Enam negeri siap sedia adakan PRN

Enam negeri siap sedia adakan PRN

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor berswafoto dalam Majlis Perhimpunan Amanat Menteri Besar Kepada Penjawat Awam di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar, semalam. -UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Enam negeri sudah bersedia menghadapi Pi­lihan Raya Negeri (PRN) pada bila-bila masa sahaja selepas tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dijangka tamat tahun ini.

Ia susulan semua parti politik kini dilihat masih dalam mood pilihan raya biarpun negara menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), November lepas.

Tempoh yang menjadi pilihan adalah antara Februari hingga Mac atau pada Mei hingga Jun, tahun ini.

Sebahagian pengarah pilihan raya serta pemimpin politik pe­ringkat negeri juga mengakui sudah mengadakan beberapa siri perbincangan sama ada untuk mempertahankan atau me­rampas DUN masing-masing.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tampil yakin Perikatan Nasional (PN) mampu meraih kemenangan sehingga 33 daripada 36 kerusi DUN Kedah pada PRN nanti.

Beliau yang juga Ketua Pe­ngarah Pilihan Raya Pas Pusat berkata, keyakinan itu berdasarkan sokongan rakyat terhadap keyakinan gabungan itu dalam mentadbir Kedah pada masa ini selain momentum sokongan rakyat yang semakin tinggi ketika ini.

“Angka yang kita dapat di Kedah ini, (walaupun) Pakatan Harapan (PH) bersama Barisan Nasional (BN), PN (akan) menang lagi.

“Mereka boleh menang tiga kerusi iaitu Kota Darul Aman, Bakar Arang dan Sidam ikut pencapaian Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, tiga itu sahaja,” katanya kepada pembe­rita selepas Majlis Perhimpunan Amanat Menteri Besar Kepada Penjawat Awam di Dewan Seri Mentaloon, di Alor Setar, Kedah semalam.

Dalam PRU15 sebelum ini, enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu tidak membubarkan DUN masing-masing, maka PRN mesti diadakan selepas DUN di enam negeri itu dibubarkan atau terbubar dengan sendirinya.

Menyentuh tentang kerjasama antara PH-BN yang dijangka berlaku pada PRN itu, kata Muhammad Sanusi, perkara itu bukan mustahil melihat kepada gabungan itu dalam kerajaan ketika ini.

“Saya sudah tahu PH akan kerjasama dengan BN kerana mereka kini kerjasama di pe­ringkat Persekutuan, jadi di negeri (ada PRN) akan berlaku hal yang sama,” katanya.

Di Terengganu, PN Terengganu juga yakin dapat menyapu bersih semua 32 kerusi DUN itu selepas hasil analisis yang dibuat dalam PRU15 lalu membuktikan sasaran itu dapat dicapai.

Pengarah Pilihan Raya Ne­geri PN Terengganu, Ariffin Deraman berkata, ini kerana PN sebenarnya sudah menang 31 daripada 32 kerusi DUN sekiranya memecahkan undi peringkat Parlimen kepada DUN.

Sehubungan itu, pihaknya membayangkan hasrat mahu mengadakan PRN pada Mac atau Mei ini setelah mengambil kira beberapa faktor, dan bukannya sehingga tempoh DUN Terengganu berakhir pada Jun nanti.

Di Pulau Pinang, PN akan menjalankan rundingan pengagihan kerusi bersama parti-parti komponen gabungan itu bagi berdepan pilihan raya ne­geri (PRN) di enam buah negeri sebelum Tahun Baharu Cina.

Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dr. Dominic Lau berkata, rundingan pengagihan kerusi itu penting kerana persiapan dan gerak kerja perlu dijalankan oleh jentera parti komponen PN bagi menghadapi saingan PRN berkenaan.

Beliau yang juga Pengerusi PN Pulau Pinang akan menge­tuai jawatankuasa persediaan untuk menghadapi PRN di ne­geri itu.

“PN akan bertanding dan memberi fokus di kesemua 40 kerusi DUN Pulau Pinang, berapa agihan kerusi antara parti komponen PN akan diputuskan nanti,” katanya.

Di Negeri Sembilan, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun membayangkan, DUN negeri itu dijangka dibubar antara Mei dan Jun tahun ini bagi memberikan laluan kepada PRN.

Beliau berkata, tempoh ber­kenaan selari dengan pendirian kerajaan negeri sebelum ini yang mahu memberikan khidmat genap selama lima tahun seperti mandat yang te­lah diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Berhubung kerjasama PH dan BN di negeri itu, Aminuddin menjelaskan, usaha mengenainya sedang berjalan dengan keputusan berkenaan diramal diketahui hujung bulan ini.

Dalam pada itu, di Kelantan, Pas menegaskan parti itu masih belum mengadakan perbincangan berkait pembubaran DUN di negeri-negeri di bawah pentadbiran parti itu bagi memberi laluan kepada PRN.

Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, semua pihak diminta bersabar kerana keputusan tersebut tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa dan perlu mengambil kira pelbagai perkara.

“Keputusan untuk menetapkan tarikh pembubaran DUN diserahkan kepada Menteri Besar di sesebuah negeri dan itu menjadi hak istimewa sepertimana pembubaran Parlimen yang dimiliki oleh Perdana Menteri,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×