Hasil penyelidikan perlu ada impak pada negara, rakyat

Hasil penyelidikan perlu ada impak pada negara, rakyat

MOHAMED Khaled Nordin (tengah) melawat pameran sempena Karnival Penyelidikan Universiti Malaya, baru-baru ini. – FB DATUK SERI HJ. MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UCAPAN sulung Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika merasmikan Karnival Penyelidikan Universiti Malaya, alma mata beliau boleh ditafsirkan sebagai Dasar Penyelidikan dan Inovasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk lima tahun akan datang. Walaupun ucapan secara bersahaja, tetapi inti pati disampaikan amat padat dan menyajikan kenyataan pragmatik dan radikal untuk dilaksanakan.

Beliau merujuk pengalaman negara berhadapan beberapa krisis sosial seperti pandemik Covid-19, ketidakstabilan politik, ketidakcukupan makanan, kos sara hidup dan ekonomi masyarakat menyebabkan negara kehilangan kebolehsaingan dan terbantut hasrat menjadi sebuah negara maju.

Atas keprihatinan ini, beliau menyarankan negara perlu melabur dalam urusan penyelidikan dan inovasi secara lebih serius dan berstrategi. Peruntukan sekarang iaitu kurang daripada satu peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara amat tidak mencukupi dan perlu dilipatgandakan. Beliau melihat semua institusi pendidikan tinggi (IPT) sama ada awam atau swasta perlu mengambil tanggungjawab untuk melaksanakan aktiviti penyelidikan, inovasi, penerokaan, penemuan dan pembangunan teknologi digandakan secara besar-besaran.

Agenda penyelidikan semasa yang memberikan tumpuan kepada penerbitan ilmiah sudah tidak memadai.

Amat menarik apabila beliau mengungkapkan, “Universiti bertanggungjawab mencipta penyelesaian baharu, mengurus krisis perubahan iklim, meneliti kesenjangan ekonomi, kecukupan makanan, kelestarian alam sekitar, kebejatan sosial, reformasi politik, ekstremisme perkauman dan pelbagai isu nasional lain.”

Katanya lagi, “Jika penyelidikan di universiti gagal menjawab semua persoalan ini, ia adalah pembaziran dan ketirisan yang sangat mengecewakan.”

Jelasnya, hasilan penyelidikan bukan sekadar untuk kertas jurnal yang dikongsi sesama ilmuwan, tetapi lebih penting lagi, impaknya kepada daya saing negara, ekonomi negeri dan kesejahteraan masyarakat.

KETINGGALAN ZAMAN

Beliau mencadangkan universiti perlu mengubah paradigma, berfikir di luar kotak dan membina budaya baharu dipacu oleh lima prinsip panduan yang jelas. Pertama, universiti tidak seharusnya membezakan disiplin penerokaan ilmu dan tidak perlu mengelaskan ilmu berasaskan penting, kurang penting dan tidak penting. Semua penerokaan ilmu adalah penting, khususnya apabila ia mampu menjangkau ufuk ilmu dan dapatan berfaedah dan dapat dimanfaatkan oleh masyarakat.

Kayu pengukur kepentingan penyelidikan dan inovasi ialah bagaimana dapatan penyelidikan memberi nilai tambah kepada ekonomi negara, menarik pelaburan dan memacu kemajuan nasional.

Kedua, kaedah pembiayaan penyelidikan dan kerjasama strategik. Universiti pada prinsipnya masih mengharapkan dana kerajaan. Universiti perlu mengembangkan sayapnya mencari dana melalui mekanisme baharu seperti pendanaan awam, modal teroka, endowmen dan pelbagai pendanaan kontemporari.

Katanya, memorandum persefahaman (MoU) sudah ketinggalan zaman, sebaliknya apa yang perlu diusahakan ialah perkongsian perniagaan, rakan kongsi pembangunan teknologi, pelaburan penyelidikan dan konsortium universiti – industri. Nampaknya saranan ini begitu asing bagi para profesor di universiti tetapi inilah kenyataan di masa hadapan bagi kelangsungan keilmuan mereka.

Prinsip ketiga, penyelidikan bersifat multidisiplin dan dilaksanakan secara jangka panjang. Universiti juga perlu memperkasa penyelidikan jangka panjang melalui pasukan, kluster, konsortium, pusat dan institut penyelidikan untuk bergerak ke arah ini. Penyelidikan adalah kitaran penerokaan dan penghasilan ilmu secara berterusan, pada masa sama pelbagai inovasi ilmu, teknologi dan sosial mampu dihasilkan. Pada umumnya, budaya penyelidikan begini masih terlalu asing untuk universiti di negara sedang membangun.
1980-an

Penyelidikan bertanggungjawab dan akauntabiliti pula disarankan sebagai prinsip keempat bagi memastikan etika akademik dihormati sepenuhnya. Penyelidikan adalah penerokaan ilmu secara jujur, ikhlas dan berpandangan jauh, dilaksanakan dengan kaedah bersistem, menghormati sumbangan penyelidikan lain dan penghujahan berasaskan kebenaran. Banyak komponen etika penyelidikan telah dinodai kerana persaingan tidak sihat dan taksub mengejar pangkat atau kedudukan.

Penyelidikan harus menjadi pendapatan utama universiti merupakan prinsip terakhir dalam ucapan beliau. Begitupun, apakah semua IPT mampu berbuat demikian?

Halangan utama ialah tadbir urus dan sistem kewangan universiti mirip pentadbiran awam, penuh dengan birokrasi yang membunuh kreativiti.

Masa depan dan kerelevanan universiti bergantung kepada reformasi penyelidikan seperti digariskan oleh Mohamed Khaled. Soalnya, bagaimana universiti yang mempunyai tradisi pembangunan ilmu dalam sekitaran tradisi iaitu keseimbangan penyelidikan, pengajian dan khidmat masyarakat boleh terus diperkasa, sambil memenuhi tuntutan masyarakat dan negara yang sepatutnya dilaksanakan oleh institusi penyelidikan agensi kerajaan dan swasta? Penyelidikan memerlukan dana dan masa yang panjang, tetapi kesabaran semua pihak melihat impaknya tidak begitu tinggi. Kenyataannya, banyak kumpulan penyelidikan yang baik dibina sejak 1980-an terkorban kerana kekurangan iltizam untuk terus menyokongnya.

Dasar dan sistem sokongan di peringkat KPT dan universiti perlu dikemaskini bagi menyediakan sekitaran baharu yang menghargai inovasi dan kreativiti. Pada peringkat awal, sistem kawalan dan ganjaran perlu dibina berasaskan potensi dan kepercayaan untuk berkembang. Penilaian pencapaian universiti perlu berbeza dengan penilaian masing-masing. Begitu juga penilaian institusi penyelidikan perlu berbeza dengan individu ilmuwan yang menyokongnya. Jika budaya menghormati sumbangan kepakaran dan menyanjung kecemerlangan diperkasa, harapan menggunung Mohamed Khaled pasti dapat dicapai. – UTUSAN

Profesor Emeritus Datuk Ibrahim Komoo ialah Ahli Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi (Pendapat) dan Naib Presiden Akademi Profesor Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×