TAHUN 2022 telah berlalu. Kini kita baru sahaja melangkah masuk 2023. Tahun ini diramalkan oleh kebanyakan pakar ekonomi dunia sebagai tahun kemelesetan ekonom global.
Antara puncanya seperti disebut Pengarah Pusat Penyelidikan Ekonomi dan Perniagaan (CEBR), Kay Daniel Neufeld disebabkan kenaikan kadar faedah pinjaman berpunca daripada tindak balas kepada kadar inflasi lebih tinggi. Menurut CEBR, buat pertama kalinya ekonomi global melepasi AS$100 trilion pada 2022.
Namun, pencapaian itu dijangka terhenti pada tahun ini akibat penggubal dasar meneruskan penentangan mereka terhadap kenaikan kadar faedah pinjaman. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pula meramalkan akan berlaku kemelesetan ekonomi dengan menganggarkan satu pertiga daripada ekonomi dunia menguncup. Badan kewangan dunia itu juga menyebut peluang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global berkembang kurang daripada dua peratus.
Di kebanyakan negara, usaha untuk membentuk kenaikan inflasi belum menampakkan kejayaan. Di negara kita sendiri, kadar inflasi pada tahun ini dijangka meningkat enam hingga tujuh peratus serta berlaku lonjakan barang dan makanan lebih 10 peratus.
Ketegangan perdagangan yang meningkat antara China dan Barat juga diramal memberi tekanan lemah kepada pertumbuhan ekonomi global.
China dikatakan belum bersedia untuk mengatasi Amerika Syarikat sebagai ekonomi terbesar dunia sehingga 2036. Dasar sifar Covid-19 China belum berjaya sepenuhnya. Malah China sejak kebelakangan ini diterjah semula dengan kenaikan kes Covid-19 begitu besar dan boleh kembali merebak ke negara-negara lain.
Selain itu, kesan krisis dan serangan Russia ke atas Ukraine turut mempengaruhi ekonomi dunia sehingga kini. Britain pula dikatakan tidak bersedia untuk berkembang lebih pantas daripada negara-negara Eropah lain. Ini disebabkan negara itu tidak mempunyai dasar berorientasikan pertumbuhan selain kekurangan visi yang jelas tentang peranannya di luar Kesatuan Eropah (EU). Dalam kalangan negara-negara Eropah,
United Kingdom dilihat akan kekal sebagai ekonomi keenam terbesar di dunia, manakala Perancis ketujuh dalam tempoh 15 tahun akan datang.
Apa yang pasti, sekiranya kemelesetan ekonomi global berlaku dalam skala buruk maka pasti ia akan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia. Walaupun ada pihak meramalkan ekonomi negara kita terus berkembang sekitar empat peratus pada tahun ini, namun risikonya mengalami pengucupan lebih rendah boleh berlaku sekiranya faktor-faktor penggerak seperti pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan domestik (pelaburan swasta) tidak memberangsangkan sehingga melemahkan enjin ekonomi negara.
OPR
Ini akan memberi kesan kepada pertumbuhan KDNK negara pada tahun ini dan tahun-tahun seterusnya jika kemelesetan ekonomi dunia berlanjutan agak lama. Negara dan rakyat akan tertekan sekiranya ekonomi negara tidak mendapat manfaat yang banyak daripada pelaburan asing dan pelaburan domestik.
Keadaan menjadi serius lagi jika Bank Negara Malaysia (BNM) terus mengambil langkah menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sehingga rakyat yang berhutang dengan institusi kewangan akan terbeban. Kesan kenaikan OPR berterusan tidak dapat menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
Kita mengharapkan kemelesetan ekonomi tidaklah sampai mencetuskan kegawatan serius sehingga rakyat terutama golongan B40 dan M40 yang pasti akan terkesan dengan pelbagai masalah seperti kehilangan pekerjaan, peningkatan kos sara hidup, peniaga kecil mengalami penurunan pendapatan dan sebagainya. Rakyat akan berdepan kesukaran membayar pinjaman bank, kuasa membeli merosot, hartanah ditarik dan dilelong oleh bank dan masalah-masalah lain yang menekan kehidupan.
Negara pula akan berdepan peningkatan kadar pengangguran, kenaikan kadar kemiskinan, kemerosotan kesihatan rakyat dan sebagainya. Dalam konteks inilah kerajaan perlu segera dari sekarang menyediakan beberapa pelan kontingensi untuk menangani pelbagai masalah yang mungkin timbul sekiranya kegawatan ekonomi serius benar-benar berlaku.
Harus disedari bahawa kegawatan ekonomi serius jika tidak ditangani dengan baik dan berkesan, boleh menjadi bencana atau malapetaka sosial yang boleh membawa kesengsaraan kepada rakyat. Ia juga boleh menyebabkan ketidakstabilan politik kerana akan adanya protes dan kritikan terhadap kerajaan.
Justeru, pelan kontingensi penting disediakan dari sekarang supaya apabila kegawatan benar-benar berlaku maka kerajaan yang dikatakan prihatin terhadap permasalahan rakyat sudah bersedia menanganinya.
Barisan Kabinet kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim harus menjauhi ‘sandiwara politik’ atau hanya bercakap kosong untuk menarik perhatian media dan mendapatkan kesempatan politik (political mileage). Rakyat jangan diperdayakan dengan janji-janji yang tidak ditunaikan.
Justeru, menteri-menteri terutama yang memegang portfolio yang ada kaitan langsung dengan usaha menangani masalah ekonomi rakyat dan negara harus menyediakan pelan kontingensi yang realistik dan dapat dilaksanakan dengan berkesan untuk membantu rakyat sekiranya kegawatan ekonomi melanda negara. – UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas










