PETALING JAYA: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kapal MV Dai Cat 06 yang hilang sejak 9 Januari ditamatkan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia.
Satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, pencarian oleh bot SAR RIB 03 tidak menemukan sebarang petunjuk berhubung kehilangan kapal membawa muatan besi paip bernilai kira-kira RM700,000.
Kata sumber, BASARNAS telah menamatkan operasi SAR pada pukul 2.18 petang semalam tetapi sekiranya agensi itu menerima petunjuk baharu SAR akan diaktifkan semula.
Mengulas lanjut, kata sumber, pemantauan yang dilakukan oleh pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggunakan KM BIJAK di perairan Tanjung Datu hingga ke perairan Kuching juga tidak menemukan sebarang petunjuk.
“Bagaimanapun, KM BIJAK yang masih dalam perintah operasi akan meneruskan pemantauan dan pencarian di sekitar perairan Kuching, Sarawak,” kata sumber itu.
BUNTU
Mingguan Malaysia melaporkan, SAR kapal MV Dai Cat 06 masih buntu kerana selepas hilang lebih dua minggu tiada sebarang petunjuk ditemukan.
“Sepanjang pencarian BASARNAS Indonesia, di kawasan perairan Natuna agensi itu juga tidak menemukan tanda-tanda kapal itu karam,” kata sumber.
Lapor Mingguan Malaysia, sekiranya kapal berkenaan karam sudah pasti akan meninggalkan bukti seperti kesan tumpahan minyak mahupun penemuan barang-barang milik kru terlibat, tetapi tiada barang yang timbul ditemukan setakat ini.
Kata sumber, satu siasatan turut dilakukan pihak Maritim Malaysia sekiranya terdapat unsur jenayah dalam kehilangan kapal yang dinaiki lima kru.
“Namun, terlalu awal untuk disimpulkan memandangkan berita kehilangan kapal berkenaan dilaporkan lewat kepada pihak berkuasa oleh syarikat terlibat,” katanya lagi
Dalam pada itu, ketua operasi kapal, Mohammad Syafarizan Mohd. Noor, 24, yang juga warga tempatan dikatakan ada berhubung dengan keluarganya pada 1 Januari lalu.
PERAIRAN
Mohammad Syafarizan ada menghubungi keluarganya semasa kapal berkenaan berada dalam perairan Tanjung Penyusop, Johor sebelum kapal itu hilang.
Mohammad Syafarizan juga ada memuat naik hantaran sebuah rakaman video ketika berada di atas kapal memaklumkan keadaan laut yang bergelora.
Untuk rekod, syarikat kapal berkenaan dikatakan milik tempatan dan kapal berdaftar di Kuching, Sarawak manakala nakhoda kapal dikenali sebagai Adi, 43, berasal dari Indonesia.
Jurutera kanan kapal juga adalah warga Indonesia iaitu Damai Papane Ole, 57, manakala ketua operasi kapal ialah Mohammad Syafarizan.
Dua lagi warga tempatan ialah Mohammad Sudeh Sudin, berusia 20 tahun dan Derrent Littor, 22. Kedua-duanya warga tempatan.
Akhbar ini sebelum ini melaporkan kapal yang membawa muatan besi paip itu dipercayai tidak berada di perairan negara ini dan pencarian diteruskan di kawasan perairan Indonesia oleh BASARNAS.
Maritim Malaysia telah mengatur gerak aset di Maritim Negeri Sarawak bagi membantu pencarian di sempadan Malaysia-Indonesia di perairan Tanjung Datu sehingga ke perairan Kuching.- UTUSAN










