantu menangani ancaman-ancaman zaman moden seperti ini.

POLITIK SEMPIT

Satu lagi cara ialah dengan membantu mengekalkan keamanan dan kestabilan negara. Kita tidak boleh berkompromi dalam soal keamanan dan kestabilan negara kerana tiada tolok bandingannya. Setiap warganegara perlu memainkan peranan dengan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengancam dan meragut keamanan dan kestabilan yang kita ada. Misalnya dari segi politik, walaupun kita boleh berbeza pandangan dan ideologi, namun perlu bersepakat dalam soal menjaga kestabilan kerana kekuatan politik akan menyumbang ke arah kestabilan ekonomi, rakyat dan negara secara keseluruhannya. Justeru, elak mengamalkan politik sempit dan perkauman sehingga boleh mengganggu gugat kestabilan yang ada. Elak juga amalan politik gila kuasa dan tamak harta sehingga sanggup mencemar kesucian demokrasi yang kita junjung.

Sebagai warganegara sebuah negara majmuk, masyarakat wajar sentiasa berusaha untuk menjaga dan memperkukuh jambatan perpaduan kaum yang telah dibina dan diwariskan kepada kita oleh generasi terdahulu. Harus beringat, kita menikmati pelbagai kemajuan dan pencapaian membanggakan sejak merdeka kerana kekuatan rakyat pelbagai agama dan bangsa yang bersatu padu dan menyumbang kepada pembinaan negara bangsa. Jadi, generasi yang ada sekarang perlu memastikan jambatan ini tidak diusik sebaliknya terus berusaha memperkukuhkannya dengan aku janji dan komitmen lebih serius.

Hal ini sangat penting kerana masih terdapat segelintir anggota masyarakat yang secara terus menerus melakukan pelbagai perbuatan termasuk provokasi sehingga mencetuskan rasa ketidakselesaan rakyat.

Tindakan menjejaskan keharmonian kaum seperti menghina agama dan bangsa tertentu, tidak menghormati institusi diraja, menghina lambang kedaulatan negara seperti lagu kebangsaan, bendera dan jata negara, di samping mempertikai dan mempersoal kedudukan raja-raja Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan serta bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi perlu dielak kerana boleh meruntuhkan jambatan perpaduan tersebut.

Selain itu, sebagai warganegara, berilah sumbangan untuk terus memacu kemajuan dan kecemerlangan negara mengikut kemampuan dan kapasiti masing-masing. Percayalah, setiap seorang daripada kita ada peranan dan sumbangan terhadap kemajuan rakyat dan negara. Misalnya sebagai pakar sesuatu bidang, bantulah kemajuan negara dalam bidang tersebut dan elaklah berhijrah ke luar negara dengan alasan mendapat lebih bayaran dan pengiktirafan. Dalam konteks ini, wang ringgit dan kedudukan tidak boleh dijadikan sebagai ukuran sebaliknya perlu sedar tanggungjawab terhadap ibu pertiwi dengan membalas segala nikmat dan rahmat yang telah negara berikan kepada kita selama ini sehingga mampu muncul sebagai seorang yang hebat dan pakar dalam sesuatu bidang. Ringkasnya, jangan tanya apa sumbangan negara kepada kita, tetapi tanyalah apa sumbangan kita kepada negara.

Kita juga boleh menzahirkan terima kasih dengan menjaga nama baik dan imej negara terutama di mata orang luar. Hal ini penting untuk diberi perhatian kerana ada anggota masyarakat sanggup mengutuk dan memalukan negara sendiri atas pelbagai alasan terutama apabila mereka tidak dapat apa yang dikehendaki. Ini satu perbuatan sangat tidak wajar dan mereka ini tidak layak menjadi warganegara kita.

Tuntasnya, hargailah nikmat kewarganegaraan yang diberikan kepada kita. Inilah satu-satunya negara yang kita ada. Justeru, menjadi tanggungjawab setiap warganegara untuk melindungi rakyat dan negara serta mempertahankan kedaulatan yang ada. – UTUSAN

PENULIS ialah pentadbir universiti & penganalisis isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×