PERJALANAN karier seni Tomok bukan baru sehari dua bermula. Membelek helaian diari seni Tomok, dia mempunyai sejarah yang mungkin membuatkan kita kagum dengan perjalanan yang dilakarnya.
Pernah menjadi kegilaan peminat, malah tidak keterlaluan andai Tomok tersenarai sebagai antara jejaka idaman Malaya satu ketika dahulu. Dia punya peminat yang cukup fanatik.
Namun, setiap manusia punya tempoh masa. Tidak semua dapat mengekalkan fenomena seperti dahulu. Itu hakikat yang diakui Tomok, tetapi ia juga bukan penamat segala-galanya.
Kembali beraksi di pentas Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) sehingga meraih tempat keempat, Tomok atau Shah Indrawan Ismail, membuktikan keampuhan bakat dan persembahan berbekalkan pengalaman serta kematangan.
“Kalau hendak cerita tentang impak GV9, memang besar. Kalau dulu, peminat saya mungkin sebaya dan sezaman dengan New Boyz, tetapi sekarang generasi muda, termasuk kanak-kanak turut kenal siapa Tomok.
“Kalau jumpa mereka tidak panggil abang, sebalikknya uncle Tomok. Mereka tanya nyanyi lagu apa, suka persembahan saya pada minggu sekian-sekian. Saya bersyukur bila dihargai sebegitu. Alhamdulillah, masih ada ‘saham’ dalam industri.
“GV9 mempunyai peminat tersendiri dan lebih 10 minggu beraksi, ia memberi saya peluang untuk mencuba sesuatu yang berbeza. Bereksperimen dengan diri sendiri,” kata bapa kepada tiga anak ini.
Tomok juga tidak menolak, GV9 mematangkannya dalam mengenal lebih jauh tentang potensi bakat dan kemampuan diri. Saban minggu, persembahan demi persembahan memberikannya ruang untuk bereksperimen.
“Bila bawa lagu di luar zon selesa dan cabaran terbesar untuk menjadikan lagu itu ‘kepunyaan’ kita, ia menguji kemampuan serta kematangan kita.
“Pengalaman berpuluh tahun perlu dihimpunkan demi satu persembahan. GV9 adalah pentas terbaik untuk kita belajar sesuatu yang baharu dan mungkin sebelum ini tidak ada peluang,” katanya.
MANDREM & 2023
Bercakap soal perancangan tahun baharu, pastinya Tomok punya rencana yang lebih baik berbanding tahun terdahulu.
Lagu baharu, duet bersama artis pilihan dan konsert berskala besar menjadi taruhan.
Malah, tatkala sedang giat bertanding dalam GV9, Tomok sempat melancarkan single baharu, Mandrem yang sedang dipromosikan.
“Mandrem dilancarkan ketika saya masih di GV9. Lagu yang sangat berbeza dari segi komposisi dan juga genre. Saya mahu mencuba sesuatu yang bukan Tomok. Mandrem adalah pilihan terbaik.
“Sebelum ini, mungkin saya lebih dilihat selesa dengan genre balada atau pop komersial, tetapi Mandrem berbeza. Jarang atau mungkin tidak pernah saya bawakan sebelum ini.
“Saya mahu menambat hati peminat muzik generasi baharu, pada masa sama, memberi sesuatu yang lebih segar kepada peminat sedia ada,” katanya.
Berkenaan dunia lakonan pula, vokalis New Boyz ini tidak mahu terlalu rakus menerima tawaran dan memberi fokus seimbang dengan bidang nyanyian.
“Ada juga dapat beberapa tawaran lakonan, tetapi masih dalam pertimbangan. Bukan apa, saya harus memberi fokus kepada persediaan Konsert New Boyz Sejarah Mungkin Berulang, bulan depan.
“Kalau pengacaraan pula, mungkin bukan bidang saya. Belum pernah cuba, tetapi lebih baik saya fokus nyanyian, lakonan dan sebagai komposer,” katanya.
KONSERT NEW BOYZ
Alang-alang berbicara tentang Konsert New Boyz Sejarah Mungkin Berulang, penyanyi berusia 38 tahun itu sudah bersedia untuk menggegarkan Theatre Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), One Utama pada 10 dan 11 Februari ini.
“Setakat ini, persiapan kami sudah 70 peratus. Memang selalu berlatih untuk memantapkan persembahan. Kami masing-masing tidak sabar untuk beraksi sebagai New Boyz dan bertemu peminat.
“Dari segi stamina, memang kami betul-betul jaga. Doakan kesihatan saya dan kawan-kawan serta team produksi. Sudah lama New Boyz tidak buat konsert.
“Kami mengharapkan agar dapat memberi 100 peratus atau lebih tenaga pada konsert itu nanti,” katanya.










