PETALING JAYA: Gesaan supaya kerajaan melakukan sekatan terhadap pelancong-pelancong dari China bukan penyelesaian terbaik untuk mengelakkan negara daripada berhadapan dengan gelombang baharu Covid-19.
Presiden Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA), Uzaidi Udanis berkata, sekiranya kerajaan mengambil langkah sedemikian, ia hanya akan menutup peluang negara untuk mengukuhkan pertumbuhan ekonomi.
Menurutnya, sekatan akan merugikan negara terutama apabila kuasa beli setiap pelancong China adalah tinggi iaitu sekitar AS$2,000 (RM8,811) dan penutupan pintu sempadan negara terhadap mereka akan menyebabkan negara rugi sekurang-kurangnya RM2.6 bilion.
“Pelancong daripada China sangat penting untuk kita, sebagaimana tahun-tahun lepas sebelum Covid-19 mereka menyumbang satu angka yang besar untuk kita di dalam industri pelancongan. Banyak resort terutama di Sabah bergantung kepada pasaran ini.
“Pelancong dari China adalah antara penyumbang kerana mereka sering berbelanja besar, kita bukan mahu kuantiti tetapi kualiti. Bagi pihak MITA, kita sudah pasti akan berhati-hati untuk ini kerana tidak mahu melepaskan peluang,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.
Terdahulu, akhbar melaporkan, selepas tiga tahun warga China disekat ke luar negara kini diberi kebebasan untuk melancong walaupun jangkitan Covid-19 di sana sedang meningkat mendadak
Sehubungan itu, kerajaan diminta untuk berwaspada dengan mengenakan sekatan terhadap pelancong China kerana bimbang akan menjadi penyebab penularan Covid-19 dalam negara sehingga terpaksa melakukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Uzaidi yang juga Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) berkata, antara langkah yang boleh mengawal penularan Covid-19 tanpa menyekat aktiviti pelancongan adalah menggunakan konsep ‘sandbox’ seperti mana yang dipraktikkan di Langkawi.
“Saya yakin pihak kerajaan tahu betapa pentingnya pasaran China, jadi janganlah ‘melompat’ tetapi jadi rasional dalam membuat keputusan yang memberi peluang kepada industri pelancongan untuk berkembang dan hidup lalu memantapkan ekonomi negara.
“Bagaimanapun, kita memang tidak boleh kompromi dengan keselamatan dan kesihatan rakyat, saya percaya konsep ‘sandbox’ itu boleh dilakukan. Gunakan agensi pelancongan yang berdaftar sebagai pemantau serta menggalas tanggungjawab merancang perjalanan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Dr. Sri Ganesh Michiel berkata, tiada keperluan melarang pergerakan mana-mana pelancong dari luar negara tetapi kerajaan perlu mengambil tindakan bersiap siaga.
“Antara langkah yang perlu diambil adalah dengan segera memperkenalkan semula suatu prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sebagai langkah bersedia di samping memastikan Malaysia menjadi destinasi pilihan bagi pelancong luar negara.
“Sekiranya kita melakukan sekatan, ia akan membuat pelancong China rasa yang mereka tidak diterima untuk datang ke Malaysia, itu akan mendatangkan kerugian kerana kuasa beli mereka tinggi.
“Industri ini bukan hanya melibatkan hotel tetapi restoran, e-hailing dan sebagainya jadi kita akan alami kehilangan besar,” jelasnya. – UTUSAN










