
MINAT yang mendalam bidang penglihatan mendorong seorang pemuda, Syazwan Hafiz Mohd. membuka pusat optometri walaupun tidak mempunyai asas dalam perniagaan.
Berbekalkan semangat tinggi, anak muda berusia 33 tahun itu membuka sebuah pusat cermin mata, Eyemolec Optometry Ladang di Kuala Terengganu pada 1 Januari 2022 lalu.
Pada awalnya, Syazwan Hafiz yang memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Sains Kesihatan (Optometri) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam, Selangor terpaksa belajar berniaga dengan beberapa rakan-rakannya yang berjaya dalam perniagaan.
Pada masa sama, ibunya, Wan Nooriah Wan Sulaiman, 60, yang berniaga barangan kraf juga banyak memberi tunjuk ajar menjadi seorang peniaga yang berjaya.
“Walaupun setahun saya membuka pusat cermin mata ini, namun saya masih terus belajar untuk meningkatkan ilmu dalam perniagaan,” katanya ketika ditemui di pusat cermin mata, Eyemolec Optometry Ladang di Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, beliau berpuas hati apabila dapat berkongsi kepakaran dalam bidang penglihatan dengan membantu masyarakat meningkat kesedaran terhadap kesihatan mata.
Jelasnya, pada waktu ini, masyarakat perlu mengambil berat terhadap kesihatan mata terutamanya golongan pelajar kerana mereka banyak menggunakan gajet.
“Kebanyakan masyarakat masih mengambil mudah dan tidak faham tentang kesihatan mata. Keadaan tersebut menyebabkan mereka tidak melakukan pemeriksaan mata.
“Saya gembira apabila pelanggan mula memahami terhadap kepentingan menjaga kesihatan mata selepas berkongsi ilmu yang dipelajari selama ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Syazwan Hafiz memberitahu, beliau juga bersyukur perniagaan yang diceburi semakin mendapat sambutan selepas setahun beroperasi di Jalan Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.
Bagaimanapun katanya, sebagai usahawan baharu, beliau perlu berusaha keras termasuk lebih berdaya kreatif dan inovasi untuk bersaing dengan pusat-pusat optometri lain.
Jelasnya, pusat optometri miliknya juga merupakan yang pertama di negara ini berkonsepkan butik bagi memberi keselesaan kepada pelanggan.
“Pelanggan yang memasuki pusat optometri ini merasakan mereka tidak berada di pusat cermin mata,” katanya.
Selain itu, beliau juga menggunakan wadah media sosial untuk memperkenalkan lagi pusat cermin mata ini termasuk perkhidmatan dan promosi yang ditawarkan.
“Tanpa bantuan media sosial, saya rasa mungkin tidak mampu mencapai tahap sekarang,” tambahnya.

Syazwan Hafiz berkata, pada masa ini, beliau menawarkan promosi yang menarik sempena sambutan ulang tahun pertama pembukaan Eyemolec Optometry Ladang.
Menurutnya, antara promosi yang menarik adalah harga bingkai cermin mata jenama terpilih hanya RM1 serta pakej cermin mata untuk pelajar pada harga RM58.
Katanya, promosi tersebut bermula 1 Januari hingga 31 Mac depan.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai pusat cermin mata, Eyemolec Optometry Ladang dengan melayari Facebook: Eyemolec Optometry, Instagram: eyemolecoptometry dan tiktok:@eyemolecoptometryladang – UTUSAN










