BERBAKI beberapa tahun sahaja lagi sebelum ‘pesta’ kelayakan Piala Dunia seterusnya berlangsung, iaitu Piala Dunia 2026, ramai yang melahirkan harapan cukup tinggi mahu melihat Harimau Malaya menyarung jersi ke gelanggang penuh prestij itu. Cita-cita tersebut sudah lama terpendam. Malah, pertukaran demi pertukaran mereka yang menduduki kerusi paling atas di Kementerian Belia dan Sukan turut berbicara soal kelayakan Malaysia ke Piala Dunia. Kali ini, biarlah ia jadi realiti.
Demikian ditegaskan pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli yang melihat skuad kebangsaan memerlukan ‘keajaiban’ untuk layak ke Piala Dunia. Namun tegas beliau, skuad kebangsaaan sekurang-kurangnya perlu mencipta kejayaan di peringkat rantau Asia Tenggara dan Asia sebelum bercita-cita tinggi ke Piala Dunia 2026.
Katanya, kita perlukan keajaiban untuk skuad bola sepak negara layak ke Piala Dunia 2026 berdasarkan tempoh yang singkat kerana tidak ada tumpuan khusus sebagai persediaan kelayakan itu seperti projek dan latihan berkaitan.
“Tanpa ada pemain-pemain yang beraksi dengan kelab terkemuka luar negara, ia satu perkara yang sangat sukar. Dan untuk mencapai standard layak ke Piala Dunia, kita memerlukan usaha lebih tiga hingga empat kali ganda.
“Kalau di peringkat rantau Asia Tenggara, skuad kebangsaan dan kelab pun masih terumbang-ambing, macam mana kelab luar mahu pandang pemain kita?” soalnya.
Tambahan pula, negara perlu mengintegrasi semua pihak berkaitan termasuk kerajaan untuk membantu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan sanggup menyediakan peruntukan yang besar.
Dalam masa sama, jurulatih bola sepak berpengalaman, Mohd. Azraai Khor Abdullah berkata, bola sepak Malaysia mempunyai terlalu banyak kekurangan terutama dari segi pembangunan dan sistemnya sendiri.
“Kita perlu ada kepala organisasi bola sepak yang betul-betul berwawasan dan berilmu. Jika tidak, tidak ada peluang masuk Piala Dunia kerana seperti tidak ada persediaan langsung.
“Liga bola sepak kita pun kecoh dengan isu-isu melucukan ditambah dengan isu skuad kebangsaan yang tidak dapat menggunakan pemain terbaik,” jelasnya.
MAGHRIBI
Sementara itu, legenda bola sepak negara, Datuk Hassan Sani berpandangan sama. Katanya, pemain-pemain bola sepak tempatan perlu menimba pengalaman di luar negara kerana pengalaman berharga itu boleh digunakan dalam skuad kebangsaan.
“Lihatlah Maghribi yang pernah dikalahkan oleh kami (skuad kebangsaan), tiba-tiba melonjak naik pada Piala Dunia di Qatar, baru-baru ini. Rata-rata pemainnya bermain untuk kelab luar. Begitu juga dengan Jepun dan Korea Selatan yang tahapnya tidak begitu jauh dengan Malaysia pada suatu masa dahulu,” jelasnya.
Seorang lagi veteran skuad kebangsaan negara, Matlan Marjan memberitahu, kita perlukan sekurang-kurangnya 10 tahun perancangan yang rapi dan menjaga pemain dengan baik untuk mampu layak ke Piala Dunia.
“Boleh dikatakan sebagai keajaiban sekiranya ia berlaku kerana masalah utama bola sepak negara adalah pemain kita tiada pendedahan liga luar apatah lagi di Eropah.
“Pengalaman tidak boleh dapat melalui latihan dan buku,” katanya.
Menurut beliau, pihak-pihak berkenaan seperti kerajaan dan FAM juga perlu lebih banyak menganjurkan kejohanan bola sepak pada peringkat usia muda. Ini kerana pada pendapatnya, ramai pemain muda berbakat dari akademi di seluruh negara terbantut separuh jalan apabila tidak ada kejohanan untuk disertai.
Pandangan Pekan, Mohd. Azraai Khor, Hassan dan Matlan ini perlu diteliti dengan begitu mendalam oleh pihak yang bertanggungjawab terhadap industri bola sepak tempatan.
Tanya pada diri kita sendiri, mahu beraksi atau terus selesa menjadi penonton Piala Dunia di depan kaca televisyen sahaja? Kalau mahu beraksi, beraksilah dengan penuh keazaman. Kalau sebaliknya, begitulah yang akan berlaku untuk 10, 20 atau puluhan tahun seterusnya, sekadar menjadi penonton sahaja. – UTUSAN
PENULIS ialah pelatih industri Utusan Malaysia.










