SAYA sering ditanya, apakah masih relevan keberadaan wartawan dan kerjaya dalam kewartawanan? Pertanyaan ini tercetus apabila pengguna media sosial kelihatan seolah-olah mengambil alih tugas wartawan.
Media sosial dilihat menjadi pembentuk sikap dan pemikiran masyarakat dengan pengaruhnya yang luar biasa. Malah dikatakan juga sebagai sumber maklumat paling pantas – daripada kisah selebriti dan juga pemimpin politik.
Misalnya, pemimpin politik yang ditendang kuda tungangannya dengan pantas mengisi garis masa di media sosial berbanding portal berita atau surat khabar. Malah mungkin langsung tidak mendapat liputan, maka media sosial yang interaktif sifatnya menjadi alternatif khalayak.
Lalu keberadaan wartawan dilihat tidak bergerak selari dengan ruang kebebasan media sosial yang tidak bersempadan. Malah menjadi begitu kukuh apabila berperanan sebagai pelantar (platform) promosi barangan yang lebih berpengaruh berbanding surat khabar atau stesen televisyen.
Akan tetapi ssetengah pihak terlupa hakikat bahawa pengaruh luar biasa media sosial dan kewartawanan adalah dua perkara berbeza. Media sosial tidak pernah mampu mengambil alih tuntutan perlunya kewartawanan kepada masyarakat. Malah media sosial bukanlah media yang dirujuk dalam konteks kewartawanan.
Hal ini kerana kewartawanan itu sendiri tidak berdiri tanpa ciri-ciri khusus – wibawa, bertanggungjawab dan menjadi mata serta telinga kepada rakyat.
Disebabkan ciri-ciri inilah, media (wartawan dan kewartawanan) diangkat sebagai tonggak keempat (fourth estate) selepas judisiari, legislatif dan eksekutif.
Hanya di negara ini, media yang beroperasi di bawah payung organisasi berwibawa tidak dianggap tonggak keempat. Ada segelintir organisasi media secara sedar dan sengaja lebih selesa di bawah naungan politik berbanding menjadi tonggak keempat yang berkhidmat kepada masyarakat.
Semua kejadian atau peristiwa yang berlaku terutama yang sensasi dan kontroversi diulang hantar dan dengan pantas di garis masa di media sosial. Apa lagi isu-isu remeh lagi memperemehkan, bertepatan dengan selera sebahagian besar pengguna media sosial.
Sebenarnya inilah ciri-ciri media sosial – membentuk gelombang pada sesuatu isu yang berlegar dalam masyarakat. Mengalih tumpuan daripada hal-hal lebih signifikan dan utama pada isu yang menepati algoritma media sosial. Disebabkan menjadi gelombang, keremehan dan kerendahan nilainya tenggelam dalam mentaliti massa.
Memang sudah wujud banyak portal berita yang dikendalikan oleh pasukan editorial berwibawa. Akan tetapi media sosial mempunyai sisi penembusan tersendiri untuk sampai dan membentuk sikap terhadap khalayak. Terutama yang mencari sisi sensasi.
Bayangkan dalam negara yang populasinya lebih kurang 31.8 juta orang, 24 juta atau 75 peratus adalah pengguna media sosial. Ini suatu angka yang besar dan secara purata pengguna menghabiskan empat jam sehari di media sosial.
PERBANKAN
Malaysia menjadi lima negara teratas dalam kadar penembusan internet di Asia Tenggara. Ini perlu dibanggakan. Secara purata setiap pelayar internet negara ini memperuntukkan lapan jam sehari untuk urusan secara dalam talian. Ini termasuk perbankan dan urusan jual beli.
Kadar penembusan internet yang tinggi menjadi ekosistem kecanggihan dalam teknologi komunikasi, salah satunya media sosial. Dua dekad lalu kita mungkin tidak pernah terbayang wujud satu jaringan maya di media sosial sehebat hari ini.
Media sosial dijadikan rujukan dalam segenap jalur kehidupan, malah menulis semula definisi baharu seperti ‘jiran’ dan ‘kawan.’ Sesuatu yang kita semua fahami tentang ‘jiran’ dan ‘kawan’ dua dekad lalu sudah tidak sama dengan pengertian masa kini.
Globalisasi yang datangnya lebih awal berbanding media sosial menjadi ekosistem penting yang memadamkan garis diplomatik, budaya dan geografi dalam perhubungan antara benua. ‘Kawan’ dalam pengertian globalisasi adalah mereka yang terjaring dalam senarai kawan maya.
Kawan itu boleh jadi tinggal di sebelah rumah atau berada di seberang benua. Berhubung secara masa sebenar (real time) tanpa disempadani geografi. Inilah kawan-kawan kita pada era media sosial.
Akan tetapi setinggi atau seluas mana sekalipun pengaruh media sosial, wartawan dan kewartawanan tetap diperlukan sebagai rujukan dan pembentuk pemikiran khalayak. Semakin tinggi kebergantungan khalayak pada media sosial, semakin berat tanggungjawab wartawan dan dunia kewartawanan.
Dalam keadaan di mana masyarakat terpengaruh dengan segala macam isi kandungan di media sosial, wartawan yang sedar dan kewartawanan beretika terpaksa memikul tanggungjawab semakin berat.
Keterpesongan akibat bergantung pada media sosial mesti dibetulkan oleh kewartawanan yang beretika.
Kita sama sekali tidak menolak cabaran media sosial terhadap organisasi media yang menyediakan kandungan yang bertepatan piawaian. Surat khabar dan stesen televisyen paling awal menerima rempuhan media sosial dan mengakibatkan kehilangan khalayak. Akan tetapi organisasi media yang bertanggungjawab tidak boleh menyerah pada keadaan.
Mereka hanya boleh menari, bagaimanapun dalam keadaan sedar ada tanggungjawab yang mesti dipukul di bahu peneraju-peraju organisasi media. Maknanya kandungan surat khabar (termasuk secara dalam talian) dan televisyen mesti ada wibawa dan fakta.
Media sosial mempunyai matlamat yang lain. Tidak boleh dianggap sebagai sumber maklumat kerana segelintir pengguna sahaja mendukung etika sosial dan moral. Maka yang memenuhi garis masa di media sosial bukanlah maklumat boleh dipegang akurasinya. Tidak kurang juga yang dengan sedar dan sengaja memesongkan maksud supaya bertepatan dengan kepentingan tertentu.
Oleh demikian, menjawab persoalan di atas tadi, wartawan dan kewartawanan bukan sahaja masih signifikan, malah sangat diperlukan untuk membetulkan kerosakan yang dilakukan oleh media sosial. Masa sama wartawan dengan penuh iltizam perlu meluruskan etika yang koyak rabak suatu ketika dulu. – UTUSAN
PENULIS ialah Editor Kuseman.com.










