Sentimen `No Anwar', `No DAP' kekal hantui PH-BN

Sentimen `No Anwar’, `No DAP’ kekal hantui PH-BN

LEE KUOK TIUNG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam beberapa pilihan raya negeri (PRN) termasuk di Pulau Pinang kelak akan terus dibayangi dengan slogan `No DAP’ dan `No Anwar’.

Dalam erti kata lain, sentimen itu dilihat tidak akan memberi kelebihan sama ada kepada PH atau BN khususnya UMNO sekali gus menjadi cabaran kepada kedua-dua parti untuk mencatat kemenangan selesa termasuk di kubu kuat PH di Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, pemerhati politik, Prof. Madya Dr. Lee Kuok Tiung berkata, perkara itu juga menjadi cabaran terbesar dalam `perkahwinan’ politik antara PH dan BN ketika ini yang perlu diatasi segera antara pemimpin kedua-dua parti dalam tempoh yang singkat menjelang PRN Pulau Pinang.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS) menambah, kedua-dua pemimpin PH dan BN perlu mencari formula kerjasama politik yang sesuai memandangkan perseteruan antara mereka sudah berlangsung cukup lama dan sebati dalam kalangan pengundi, malah sehingga ke Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

“ `Perkahwinan’ antara BN dan PH adalah atas dasar strategik, bukannya ‘cinta’ atau persamaan ideologi politik.

“Biarpun begitu, kerjasama BN dan PH membentuk Kerajaan Perpaduan ketika ini boleh dianggap suatu bentuk persefahaman antara kedua-belah pihak di peringkat Pusat.

“Persoalannya ialah bagaimana kerjasama tersebut boleh dipanjangkan di peringkat negeri termasuk di Pulau Pinang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kuok Tiung mengulas mengenai kerjasama yang akan berlaku antara PH dan BN dalam enam PRN yang akan berlangsung dijangka pertengahan tahun ini termasuk di Pulau Pinang.

Semalam, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, perincian jalinan kerjasama antara DAP dan BN pada PRN Pulau Pinang itu akan diperincikan selepas mesyuarat lanjut dijalankan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, ditanya mengenai peluang kerjasama PH dan BN tersebut dalam berdepan persaingan Perikatan Nasional (PN) pada PRN Pulau Pinang kelak, Kuok Tiung berkata, sentimen pilihan raya di peringkat negeri (PRN) dan umum (PRU) adalah berbeza.

Namun katanya, PH dan BN wajar berasa bimbang melihat kepada gelombang hijau (PN) pada PRU-15 lalu yang mana turut berjaya merampas tiga kerusi Parlimen di negeri itu.

“Kubu kuat PKR di Permatang Pauh pun boleh ditumbangkan PN pada PRU-15, jadi sentimen di kawasan-kawasan majoriti Melayu itu sudah pastinya sedikit sebanyak membimbangkan PH dan BN,” katanya.

Mengulas lanjut Kuok Tiung berkata, beliau juga beranggapan kerjasama antara PH dan BN ketika ini hanya untuk jangka masa pendek dan tidak akan mampu bertahan lebih lama.

“Pada saya, kerjasama tersebut hanya akan menguntungkan salah satu pihak, sama ada UMNO akan terus makin tidak relevan atau lemah dan PKR mengambil alih peranan UMNO dalam politik negara atau UMNO akan bangkit mengatasi pesaing mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×