Kembali perjuangan watan UMNO

Kembali perjuangan watan UMNO

ATAS kelantangan suara UMNO yang bersatu dengan pembesar istana serta gerak kerja tersusun orang-orang Melayu, gagasan Malayan Union berjaya dibatalkan. – ARKIB UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UMNO lahir atas perjuangan untuk melestarikan jati diri watan Tanah Melayu apabila elemennya digugat melalui pengenalan gagasan Malayan Union. Pendekatan digunakan oleh British untuk mewujudkan Malayan Union bukan sahaja ditentang oleh orang Melayu, bahkan raja-raja Melayu.

Sikap raja-raja Melayu apabila Perjanjian Harold MacMichael ditandatangani pada 1945 terhadap masa hadapan kuasa politik mereka masih kabur kerana perjanjian tersebut hanya menandakan persetujuan tentang perkembangan perlembagaan yang akan berlaku dalam Negeri Melayu yang merdeka di bawah perlindungan British. Beberapa raja Melayu agak aktif menyampaikan protes secara senyap kepada kerajaan British di London terhadap cara bagaimana Harold MacMichael mendapatkan persetujuan mereka.

Apabila Malayan Union Order in Council diisytiharkan pada 1 April 1946, para pembesar dan pemimpin orang Melayu mula bergerak proaktif sehinggalah UMNO ditubuhkan untuk mempertahankan jati diri tanah air bangsa Melayu yang berdaulat.

Elemen watan yang mendukung jati diri tanah air bangsa Melayu ialah kedaulatan raja-raja Melayu, agama Islam, kedudukan istimewa orang Melayu, bahasa orang Melayu termasuk tulisan Jawi, adat Melayu serta perasaan cintakan tanah air. Ketinggian elemen watan tersebut tidak pernah menafikan kepentingan sah rakyat raja Melayu lain dan bangsa asing yang mendatangi Tanah Melayu dengan pelbagai tujuan.

Atas kelantangan suara UMNO yang bersatu dengan para pembesar istana serta gerak kerja tersusun lagi bijaksana didukung oleh orang Melayu secara keseluruhannya, maka gagasan Malayan Union berjaya dibatalkan melalui kuat kuasa Perjanjian Negeri 1948. Maka tidak hairanlah UMNO lahir di istana, malah dikatakan UMNO dan istana berpisah tiada.

Perjuangan UMNO terpancar daripada asas dan tujuan sebagai sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan martabat agama, negara dan maruah bangsa.

Kebangsaan Melayu pada hakikatnya ialah elemen watan yang turut menerima kaum bukan Melayu sebagai warganegara Tanah Melayu melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan terus berkembang dengan pembentukan a larger Federation, iaitu Malaysia pada 16 September 1963.

ASAS DAN TUJUAN UMNO

Fasal 3 Perlembagaan UMNO mensyaratkan perjuangan untuk mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara, mendukung dan mempertahankan perlembagaan negara, perlembagaan negeri dan raja berperlembagaan; menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam serta menghormati prinsip kebebasan beragama; mempertahankan keadilan sosial serta memajukan ekonomi orang Melayu dan bumiputera khasnya dan rakyat Malaysia amnya; menjamin kedudukan bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) sebagai bahasa rasmi yang tunggal dan kebudayaan kebangsaan berteraskan kebudayaan Melayu; mewujudkan kerjasama antara kaum bagi melahirkan satu bangsa Malaysia yang kuat dan bersatu berasaskan kebebasan asasi dan kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera.

Perjuangan UMNO sebelum 20 tahun dahulu masih sinonim dengan perjuangan watan kerana memelihara jati diri bangsa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan walaupun ada pihak yang melabelkannya sebagai perkauman sempit. Asas pembinaan negara bangsa bertunjangkan semangat patriotisme dan nasionalisme malangnya hari demi hari didominasi oleh teori pengagihan kekayaan antara kaum dan pemikiran liberal atas nama globalisasi.

UMNO dilihat landasan untuk mendapat pelbagai keistimewaan secara eksklusif sehingga timbul dakwaan orang Melayu yang tidak menjadi ahli UMNO akan dipinggirkan. Polisi popular yang ada kalanya mengorbankan kelestarian watan mula dibangkitkan oleh pemimpin UMNO di luar kerajaan pada ketika itu. Barangkali kerana sibuk menangani pelbagai isu semasa, perjuangan watan mula terpinggir tanpa disedari kerana mengharapkan undi sokongan politik bukan Melayu.

Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru-baru ini disifatkan sebagai undi hilang kepercayaan terhadap UMNO dalam meneruskan perjuangan watannya. Pengundi baharu Melayu dikatakan lebih selesa menyandarkan Perikatan Nasional (PN) untuk meneruskan perjuangan watan, lebih-lebih lagi dengan penyertaan Pas. Sokongan generasi muda yang dibayangi pelbagai kerisauan tentang keutuhan elemen watan pastinya bergantung bagaimana UMNO menjenamakan semula pendekatannya.

Penyertaan UMNO dalam kerajaan perpaduan membuka peluang keemasan untuk menguruskan persepsi rakyat tentang komitmennya dalam perjuangan asal. Dari satu sudut lain, ujian terbesar terhadap survivalnya.

Perdana Menteri ke-10 yang merupakan seorang tokoh pejuang besar persuratan Melayu dan presiden parti berbilang kaum, iaitu PKR diharapkan berupaya untuk merapatkan jurang perbezaan apabila timbul sebarang konflik dalam pelaksanaan polisi elemen watan. Penyertaan pemimpin DAP dan parti di Borneo termasuk Parti Warisan dalam kerajaan turut membuka seluas-luas ruang UMNO bersemuka untuk mengukuhkan elemen watan sesuai dengan sumpah dalam Jadual Keenam Perlembagaan.

Perjanjian persefahaman (MoU) bertarikh 16 Disember 2022 yang menggariskan kedudukan elemen watan dalam persefahaman antara parti yang mendukung kerajaan Yang di-Pertuan Agong bertemakan Kerajaan Perpaduan adalah satu permulaan baik dalam memperkasakan agenda pembinaan negara bangsa yang sejahtera malah penjajaran baharu politik kepartian.

Keutamaan bagi UMNO buat masa ini adalah kembali kepada perjuangan asal yang telah melestarikan struktur asas perlembagaan watan dalam bentuk yang diperkenankan oleh raja-raja Melayu. Kestabilan dalam UMNO amat kritikal untuk memperkasakan semula jati diri bangsa Malaysia. Keutamaan tersebut merupakan tajdid dalaman yang mampu mengukuhkan kerajaan perpaduan dan watan Malaysia. – UTUSAN

PROFESOR Madya Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain ialah Pengasas Jurispruden Watan, Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×