PETALING JAYA: Kerajaan digesa tidak menaikkan harga telur kononnya bagi menyelesaikan masalah kekurangan bekalan di pasaran yang terus meruncing.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber industri telur berkata, langkah menaikkan harga telur bukan hanya menjejaskan imej kerajaan, malah bakal memberi kesan jangka panjang terhadap kebajikan rakyat yang sedang terkesan dengan peningkatan harga hampir semua barang keperluan asas.
Sumber yang turut terlibat dalam eksport dan import telur ayam itu berkata, masalah bekalan telur yang terus mencetuskan rungutan orang ramai adalah kerana kegagalan kerajaan mengkaji punca sebenar kekurangan produk itu di pasaran.
“Kerajaan tidak tahu punca sebenar telur kurang jadi menyebabkan mereka mengambil bermacam-macam langkah penyelesaian jangka pendek seperti membawa masuk telur import dari India yang sedang diserang wabak selesema burung, mencadangkan harga telur diapungkan, selain mencadangkan menaikkan harga bekalan protein itu,” kata sumber itu.
Sedangkan menurut sumber, sejak Oktober lalu Utusan Malaysia secara konsisten melaporkan kekurangan bekalan telur sehingga 20 peratus di pasaran negara adalah disebabkan faktor penternak mengalami kerugian.
“Kerugian penternak itu akibat kenaikan kos operasi, seterusnya mengurangkan populasi ayam induk ayam penelur.
“Macam ayam telur ini, tempoh pemeliharaannya sampai 70 minggu. Tapi bila mereka (penternak ayam telur) sudah tanggung banyak kerugian, jadi mereka pencenkan awal ayam-ayam telur itu. Maknanya 55 minggu ke 60 minggu itu mereka dah hentikan pengeluaran, sebab tak mahu tanggung kerugian dengan terus memberi makan dedak dan sebagainya.
“Sebab dalam tempoh 50 minggu ke atas, peratus pengeluaran telur itu memang menurun. Ayam telur ini mula bertelur pada umur empat bulan, lebih kurang 16 minggu. Bertelur sampai umur 70 minggu.
“Jadi, graf pengeluaran telur itu semakin kurang. Sedangkan, makanan yang diberikan sama banyak, tapi telur kurang. Jadi mereka hentikan awal-awal sebab sudah rugi. Itulah senarionya kenapa bekalan telur di negara ini kurang sampai 20 peratus,” kata sumber.
Semalam, akhbar ini melaporkan pakar industri ternakan ayam, Prof. Madya Dr. Azhar Kasim mencadangkan agar kerajaan menaikkan harga siling telur ayam sebanyak lima sen sebiji bagi semua gred bagi menyelesaikan masalah kekurangan bekalan.
Mengulas cadangan itu, sumber berkata, kerajaan tidak harus mengguna pakai cadangan menaikkan harga telur tersebut sebaliknya perlu mengkaji punca dan mengetahui bahawa kekurangan bekalan telur itu adalah disebabkan kenaikan kos operasi industri telur ayam sehingga mengakibatkan tiada jalan penyelesaian yang efektif mampu ditawarkan kepada penternak ayam penelur.
KAJI SEMULA TATACARA PENYALURAN SUBSIDI
“Sehingga sekarang punca kenaikan kos tidak dilihat sepenuhnya oleh kerajaan. Yang dikawal harga telur di pasaran walhal kenaikan kos di ladang perlu diteliti sama. Keputusan kerajaan memberi subsidi kepada penternak bagi menampung kerugian kerana kawalan harga satu langkah yang baik.
“Cuma kadar subsidi perlu diteliti semula agar kadar yang diberikan benar-benar membantu penternak dan bukan sekadar beri sedikit subsidi dan mengharapkan impak pengeluaran yang besar,” kata sumber.
Bagi menstabilkan semula bekalan dalam negara, sumber berkata, kerajaan juga disaran mengambil langkah menyekat eksport telur ayam negara ini ke Singapura.
“Untuk jangka masa singkat, mengurangkan eksport telur adalah langkah yang wajar. Apabila kita kurangkan eksport, bekalan dalam negara akan bertambah. Pasti harga juga akan mula stabil,” kata sumber.
Untuk rekod, rakyat Malaysia memerlukan kira-kira 30 juta biji telur sehari, atau kira-kira 1 bilion biji telur sebulan bagi memenuhi keperluan pengguna.
Bagi memenuhi keperluan itu, sumber berkata, Malaysia cuma memiliki lima syarikat swasta yang menjadi pembekal induk ayam penelur, membekalkan stok anak ayam penelur (DOC) kepada 260 ladang telur di seluruh negara.
BASMI KARTEL TELUR, AYAM
Sementara itu, satu sumber lain berkata, kerajaan tidak wajar tunduk kepada desakan kartel yang menguasai segenap ekosistem pengeluaran telur negara.
“Kartel-kartel industri ayam dan telur, mereka mahu menyedut subsidi sampai kering. Sekali pun kerajaan menambahkan jumlah subsidi, kapasiti pengeluaran telur tidak akan dapat ditingkatkan dalam masa terdekat.
“Kalau kerajaan tambah (subsidi) sekali pun, memang telur tak akan ada. Masalahnya sebab baka tak masuk, bermula sewaktu Covid-19 lagi difahamkan baka ayam telur tak masuk (ke ladang telur).
“Kartel-kartel ini tamak. Kos operasi meningkat, tapi peningkatan di peringkat syarikat-syarikat besar ini tidak sebesar mana pun. Sebab mereka guna pakai mesin yang sedia ada, bukan terpaksa tambah mesin baharu untuk menghasilkan telur,” kata sumber.
Sebenarnya, kata sumber itu, kerajaan perlu cekap mengenal pasti perbezaan kos-kos pengeluaran dalam sektor telur, supaya tidak terpedaya dengan desakan kartel yang sering menggunakan alasan kenaikan kos dedak sebagai punca operasi terjejas.
“Kalau mereka (kartel) cakap, peningkatan kos operasi sebab makanan, itu kos dedak dan bukannya kos mengeluarkan anak ayam. Isu sekarang ini, anak ayam baka penelur yang tiada, bukannya dedak yang tiada,” kata sumber. – UTUSAN











