Alam fikir wartawan sebenar

Alam fikir wartawan sebenar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SAYA ini, kalau hidup ada cetakan kedua pun, saya tetap memilih karier sebagai wartawan.” Itu kata Ku Seman Ku Hussain, bekas Pengarang Mingguan Malaysia yang juga kolumis Kata Saya di ruangan Rencana, Utusan Malaysia pada setiap Isnin.

Ku Seman yang juga Editor Kuseman.com tetap akan terus menulis sehingga akhir hayat kerana baginya, menulis adalah satu terapi. Satu perasaan bahagia, gembira jika berjaya menyiapkan satu kolum selepas penat berfikir.

Walaupun memiliki nama dan pengaruh besar dalam dunia kewartawanan, Ku Seman tidak pernah sekalipun mencalonkan diri dalam anugerah kewartawanan sejak terjun ke bidang ini pada 1984 dan menjarakkan diri daripada menulis hal politik arus perdana.

Sebaliknya sehingga ditawarkan menjadi kolumnis dalam Utusan Malaysia pada 2020, dia memilih untuk menulis tentang kelompok marginal, hal-hal sosial atau perihal jambatan kayu yang runtuh tidak berganti.

Masa sama, bertanggungjawab memberi reaksi pada sesuatu yang berlaku dan melibatkan kepentingan rakyat.

Baginya, dia perlu berkata-kata dengan aksara kerana bukan seorang orator yang mampu meledak suara. Pengalaman hampir empat dekad dalam dunia kewartawanan memungkinkan Ku Seman untuk terus menyibuk, mengambil tahu, berfikir dan kemudian memberi reaksi daripada peristiwa yang berlaku.

Buktinya, dia membukukan 96 artikel yang pernah diterbitkan dan ditulisnya di laman web Kuseman.com sejak 2018 hingga 2021 dalam sebuah buku bertajuk, Kata Ku Seman. Buku ini meliputi semua yang berlaku dalam sosiopolitik dan budaya. Ini kerana sepanjang tahun-tahun tersebut, banyak peristiwa besar berlaku termasuk pertukaran kerajaan dan ancaman pandemik Covid-19. Dia menulis dari pelbagai sudut dan lapisan yang tidak terlihat atau terfikir oleh orang lain sebagai tarikan pembaca.

Malah dia juga melontar kritikan mengenai keghairahan Undi18. Ternyata, dia tidak bersetuju dengan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun memandangkan golongan ini masih tidak kuat mengatur hidup apatah lagi tidak matang untuk menjadi pemilih.

“Remaja berusia 18 tahun sekarang tidak sama macam dahulu. Bila kita tak matang memilih dalam sistem demokrasi, maka majoriti yang akan tentukan kemenangan. Jadi, mungkin ada pihak boleh menggunakan undi ini untuk menentukan corak negara,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran buku tersebut, baru-baru ini.

KEBEBASAN MEDIA

Antara kandungan dalam buku ini yang membuat saya setuju dengan pandangannya adalah berhubung kebebasan media. Baginya, kebebasan bukan kompas untuk memandu media berperanan kepada masyarakat sebaliknya ia merupakan satu tanggungjawab. Meraikan kebebasan tanpa tanggungjawab itu mengambil hak pihak lain sekali gus menjadikan keadaan tidak bebas.

Baginya, kebebasan media mewujudkan lebih banyak kepincangan dalam masyarakat. Justeru, media tidak perlu kebebasan, cukup dengan tanggungjawab.

“Bagi saya, setiap orang harus bertanggungjawab dan media menjalankan tugas kepada rakyat. Janganlah sekat media tetapi ini tidak bermakna boleh memberi kebebasan terhadap isu-isu sensitif seperti Melayu, institusi beraja. Kita tidak boleh bebas sampai boleh mencuit perkara tersebut,” jelasnya.

CABARAN MEDIA

Dia secara kritis mengakui dalam fenomena semasa, organisasi media berdepan dengan cabaran baharu iaitu media sosial kerana lebih dipercayai sekalipun wibawa dan akurasi amat dicurigai.

Disebabkan sebahagian orang kita sudah bergantung sepenuhnya terhadap media sosial, hanya yang menjadi sohor kini memagut perhatian. Maka dianggapnya tiada kebenaran selain media sosial.

Katanya, sekarang media berorganisasi terikut-ikut. Institusi yang tidak sohor kini di media dianggap tidak ‘buat kerja.’

“Kalau tak ikut pula, kita akan ketinggalan dan rating jatuh tapi kalau ikut rentak media sosial akan jadi lain dengan menerbitkan artikel yang tidak pasti, mempunyai maksud lain,” jelasnya.

Justeru, dia berpendapat, hala tuju media perlu kekal beretika dan digunakan sampai bila-bila walaupun ada pelbagai portal. Walaupun dalam mengejar teknologi, etika dan peraturan tetap sama.

“Kerana itu, seorang wartawan ‘terpaksa’ beretika, sebab itu saya tidak setuju dengan istilah kewartawanan rakyat (citizen journalism) sebab nak jadi wartawan perlu ada latihan, perlu ada etika.

“Bagi saya, kewartawanan rakyat hanya sekadar memberi maklumat tetapi wartawan sebenar adalah pencetus dalam sesuatu perkara atau isu,” ujarnya.

SANTAI

Saya mengambil masa tiga malam untuk menghabiskan buku setebal 378 muka yang padat dengan gaya penulisan kewartawanan baharu dan pojok. Gaya penulisan ringan seperti ini pasti akan menarik pembaca terutama golongan remaja matang untuk memahami isu-isu yang besar dan berat. Sebelum ini saya pernah membaca bukunya yang pertama, Anekdot Ku Seman yang diterbitkan pada 2018.

Buku ini mengupas isu-isu berkaitan kepentingan rakyat terutama golongan bawahan atau marginal selain memberi ruang kepada pembaca menyusuri sesuatu yang berlaku dalam tempoh masa tertentu. Ia bukan buku mengenai parti politik, sebaliknya cuba membina pemikiran politik matang dalam kalangan rakyat.

Tidak ketinggalan kritikan tajam penulis terhadap isu geopolitik terutama kuasa besar dunia – Amerika Syarikat (AS) dan China. Isu melibatkan pertikaian di Laut China Selatan dan penjajahan baharu ke atas negara-negara Asia Barat. Malah menyingkap permainan negara-negara pengeluar senjata yang mencipta perang di negara luar AS.

Dalam karya yang dimuatkan dalam buku ini, Ku Seman sentiasa berusaha untuk membetulkan arah kewartawanan supaya tidak mudah dibeli, justeru sentiasa menyentuh seputar kedudukan wartawan dalam kuasa keempat yang sangat penting dalam sesebuah negara.

Ku Seman juga cakna dengan rempuhan materialisme dan konsumerisme dalam masyarakat moden sekarang dengan menitip peringatan tentang nilai-nilai yang mendukung peradaban masyarakat di negara ini yang semakin terhakis dan nipis. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×