PETALING JAYA: UMNO dan Barisan Nasional (BN) tiada pilihan selain melakukan perubahan drastik pada perhimpunan agung dan pemilihan parti jika mahu mendapatkan semula sokongan orang Melayu.
Ini kerana, enam pilihan raya negeri akan diadakan dalam tempoh kurang enam bulan dari sekarang iaitu di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, dengan kesemua negeri itu tidak ditadbir oleh BN.
Bukan itu sahaja, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu menyukarkan lagi peluang UMNO untuk memenangi mana-mana pilihan raya negeri kali ini setelah hanya meraih 26 kerusi parlimen berbanding Pas yang memenangi 43 kerusi manakala Bersatu meraih 31 kerusi.
Keputusan pilihan raya negeri kali ini juga dijangka berbeza dengan ketika BN berjaya menawan majoriti kerusi di Melaka pada 2021 dan Johor tahun lalu.
Kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan perpaduan ketika ini hanya akan mendorong golongan bukan Melayu mengundi UMNO, bukannya pengundi di kawasan majoriti Melayu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, geostrategis Prof. Dr. Azmi Hassan menyifatkan, perhimpunan agung yang akan diadakan pada 11 hingga 14 Januari beserta pemilihan parti dalam tempoh enam bulan selepas PRU15 perlu dijadikan pentas untuk menarik semula sokongan Melayu.
Menurut beliau, UMNO perlu menetapkan hala tuju baharu terutama mengenai pendirian dan strategi parti bagi menghadapi enam pilihan raya negeri.
“Hala tuju UMNO kini bergantung kepada perhimpunan agung dan pemilihan kerana ia mesti ditentukan ahli UMNO. Ini landasan terbaik untuk memberitahu mereka apa hala tuju parti.
“Misalnya, menarik semula sokongan Melayu yang banyak berpindah kepada Pas kerana Pas mempunyai pemimpin lebih bersih walaupun pemimpinnya tidak berwibawa untuk mengurus hal negeri dan negara, pengundinya lebih mementingkan pemimpin bersih. Jadi, bukan sahaja untuk mengembalikan semula keyakinan ahli, lagi penting bagaimana akar umbi parti dapat mengembalikan keyakinan mereka di luar UMNO terutama sekali pengundi yang berhijrah kepada Pas,” katanya ketika dihubungi.
Oleh itu, katanya, UMNO perlu menjelmakan diri sebagai parti yang lebih berwibawa bukan sahaja dari segi kepimpinan, tapi imej parti itu sendiri.
“Bersih dan bebas daripada rasuah bukan pada hierarki tertinggi sahaja tapi mula dari bawah, peringkat cawangan, bahagian, majlis kerja tertinggi dan akhirnya kepimpinan top 5.
“UMNO perlu beri persepsi bahawa mereka adalah bersih dan ini boleh dilakukan ketika perhimpunan dan pemilihan. Itu kriteria utama bagaimana UMNO dapat menyaingi kebangkitan Pas,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menjangkakan Perikatan Nasional (PN) akan memenangi pilihan raya negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu sama seperti keputusan PRU15.
“Kerjasama dengan PH akan memberi manfaat kepada UMNO hanya di negeri seperti di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor kerana fenomena gelombang hijau semasa PRU15 tidak tercetus.
“Tapi UMNO akan beri kekuatan kepada PH di pilihan raya negeri tapi hakikatnya status quo tiga negeri akan kekal kepada PH cuma bezanya BN akan bantu tadbir urus tiga kerajaan negeri,” katanya. – UTUSAN










